Khamis 29 Oktober 2020
Text Size

 

KENYATAAN RASMI: ARAHAN PENYELARASAN PERKHIDMATAN DAN OPERASI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI/MAHKAMAH SYARIAH NEGERI

KENYATAAN RASMI
ARAHAN PENYELARASAN PERKHIDMATAN DAN OPERASI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI/ MAHKAMAH SYARIAH NEGERI



Bertarikh : 6 Oktober 2020 bersamaan 18 Safar 1442H

1. PENDAHULUAN

1.1  Mesyuarat Penyelarasan Perkhidmatan dan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri telah diadakan pada 6 Oktober 2020 (Selasa), pukul 3.00 petang, yang dipengerusikan oleh YAA Dato’ Dr Hj. Mohd. Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.  

1.2  Mesyuarat tersebut dilaksanakan secara dalam talian dan melibatkan kehadiran secara maya YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah Negeri-negeri, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, wakil Jabatan Bantuan Guaman Malaysia dan wakil Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan.

1.3  Mesyuarat ini diadakan bagi menilai semula risiko dan menyelaras gerak kerja perkhidmatan dan operasi semua Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah Negeri-negeri (JKSN/MSN), setelah mengambil kira pengumuman rasmi oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa beliau yang telah hadir ke Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 (PKPSN 2020), disahkan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020.

1.4  PKPSN 2020 ini melibatkan penyertaan seramai 570 orang Pegawai Syariah dari seluruh Malaysia termasuk urus setia Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

1.5  Persidangan ini telah diadakan di dua lokasi yang berbeza iaitu di Hotel Movenpick KLIA, Sepang dan Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar dan kehadiran YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah semasa Majlis Perasmian PKPSN 2020 pada 29 September 2020 dan semasa Majlis Perasmian Penutup pada 30 September 2020.

1.6  Penganjuran PKPSN 2020 telah dilaksanakan secara sangat berhati-hati, mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara serta dipantau dengan ketat oleh pegawai daripada KKM yang turut berada di lokasi persidangan.

2.  KETETAPAN MESYUARAT

Hasil mesyuarat pada petang ini, telah dipersetujui perkara-perkara seperti berikut :

2.1  PENGURUSAN SARINGAN KESIHATAN PEGAWAI

2.1.1 JKSM telah mendapatkan pandangan dan arahan daripada pihak KKM dalam mengendalikan isu ini dan telah dinasihatkan untuk mengenal pasti dan menyenaraikan semua kontak rapat YB Menteri semasa PKPSN 2020 berlangsung.  Selaras dengan pandangan dan arahan tersebut, JKSM, JKSN/MSN telah berjaya menyenaraikan semua pegawai yang terlibat dan mereka telah diarahkan untuk melaksanakan ujian saringan pengesahan Covid-19 (swab test).

2.1.2 Pegawai-pegawai tersebut juga telah diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin seperti yang telah ditetapkan oleh KKM, termasuk menjarakkan diri daripada ahli keluarga dan mematuhi segala prosedur bagi mengelakkan penularan dan jangkitan sekiranya positif kepada ahli keluarga mahupun pihak lain.

2.2  PENGURUSAN PENTADBIRAN DAN KES DI JKSN/MSN

Setelah mengambil kira faktor kewujudan kontak rapat yang terdiri daripada beberapa orang Pegawai Syariah dari semua JKSN/MSN yang terlibat dengan PKPSN 2020, mesyuarat bersetuju untuk menyelaras gerak kerja perkhidmatan dan operasi di semua JKSN/MSN seperti berikut:

(a) Perkhidmatan dan operasi (termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes) yang melibatkan orang awam akan berjalan seperti biasa bagi JKSN/MSN yang majoriti pegawainya tidak tersenarai sebagai kontak rapat.  JKSN/MSN yang terlibat adalah seperti yang berikut:
 
1.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang

2.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

3.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak

4.  Jabatan Kehakiman Syariah Perlis

5.  Mahkamah Syariah Negeri Melaka

6.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor

7.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan

8.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah kecuali Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna

(b) Perkhidmatan dan operasi (termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes) yang melibatkan orang awam akan ditangguhkan bermula dari 7 Oktober 2020 hingga 9 Oktober 2020 (kecuali JKSN Terengganu ditangguhkan  bermula dari 7 Oktober 2020 hingga 11 Oktober 2020) bagi JKSN/MSN yang mempunyai majoriti pegawai yang disenaraikan sebagai kontak rapat.  JKSN/MSN yang terlibat adalah seperti yang berikut:

1.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu

2.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak dan Mahkamah Syariah Daerah Sibu

3.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan

4.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor

5.  Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan

6.  Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang

2.3  PENGURUSAN PROGRAM DAN KES RAYUAN
 
2.3.1 Semua program latihan/muzakarah/bengkel/pemantauan Arahan Amalan yang melibatkan JKSM/JKSN/MSN di hotel/institut/pusat latihan/mana-mana tempat yang melibatkan kehadiran secara fizikal hendaklah ditangguhkan sehingga 31 Oktober 2020.

2.3.2 Pengurusan kes rayuan yang melibatkan YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan kontak rapat ditangguhkan sementara waktu sehingga keputusan rasmi saringan Covid-19 diperoleh daripada KKM. Selaras dengan pengumuman Kerajaan mengenai sekatan rentas negeri di Sabah, maka kes rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah yang melibatkan panel rayuan JKSM bermula 12 Oktober 2020 juga adalah ditangguhkan.

3. PENUTUP

3.1  JKSM dan JKSN/ MSN telah mengambil pelbagai pendekatan secara berhati-hati sebelum dan semasa penganjuran PKPSN 2020 dengan memberi penekanan kepada SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN. Malah JKSM dan JKSN/MSN juga bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dielakkan dan pada masa yang sama pengurusan kes dapat berjalan dengan baik dan diselaraskan di antara negeri-negeri yang terlibat.

3.2. Semua pihak dipohon agar kekal bertenang, mematuhi SOP KKM yang ditetapkan dan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan atau menyebarkan apa-apa berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga kerja, masyarakat dan orang awam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita semua dipelihara oleh Allah S.W.T. daripada pandemik COVID-19 dan daripada sebarang bentuk kemudharatan serta diberi kesejahteraan sentiasa.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

Saya yang menjalankan amanah,

YAA DATO’ DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.