Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

PROGRAM BRILIANT TALK SIRI 2/2021

7 September 2021: Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan (BPSMP) JKSM telah mengadakan Program Briliant Talk yang berlangsung secara maya melalui aplikasi FB JKSM. Program yang diadakan pada hari ini merupakan Siri ke 2. Siri Pertama telah diadakan pada 27 April 2021, yang menampilkan YBrs. Dr. Zainal Abidin, Pendakwa Syarie Kanan daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan sebagai penceramah.

Untuk program Briliant Talk Siri 2 ini, dikendalikan oleh Puan Ira Kartini Chairullah, Penolong Pengarah, Bahagian Latihan JKSM selaku moderator, manakala YBrs. Dr. Jazilah Mohd Saad@Md Saud, Pegawai Penyelidik kepada YAA Ketua Pengarah JKSM / Ketua Hakim Syarie sebagai penceramah dengan tajuk perkongsian: PhD: IF YOU DREAM IT, YOU CAN DO IT.

Program yang bersiaran secara langsung selama lebih kurang satu jam ini sarat dengan perkongsian cerita dan tips daripada YBrs. Dr. Jazilah dalam perjalanan mengapai kejayaan.

Dari awal pengalaman untuk melanjutkan pelajaran hingga mendapat segulung ijazah Phd, banyak cabaran yang diharungi terutamanya kekangan keluarga, kewangan dan dalam masa yang sama sibuk dengan tugas harian. Katanya antara liku-liku cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk bergelar seorang Doktor Falsafah adalah kekangan keluarga, kewangan, masa dan sebagainya, namun semuanya itu beliau dapat mengatur secara bijak ibarat peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Antara faktor-faktor yang mendorong beliau untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD adalah memasang niat dari awal persekolahan, mendapat sokongan padu daripada keluarga, pengalaman bekerja dengan tekad untuk ke peringkat yang lebih tinggi dan peluang tajaan yang agak mudah untuk melanjutkan pengajian.

Beliau juga berkongsi tips untuk berjaya, antaranya dorongan keluarga, tekun, rajin, sabar dan yang penting sekali setelah kita penat berusaha dalam mengejar kejayaan kita adalah doa dan bertawakal kepada Allah SWT semoga segala usaha disirami dengan kejayaan sejajar dengan hasrat dan cita-cita yang ingin digapai.

Di akhir program YBrs. Dr. Jazilah menitip nasihat sebagai pembakar semangat kepada yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara nasihat beliau ialah memastikan niat untuk sambung belajar, menyenaraikan langkah-langkah dan hala tuju untuk pembelajaran dan juga seboleh-bolehnya hasrat itu memberi manfaat kepada jabatan.

Beliau juga memuji program sebegini sepatut diteruskan untuk masa-masa akan datang kerana dapat memberi dorongan dan semangat pada warga kerja untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi (PhD).

Semoga program anjuran BPSMP, JKSM ini akan terus melahirkan warga kerja yang sentiasa ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk manfaat jabatan khasnya dan masyarakat umumnya.

KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

06 September 2021: Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Hj. Idris bin Hj. Ahmad bertempat di Pejabat Menteri, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.

YAA Dato' Setia Dr. yang diiringi oleh Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz terlebih dahulu menyampaikan taklimat kepada YB Menteri berkaitan fungsi dan peranan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang merupakan salah satu agensi di bawah YB Menteri selain membentangkan perancangan JKSM bagi pencapaian 100 hari pelantikan YB Senator sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Antara yang dikongsi adalah objektif utama penubuhan JKSM yang berperanan mengendalikan kes-kes rayuan syariah seluruh Malaysia serta menyeragam pentadbiran kehakiman syariah bagi mempertingkat prestasi mahkamah di negeri-negeri dan YAA Dato' Setia Dr. turut menerangkan tentang usaha-usaha yang dijalankan bagi memperkasa JKSM antaranya penstrukturan semula organisasi, menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi dalam dan luar negara serta cadangan penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM).

Selain itu, usaha turut dijalankan bagi menyeragam pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah seluruh Malaysia antaranya melalui penggunaan Sistem E-Syariah, pemakaian Arahan Amalan Mahkamah Syariah, penggubalan model Kaedah-Kaedah yang seragam dan SOP, penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie dan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Bagi perancangan 100 hari YBM pula, pelbagai program dan gerak kerja telah disusun antaranya penyelesaian sekurang-kurangnya 60 kes rayuan dalam tempoh 100 hari, pelantikan Pengerusi dan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS), penggubalan RUU Akta Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022, cadangan pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 bagi membolehkan perbicaraan melalui teknologi komunikasi jarak jauh (online) dan Penganjuran Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Antarabangsa (PKA 2021) melibatkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Australia, Palestin, Yaman, Qatar, Maldives dan Papua New Guinea.

Di akhir pertemuan, YAA Dato' Setia Dr. turut menzahirkan harapan dan sokongan daripada YB Menteri khususnya bagi menggalakkan kerjasama positif antara JKSM dan JKSN/MSN Negeri serta mempromosi skim perkhidmatan gunasama persekutuan kepada negeri-negeri serta mempertahankan integriti dan kebebasan mahkamah Syariah dalam menjalankan bidangkuasa yang diberikan undang-undang kepadanya dalam mengangkat keadilan hukum Syarak.

 

LAWATAN KE MAHKAMAH SYARIAH DAERAH RANAU

3 September 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah berkesempatan mengadakan lawatan ke Mahkamah Syariah Daerah Ranau, Sabah.

Lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri pengoperasian Mahkamah Syariah Ranau yang merupakan mahkamah daerah yang ke-12 di Negeri Sabah.

Kehadiran YAA Dato' Setia Dr. telah disambut oleh Tuan Hakim Khairul Syarazeq Bin Razali, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Ranau dan beliau juga sempat memberi sedikit taklimat ringkas kepada YAA Dato' Setia Dr. tentang struktur mahkamah tersebut.

YAA Dato' Setia Dr. sempat menyampaikan pesanan agar semua pegawai dan kakitangan menjalankan amanah sebaiknya untuk memberikan imej yang terbaik pada Mahkamah Syariah Negeri Sabah serta sentiasa bekerja dalam berkumpulan dalam usaha mencari jalan untuk selesaikan tugasan seharian.

Beliau turut berpesan agar setiap pegawai dan kakitangan dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya kepada masyarakat di daerah Ranau ini.

Seterusnya YAA Dato Setia telah dibawa melawat ke seluruh bangunan yang mulai beroperasi pada tahun 2019 dengan kekuatan pegawai dan kakitangan seramai 7 orang.

Diharapkan agar lawatan YAA Dato' Setia Dr. dapat membakar semangat para kakitangan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi menaikkan imej sistem perundangan syariah di Sabah.

 

KURSUS PENGURUSAN MENTAL DAN EMOSI DALAM MENDEPANI PANDEMIK COVID 19

3 September 2021: Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS), JKSM, PUSPANITA Cawangan Kecil (PCK) JKSM dan AKRAB, JKSM telah menganjurkan Kursus Pengurusan Mental Dan Emosi Dalam Mendepani Pandemik Covid 19 secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepentingan dalam pengurusan mental dan emosi bagi mengelakkan diri daripada kemurungan sepanjang pandemik Covid-19 yang dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu YBrs. Tuan Hairol Kamal bin Hj Ab Rahman, Ketua Unit Psikologi Kaunseling, Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.

Terdahulu, YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM berkesempatan menyampaikan ucapan aluan kepada para peserta dan menzahirkan penghargaan atas kehadiran YBrs. Tuan Hairol Kamal bin Hj Ab Rahman menerima jemputan pihak JKSM sebagai penceramah jemputan.

YAA Dato' Setia Dr. amat berharap agar para peserta tidak melepaskan peluang dan ruang yang telah disediakan melalui medium kursus ini untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengetahuan berkaitan pengurusan mental dan emosi dalam mendepani pandemik Covid 19 ini.

Selain itu, YAA Dato’ Setia Dr. menekankan kepentingan untuk melihat kepada faktor utama yang menyumbang kepada masalah mental dan emosi iaitu berkaitan krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan pekerjaan, masalah keluarga dan persekitaran terutamanya dalam suasana kita berada di dalam pendemik Covid 19 dan terpaksa menukar cara hidup harian dan pekerjaan secara normal baru sekarang dan ini akan memberi impak kepada kehidupan kita sehingga mengganggu kesejahteraan mental dan emosi sebahagian daripada kita.

YAA Dato’ Setia Dr. juga melihat kepada kaedah pengurusan mental dan emosi menurut Islam sebagai alternatif terbaik dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan oleh Syariat Islam.

Sepanjang kursus, penceramah jemputan telah memberi pendedahan kepada para peserta tentang faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan emosi seseorang serta kesan yang terjadi akibat gangguan tersebut. Penceramah turut berkongsi kaedah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kesihatan mental dan emosi ini dengan rujukan kepada pakar, sokongan daripada orang sekeliling dan pengurusan secara kendiri.

Kursus kali ini adalah terbuka kepada semua pegawai dan kakitangan di Jabatan Kehakiman Syariah/Mahkamah Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah seluruh Malaysia, pegawai-pegawai kader yang bertugas Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Penasihat Undang-Undang dan jumlah kehadiran peserta amat memberangsangkan dengan catatan kehadiran seramai 509 orang peserta yang terdiri daripada Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Ketua-Ketua Pendakwa Syarie Negeri, Pegawai-Pegawai dan kakitangan di institusi perundangan dan kehakiman Syariah seluruh Malaysia.