Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

FUHA ANNUAL GENERAL ASSEMBLY 2020 ANJURAN UniSZA

9 Disember 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah dijemput menyampaikan Syarahan Akademik di dalam Program FUHA Annual General Assembly 2020 melalui aplikasi atas talian Cisco Webex.

Tajuk syarahan yang disampaikan oleh YAA Dato' Dr. adalah "Application of Mediation in the Syariah Courts of Malaysia" yang mana ianya menyentuh secara mendalam perjalanan majlis Sulh di mahkamah syariah seluruh Malaysia.

Program anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah dihadiri oleh para pelajar UniSZA dan turut disiarkan secara langsung di Laman Facebook Rasmi UNiSZA.

Antara kandungan yang dikongsikan oleh YAA Dato' Dr. adalah sejarah penubuhan Majlis Sulh di Malaysia, jenis kes yang dibawa ke Majlis Sulh, statistik kes Sulh di Malaysia dan kepentingan proses sulh serta mediator kepada pihak-pihak yang bertikai.

YAA Dato' Dr. turut berkongsi tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan dan kegagalan yang di bawa ke Majlis Sulh dan berbesar hati berkongsi Pelan Strategik Sulh (2021-2026).

Di akhir pembentangan YAA Dato' Dr turut melahirkan rasa bangga akan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh Pegawai-Pegawai Sulh seluruh Malaysia dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Turut hadir di dalam program ini adalah Prof.Dr. Zuhairah Ariff binti Abd.Ghadas (Dean of FUHA), Dr. Sharifah Nuridah Aishah binti Syed Nong Mohamad (Deputy Dean for Academic and Graduates), Dr. Suyatno (Deputy Dean for Students Affair & Alumni) dan Dr. Aminuddin bin Mustaffa (Deputy Dean for Research and Development).

MESYUARAT KETUA-KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-71 BILANGAN 3 TAHUN 2020

8 Disember 2020: Bahagian Pendaftaran, Keurusetian dan Rekod (BPKR) JKSM hari ini telah mengadakan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-71 Bilangan 3 Tahun 2020 secara atas talian menggunakan aplikasi Skype for Business.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Nassir Bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM ini bertujuan menyelaras dan menyeragam pentadbiran pengurusan kes, kehakiman dan perundangan di seluruh Mahkamah Syariah serta platform terbaik bagi semua Ketua Pendaftar memberikan pandangan, idea atau berkongsi inovasi yang dibangunkan di negeri masing-masing.

Dalam ucapan aluan, Tuan Haji Pengerusi terlebih dahulu mengalu-alukan kehadiran Puan Azlina binti Aziz, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM yang baharu, serta Tuan Muhammad Fauzi bin Uzir Abd Wahab, Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Perak yang baharu bagi menggantikan Tuan Ab Rahman Thobroni bin Mohd Mansor.

Seterusnya, Tuan Haji Pengerusi turut mengingatkan agar semua Ketua-ketua Pendaftar sentiasa cakna kepada isu-isu semasa berkait dengan imej mahkamah terutama dalam media sosial yang mudah dimanipulasikan dan ditularkan serta responsif dengan pantas bagi menjawab isu-isu tersebut bagi menyekat salah faham dalam kalangan masyarakat.

Tuan Haji Pengerusi turut menarik perhatian ahli-ahli mesyuarat mengenai perkembangan beberapa perkara penting dan isu-isu semasa pentadbiran dan hal ehwal pentadbiran kehakiman Syariah antaranya Pelaksanaan Saman Ke Luar Negara, SOP Hukuman Sebatan di Luar Penjara, Deposit Dan Menyerah Simpan Rayuan Kes Mal, SOP Pengendorsan Perintah Bersaling, Cadangan Penyelarasan Dan Penyeragaman Kaedah-Kaedah Sulh Seluruh Malaysia Dan Cadangan Format Laporan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat Bagi Kes Permohonan Perkahwinan Bawah Umur

Mesyuarat selanjutnya diteruskan dengan pembentangan dua kertas makluman iaitu Kertas Makluman Tatacara Pengurusan Kes Mal di Peringkat Pra Bicara dan Kertas Makluman Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di Mahkamah Syariah.

Turut hadir di dalam mesyuarat kali ini adalah Ketua-Ketua Pendaftar JKSN/MSN seluruh Malaysia, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM, Pengarah-pengarah Bahagian JKSM dan Pegawai-pegawai Kanan JKSM.

KUNJUNG HORMAT KE ATAS KETUA PENGARAH MAMPU

3 DISEMBER 2020: YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah berkesempatan membuat kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato' Dr. Yusof bin Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bertempat di Ibu Pejabat MAMPU, Putrajaya.

Kunjungan hormat ini adalah pertemuan kali pertama antara kedua-kedua pihak setelah Datuk Dr. Yusof dilantik menjawat jawatan Ketua Pengarah MAMPU pada April 2020 yang lepas.

Pelbagai perkara telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut antaranya pengisian jawatan Pegawai Teknologi Maklumat di JKSM dan perancangan JKSM dalam mendigitalisasikan mahkamah syariah seluruh malaysia.

Bagi menjayakan usaha pendigitalan mahkamah syariah tersebut, JKSM memerlukan sokongan infra PDSA (perkhidmatan Cloud) dan rangkaian MyGov*Net daripada pihak MAMPU serta sokongan infrastruktur Pusat Pemulihan Bencana (DRC) bagi aplikasi kritikal JKSM.

Turut dibincangkan adalah hala tuju Projek Transformasi e-Syariah Versi 3 serta kerjasama pasukan perunding ICT MAMPU dalam penyediaan Pelan Strategik ICT JKSM dan penyediaan Enterprise Architecture JKSM

Alhamdulillah, YBhg. Dato' Dr. KP MAMPU telah memberikan respons positif terhadap keseluruhan hasrat JKSM kecuali melibatkan perjawatan Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41 yang dibawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Turut hadir dalam sesi kunjung hormat tersebut adalah Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) JKSM, Tuan Mohd Razalan bin Kamal dan Pegawai Khas YAA Dato' Dr. KP/KHS JKSM, Tuan Abdul Fattah bin Dato' Kamarudin.

SEMINAR PERANCANGAN STRATEGIK JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA BAGI TAHUN 2021

3 DISEMBER 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah berkesempatan menyempurnakan penutupan Seminar Perancangan Strategik (SPS) Tahun 2021 bagi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia secara atas talian menggunakan aplikasi Skype for Business.

Seminar selama tiga hari yang diurusetiakan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia (BKPSM) JKSM ini bertujuan membolehkan semua bahagian dan unit untuk membentangkan hasil pencapaian masing-masing dan pada masa yang sama dapat membentangkan perancangan aktiviti bagi tahun 2021.

Terlebih dahulu, majlis penutup dimulakan dengan sesi rumusan SPS JKSM yang disampaikan Pengarah BPKSM, Encik Mohd Amiruddin bin Hamzah yang telah membentangkan pencapaian SKT setiap bahagian tahun 2020 di mana pencapaian keseluruhan adalah 101%.

Seterusnya YAA Dato' Dr. dalam ucapan penutupnya telah merakamkan penghargaan kepada semua peserta seminar atas komitmen yang diberikan dalam usaha menyusun strategi dan perancangan yang lebih rapi untuk menghadapi tahun 2021.

YAA Dato' Dr. menekankan agar program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan oleh setiap bahagian dan unit pada tahun 2021 perlu menjurus kepada objektif penubuhan JKSM iaitu menyelaras dan menyeragam sistem pentadbiran dan kehakiman syariah di Malaysia.

Selain itu, YAA Dato' Dr. turut memaklumkan setiap SKT yang disediakan hendaklah dipantau bagi setiap satu bulan di peringkat Bahagian/Unit dan dwi-tahunan di peringkat Jabatan bagi menjamin SKT tersebut dilaksanakan mengikut jadual dengan menggunakan kaedah pengesanan atau Root Cause Analysis.

Akhir sekali, YAA Dato' Dr. turut mengharapkan agar setiap bahagian dan Unit di JKSM dapat saling bekerjasama serta memupuk semangat kekitaan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih bersepadu dan berkesan yang akhirnya dapat menterjemahkan fungsi serta peranan JKSM di Malaysia.