Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

JKSM SERTAI MISI BANTUAN BANJIR KE MENTAKAB, PAHANG

30 Disember 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah turut serta di dalam misi bantuan banjir melibatkan agensi-agensi di bawah YB Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke Mentakab, Pahang.
 
Terdahulu, majlis ringkas pelepasan skuad bantuan banjir tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary di perkarangan Kompleks Islam Putrajaya.
Skuad Banjir JKSM kali ini disertai lebih 50 orang pegawai dan kakitangan termasuk YA Dato' Hj. Mohd Amran bin Mat Zain (Hakim Rayuan Syariah JKSM), Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz (Ketua Pendaftar JKSM) selain dibantu oleh skuad Moudarabak 4x4 Club.
 
Sebaik selesai majlis pelepasan, Skuad Banjir JKSM bergerak menuju ke Masjid Abu Bakar di Mentakab untuk pembahagian kumpulan dan sebelum bergerak ke Kampung Gajah Mati yang teruk terjejas di dalam bencana banjir baru-baru ini.
Rumah yang dipilih untuk dibantu adalah rumah yang terletak jauh di pendalaman kampung yang mana belum dikunjungi oleh mana-mana sukarelawan atau NGO sebelum ini.
 
Untuk rekod, misi bantuan kali ini turut disertai oleh hampir 400 sukarelawan agensi-agensi agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri selain sukarelawan dari Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa pertubuhan mahasiswa seperti GAMIS dan NISA.

ISTIADAT PENGANUGERAHAN/PENGURNIAAN DARJAH DAN BINTANG KEBESARAN SELANGOR BAGI TAHUN 2020

27 November 2021 | YAA Dato' Setia Dr Hj Mohd Na'im bin Hj Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pagi ini telah menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan/Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor Bagi Tahun 2020 yang diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Pengurniaan darjah dan bintang tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Majlis yang sepatutnya diadakan pada tahun lepas terpaksa ditangguhkan dan diadakan pada hari ini susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara dan dunia.

Untuk rekod, YAA Dato' Setia Dr. telah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-75 yang lalu dengan membawa gelaran "Dato' Setia".

Darjah Kebesaran ini dizahirkan pada tahun 2002 dan bilangan kuota bagi Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama ini lazimnya ialah 2 orang pada satu-satu masa dan bilang maksima keseluruhanya ialah 40 orang.

Ahli Lelaki yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' Setia" dan Ahli Wanita yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Datin Paduka Setia" manakala isteri kepada Ahli Lelaki diberi gelaran "Datin Setia". Suami kepada Ahli Wanita tidak beri menggunakan apa-apa gelaran.

MAJLIS PERHIMPUNAN AGENSI DI BAWAH YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

26 November 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) petang ini telah diberi kepercayaan sebagai host bagi Majlis Perhimpunan Agensi di Bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Perhimpunan yang bermula pada pukul 3.00 petang ini dimulakan dengan sesi fotografi Ketua-Ketua Agensi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad sebelum diteruskan dengan sesi lawatan ke Galeri Kehakiman yang terletak di Aras 1 JKSM.

Seterusnya, perhimpunan yang menghimpunkan 14 agensi di bawah YB Menteri ini dimulakan dengan pembentangan “Dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera” yang disampaikan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertempat di Aras 5, JKSM.

Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan aluan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah /Ketua Hakim Syarie JKSM yang mengalu-alukan kehadiran YB Menteri serta Ketua-Ketua Agensi ke JKSM dan kehadiran buat pertama kali YB Menteri hari ini dapat menyuntik semangat warga kerja JKSM untuk terus bekerja dengan lebih kuat.

YAA Dato' Setia Dr. turut menzahirkan penghargaan kepada YB Menteri atas komitmen tinggi beliau di dalam program-program anjuran JKSM seperti Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa (PKA) Tahun 2021 dan Pelancaran Buku SOP Sebatan dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW).

Selanjutnya, majlis diteruskan dengan amanat dari YB Menteri yang menyentuh tentang pencapaian 100 hari agensi agama di mana sebanyak 208 program telah senaraikan dan dari pada jumlah tersebut, sebanyak 112 program telah berjaya dilaksanakan manakala baki 96 program di dalam proses pelaksanaan.

Program-program tersebut merupakan program yang berimpak tinggi yang semestinya memberikan hasil yang baik kepada masyarakat Islam di Malaysia dan beliau turut menyeru seluruh warga agensi agama agar terus bekerja keras bagi menjayakan program yang bakal diatur pada tahun 2022.

Majlis perhimpunan hari ini turut diserikan dengan pelancaran Buku Terjemahan Kitab Furu’ Al Masa’il (Bab Talak), Terbitan JKSM dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pelancaran Dokumen Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.

Untuk rekod, perhimpunan kali ini dijalankan secara hybrid melibatkan kehadiran secara fizikal bagi ketua-ketua agensi bersama seorang wakil manakala warga agensi agama yang lain mengikutinya secara siaran langsung menerusi Laman Facebook Rasmi JKSM dan Youtube Channel JKSM.

Turut hadir di majlis tersebut adalah YABrs. Tuan Zulkifle bin Ab Rahman (Timbalan Yang Dipertua MAIK), YB. S.S Dato’ Mohamad Shukri bin Mohamad (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan) dan Tuan Hashri bin Junoh (Pegawai Penerbitan MAIK).

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MoU) BERSAMA MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK)

26 November 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Dasar & Penyelidikan hari ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam penerbitan secara bersama buku Transliterasi Furu’ Al-Masa’il (Bab Talaq).

Antara pegawai tertinggi JKSM yang mengiringi YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar di dalam Majlis Menandatangani MoU tersebut adalah YBrs. Tuan Haji Nassir bin Haji Abd Aziz (Ketua Pendaftar JKSM), Puan Azlina bt Aziz (Pengarah Kanan Pengurusan JKSM) dan Tuan Mamat Haizan bin Salleh (Pengarah BDP JKSM) manakala bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah diwakili oleh YABrs. Tuan Zulkifle bin Ab Rahman (Timbalan Yang Dipertua MAIK), YB. S.S Dato’ Mohamad Shukri bin Mohamad (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan) dan Tuan Hashri bin Junoh (Pegawai Penerbitan MAIK).

Di awal majlis, YAA Dato’ Setia Dr. menzahirkan penghargaan kepada MAIK kerana atas kesudian menjalinkan kerjasama bagi menerbitkan khazanah melayu yang amat berharga dan menjadi rujukan yang begitu terkenal di kalangan ulama dan penuntut ilmu, khususnya dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i di Nusantara serta menjadi kitab rujukan dan teks pembelajaran di masjid-masjid dan pondok-pondok.

Sebagaimana maklum Kitab Furu’ al-Masail atau judul penuhnya Furu’ al-Masail wa Ushul al-Wasail merupakan sebuah karya seorang tokoh ulama terkenal dari ‘Alam Melayu‘Allamah al-Syaikh Dawud bin ‘Abdullah al-Fathani (1265H).

Terdapat dua buah karya yang menjadi sumber terjemahan karya beliau, iaitu Fatawa Syams al-Millah wa al-Din oleh Syaikh Muhammad al-Ramli (957H) dan Kasyf al-Litham ‘an As-ilah al-Anam oleh Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli (1170H), iaitu dua buah karya besar dalam mazhab al-Syafi’i.

Dengan terbitnya Transliterasi Kitab Furu’ Masa’il (Bab Talaq) diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya kepada pegawai Syariah dalam membuat rujukan isu-isu berkaitan talaq yang sering dikendalikan di Mahkamah Syariah.

Di akhir ucapan, YAA Dato' Setia Dr. menzahirkan harapan agar jaringan kerjasama ini akan berterusan antara kedua-dua pihak dalam menghasilkan bahan ilmiah yang bermutu tinggi seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana.