Sabtu 27 November 2021
Text Size

 

MUZAKARAH PEGAWAI PENYELIDIK MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-9

7 Oktober 2021 | YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah merasmikan Muzakarah Pegawai Penyelidik Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-10 yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi webex.

Program yang dianjurkan oleh Bahagian Dasar dan Penyelidikan (BDP) JKSM ini disertai oleh 70 orang Pegawai Penyelidik Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia dengan memfokuskan kepada teknik dan kemahiran dalam membuat rujukan.

YAA Dato' Setia Dr. dalam ucapannya menekankan agar setiap peserta muzakarah kali ini mengambil peluang sebaiknya bagi menimba sebanyak mungkin ilmu yang akan disampaikan oleh dua orang penceramah jemputan iaitu Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid (Universiti Sains Islam Malaysia) dan YA Tuan Zulfikri Yasoa (Hakim MTS Selangor).

Semua pegawai penyelidik hendaklah menanamkan sikap untuk sentiasa cintakan ilmu pengetahuan, sentiasa mencari maklumat baru dan terkini dalam usaha membantu hakim syarie menghasilkan alasan penghakiman yang berkualiti tinggi.

Selain itu, peranan pegawai penyelidik di mahkamah syariah amat penting kerana mereka merupakan penggerak bagi menghasilkan satu ijtihad dalam merungkai permasalahan baru yang timbul dalam sesuatu kes yang dibicarakan.

YAA Dato' Setia Dr. turut mengharapkan platform ini dijadikan medan untuk berbincang dan bertukar fikiran seteruskan dapat mempertingkatkan kemampuan para penyelidik demi memperkasa bidang penyelidikan kehakiman syariah di Malaysia.

Untuk rekod, muzakarah pegawai penyelidik ini adalah program tahunan yang telah dimulakan sejak tahun 2011.

 

MESYUARAT KETUA-KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-72 BILANGAN 3 TAHUN 2021

5 OKTOBER 2021: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-72 Bilangan 3 Tahun 2021 bertempat di Hotel Thistle, Port Dickson Negeri Sembilan pada 5 hingga 6 Oktober 2021.

Mesyuarat ini merupakan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar yang kali pertama diadakan secara fizikal pada tahun ini, telah dihadiri oleh Ketua-ketua Pendaftar Seluruh Malaysia beserta pegawai dan kakitangan JKSM yang terlibat.

Mesyuarat yang turut diadakan secara dalam talian bagi memberi ruang kepada Ketua-Ketua Pendaftar yang tidak dapat hadir secara fizikal dimulakan dengan ucapan aluan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

Antara intipati ucapannya ialah, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Tuan Muhammad Khairul Nizzam bin Kassim mantan Ketua Pendaftar Wilayah Persekutuan yang telah bertukar ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dan kepada Puan Salwani binti Sufi yang telah menangung tugas sebagai Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Tuan Ahmad Basyir bin Yaakub, Ketua Pendaftar Wilayah Persekutuan dan juga Tuan Abu Hassan bin Abdullah, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.

Dalam ucapannya, beliau telah menyeru dan memberi penekanan kepada Ketua-ketua pendaftar agar dapat bersama-sama berusaha memastikan semua pegawai dan kakitangan mahkamah cakna tentang kepentingan pengambilan vaksin ke arah kesejahteraan kesihatan semua pihak. Selain itu, beliau telah memaklumkan beberapa program yang telah dilaksanakan oleh JKSM, antaranya Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa (PKA 2021) yang telah diadakan pada 29-30 September 2021.

Persidangan ini telah menarik minat semua negara peserta dan juga telah mendapat ucapan tahniah dari beberapa Ketua Hakim Negara yang terlibat. Selain BPKR, beliau juga memaklumkan projek-projek dan program-program yang telah dan bakal dilaksanakan oleh Bahagian-bahagian lain di JKSM, termasuklah dari Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bahagian Sokongan Keluarga dan Unit Komunikasi Korporat.

Selanjutnya, mesyuarat ini telah telah dipengerusikan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR JKSM yang menggantikan Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz yang sedang berkursus.

Dalam Mesyuarat ini, satu kertas cadangan iaitu Draf Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam/ Enakmen Mahkamah Syariah/ Ordinan Mahkamah Syariah/ Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam/ Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri-Negeri telah dibentangkan oleh Tuan Muhamad Yusro bin Borhan Nordin, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Rayuan, BPKR JKSM.

PERDANA MENTERI RASMI PERSIDANGAN KEHAKIMAN SYARIAH ANTARABANGSA (PKA) 2021

29 Sept 2021 | YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa (PKA) 2021 secara dalam talian anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini.

Program yang julung kali diadakan bertujuan mempertingkatkan kerjasama dan memenuhi aspirasi Malaysia sebagai pusat perkembangan bagi institusi kehakiman Syariah seterusnya menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan bagi sistem kehakiman dan perundangan Syariah. Perkongsian di peringkat global ini penting bagi memperkembangkan lagi pengetahuan pegawai Syariah selain memantap pengurusan dan pengendalian kes Syariah yang berteraskan prinsip aplikasi Maqasid Al-Syariah.

Bertemakan “Kearah keseragaman dan keselarasan : pendekatan prinsip duluan mengikat di dalam alasan penghakiman”, persidangan kali ini dihadiri oleh pelbagai negara termasuk para peserta dari Palestin, Qatar, Republik Yaman, Papua New Guines, Maldives, Australia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Ianya juga disertai oleh para Pegawai Syariah seluruh Malaysia yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat persekutuan, Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Pendaftar, Pendakwa Syarie dan Pegawai Syariah yang bertugas di pelbagai kementerian/jabatan/agensi.

Sebelum majlis perasmian berlangsung, ucaptama persidangan turut disampaikan oleh YAA Dr. Hassan bin Lahdan Al-Hassan Al-Mohannadi; Presiden Majlis Kehakiman Agung dan Presiden Mahkamah Kasasi, Negara Qatar-Doha dengan tajuk “Application of the Doctrine of Binding Precedent in Court of Qatar”.

Ia kemudiannya disusuli dengan ucaptama oleh YAA Tan Sri Rohana binti Yusuf, Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia dengan tajuk “Application of the Doctrine of Binding Precedent in Civil Court of Malaysia”.

Tajuk pembentangan sepanjang dua (2) hari persidangan ini adalah Prinsip Duluan Mengikat: Perkongsian Pengalaman Negara Dan Amalan Di Mahkamah yang akan dikupas oleh barisan panel seperti YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM; YA Dr. Azmiralda Zahir; Hakim Mahkamah Agung Republik Maldives; YA Hakim Judy Ryan, Hakim Mahkamah Keluarga (Bahagian Rayuan) Australia; YAA Dr. ‘Isham Abdul Wahhab Muhammad As Samawi, Ketua Hakim, Mahkamah Agung, Republik Yaman; YAA Dr. Mahmoud Sedqi Al Habbasyh, Ketua Hakim Palestin dan YAA Hakim Ambeng Kandakasi, Timbalan Ketua Hakim Papua New Guinea.

Perkongsian daripada tokoh-tokoh ini selaras dengan objektif PKA 2021 iaitu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman Syariah berdasarkan pengalaman terkini negara-negara di peringkat antarabangsa yang boleh dimanfaat secara kolektif khususnya setelah pandemik Covid-19 pada tahun 2020 sekaligus menjadi platform kepada perkembangan dalam bidang kehakiman dan perundangan Syariah yang bersifat fleksibel mengikut perkembangan dan keperluan semasa.

Majlis penutup pada 30 September 2021 akan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka.

Persidangan sepanjang dua (2) hari ini akan diadakan sepenuhnya secara dalam talian dan disiarkan secara langsung menerusi laman FB rasmi JKSM.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

 

KURSUS PENGURUSAN KAUNTER CEMERLANG

15 September 2021: Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menghantar penyertaan seramai 150 peserta daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri (JKSN/MSN) bagi mengikuti Kursus Pengurusan Kaunter Cemerlang di bawah penganjuran Awaken Training & Consultancy Sdn. Bhd. (AWAKEN) secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta mengenai kepentingan khidmat pelanggan yang baik dan berkesan dengan memberi fokus kepada pengurusan kaunter mengikut norma baru di era pandemik sekarang ini. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah daripada pihak AWAKEN iaitu YBrs. Puan Raihan binti Abdul Rahman.

Terdahulu, YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM berkesempatan menyampaikan ucapan perasmian kursus serta mengalu-alukan kehadiran para peserta serta menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas pengendalian kursus ini.

Sebagai rekod, majlis perasmian kursus ini turut dihadiri oleh Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan (Pengurusan), JKSM, Pengarah-Pengarah Bahagian, JKSM dan Ketua Unit Intergriti dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, JKSM.

YAA Dato' Setia Dr. amat berharap agar para peserta tidak melepaskan peluang dan ruang yang telah disediakan melalui medium kursus ini untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan berkaitan pengurusan kaunter agar penyampaian perkhidmatan berkaitan perundangan dan kehakiman Syariah kepada pelanggan sentiasa cekap tepat dan efisien.

Selain itu, YAA Dato’ Setia Dr. turut menekankan bahawa kursus ini penting disertai oleh semua pegawai dan kakitangan yang terlibat sebagai petugas kaunter di JKSM, JKSN dan MSN seluruh Malaysia. Ini adalah sebagai salah satu cara yang boleh menyumbang kepada peningkatan tahap profesionalisme pegawai dan kakitangan di JKSM, JKSN dan MSN dalam menyampaikan perkhidmatan perundangan dan kehakiman Syariah kepada orang ramai. Tambahan pula, para petugas kaunter juga memerlukan kepada kemahiran baru selaras dengan cara kerja norma baru di zaman pandemik ini.

YAA Dato’ Setia Dr. juga menyeru agar semua peserta sentiasa bersikap amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pekerjaan, di mana sikap amanah memainkan peranan yang cukup besar dalam memangkin kualiti kerja seseorang. Justeru itu, YAA Dato’ Setia Dr amat berharap agar semua peserta terus ikhlaskan diri dalam menggalas amanah yang diberikan.

Sebanyak 4 modul telah disampaikan oleh penceramah sepanjang tempoh kursus sehari ini yang meliputi aspek kemahiran dari segi komunikasi yang mantap dan berkeyakinan, tatacara penampilan diri yang profesional dan kemahiran dalam mempamerkan etiket dan tingkah laku yang menyenangkan serta terkawal seterusnya akan meningkatkan persepsi positif pelanggan terhadap imej dan reputasi organisasi.

Kursus ini juga antaranya mendedahkan kepada para peserta tentang cabaran perkhidmatan komunikasi pelanggan dalam talian dan kebiasaan baru (new norm), serta bagaimana kemahiran berurusan dan berkomunikasi dalam cabaran semasa era digital dan krisis pandemik. Beberapa aktiviti secara individu dan berkumpulan turut dilaksanakan sepanjang kursus dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua peserta.

Berita | Foto: BL JKSM