Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

SEMINAR PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN SYARIAH WANITA NUSANTARA 2021

24 Ogos 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Seminar Perundangan dan Kehakiman syariah Wanita Nusantara 2021 secara dalam talian dengan tema "Wanita: Isu-isu Semasa Perundangan dan Kehakiman Syariah".

Seminar tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Hj. Nassir bin Abd Aziz manakala ucaptama perasmian disempurnakan oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar yang merupakan Ketua Hakim Syarie merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

YAA Dato' Setia Dr. dalam ucaptama perasmian telah menggariskan beberapa perkara penting untuk dibincangkan secara bersama iaitu peningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan perundangan dan kehakiman Syariah, peningkatan akses keadilan kepada masyarakat terutamanya wanita dan kanak-kanak, penyelesaian alternatif sebagai teras baru perkhidmatan keadilan dan kelestarian perundangan dan kehakiman Syariah di era dan pasca pandemik Covid-19.

YAA Dato' Setia Dr. turut menyeru kepada semua pegawai-pegawai Syariah wanita agar sentiasa berusaha untuk mencipta inovasi dalam proses penyampaian perkhidmatan manakala prosedur, tatacara dan peraturan sedia ada perlu diperiksa semula, direkayasa (re-engineering) dan diberi nafas baru agar ianya sentiasa memenuhi kehendak ‘stakeholders’ dan juga pelanggan-pelanggan mahkamah

Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Yang Mulia Dr. Haji Amran Suadi (Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia), Yang Berhormat Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim Bin Awang Haji Besar (Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam), ketua-Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Peserta seminar kali ini disertai seramai hampir 400 orang pegawai-pegawai syariah wanita dari seluruh Malaysia, Indonesia, Brunei dan Maldives yang bertujuan mengupas isu-isu semasa melibatkan hal ehwal perundangan dan kehakiman terutamanya melibatkan wanita dan anak-anak.

Selain itu, seminar ini turut bertujuan untuk menilai kembali undang-undang, peraturan dan/atau kaedah yang diaplikasikan bagi isu-isu tertentu, membuka ruang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah serta meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah.

Seramai empat orang pembentang kertas kerja telah terlibat pada seminar kali ini iaitu Ibu Sisva Yetti (Ketua Pengadilan Agama Kupang, Republik Indonesia), Puan Kartini Binti Hj Abdullah (Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Negara Brunei Darussalam), Puan Huzaifa Binti Mohamed (Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Republik Maldives) dan Pn. Hajah Noor Hadina Binti Haji Mohd Zabidi (Pengarah/ Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan).

Para pembentang telah berkesempatan membicarakan tentang peranan dan cabaran Pegawai Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita di dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan di negara masing-masing selain berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan tugas yang diamanahkan.

Semoga penganjuran Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara ini dapat memberi impak yang besar terhadap jati diri pegawai wanita di samping mewujudkan kebersamaan dalam usaha untuk meningkatan prestasi serta menjulang sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia dan negara nusantara.

 

KURSUS TEKNIK PENULISAN BAHASA MELAYU (PENULISAN PERUNDANGAN)

18 – 19 Ogos 2021 I Bahagian Latihan (BL) telah menganjurkan Kursus Teknik Penulisan Bahasa Melayu (Penulisan Perundangan) secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Kursus yang disasarkan kepada Hakim Syarie dan Pegawai Penyelidik di Mahkamah Syariah ini telah disertai oleh 78 orang peserta. Turut serta dalam kursus ini ialah YAA Datuk Nadzri Bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Objektif kursus ini untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada peserta mengenai tatabahasa, cara penulisan yang betul dan penggunaan istilah yang sering diguna pakai dalam penulisan perundangan. Selain itu, kursus ini diharap dapat menggalakkan minat dalam kalangan peserta untuk menghasilkan penulisan perundangan dan mengikut format yang betul.

Sepanjang kursus berjalan, para peserta dan penceramah telah dapat mewujudkan komunikasi dua hala dengan membincangkan isu berkaitan tatabahasa, istilah-istilah penting dan kesalahan yang sering dilakukan semasa membuat penulisan.

Diharapkan segala perbincangan dan perkongsian yang diperolehi di dalam kursus ini dapat memberi manfaat dan praktiskan oleh semua peserta yang telah menghadirinya. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.

 

SEMINAR INTERNASIONAL PADA MILAD MAHKAMAH SYAR'IYAH ACEH KE-19

10 Ogos 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM hari ini telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel di dalam Seminar Internasional Pada Milad Mahkamah Syar'iyah Aceh ke-19.

Seminar yang bermula jam 10 ini diadakan bertujuan menyambut ulang tahun ke-19 penubuhan Mahkamah Syariah Aceh yang mula beroperasi pada 1 Muharram 1424H.

Terlebih dahulu, seminar dimulakan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Dra. Hj. Rosmawardani, SH.MH (Ketua Mahkamah Syar'iyah Aceh) sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Hakim Agung. Dr. H. Yasardin, SH., M.Hum.

Webinar yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom Meetings telah dihadiri oleh para peserta yang terdiri daripada mahkamah-mahkamah syariah seluruh Indonesia dan sesi forum telah menampilkan 3 orang ahli panel yang dimoderatorkan oleh Prof. Dr. H. Syahrizal Abbas, MA.

YAA Dato' Setia Dr. yang merupakan ahli panel ketiga telah membicarakan secara mendalam tajuk "Best Practise Mahkamah Syariah di Malaysia" dan antara intipati yang dikongsikan oleh YAA Dato' Setia Dr. adalah berkaitan sejarah pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia serta sejarah penubuhan JKSM yang bertujuan menyelaras dan menyeragam pentadbiran undang-undang syariah.

Selain itu, YAA Dato' Setia Dr. turut berkongsi tentang penubuhan majlis sulh di mahkamah syariah bagi membantu menyelesaikan lambakan kes serta penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga bagi membantu menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Turut dikongsi adalah inovasi-inovasi yang dibangunkan oleh JKSM/JKSN/MSN merangkumi sistem online dan pengoperasian mahkamah seperti Sistem Pengurusan Kes, e-bicara, e-faraid, i-Pos, Perceraian Fast Track, SIKET dan Mobile Court Kit.

Diharapkan agar segala curahan perkongsian idea dan pengalaman Malaysia akan dimanfaatkan dalam memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan syariah di nusantara.

 

MESYUARAT PERMULAAN PROJEK (KICK-OFF) PROJEK TRANSFORMASI e-SYARIAH

9 Ogos 2021 | Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) JKSM pagi ini telah menganjurkan Mesyuarat Permulaan Projek (Kick-Off) bagi Projek Transformasi e-Syariah Versi 3 (eSV3) secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex Meetings.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 9 pagi ini dipengerusikan oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM yang mengalu-alukan kehadiran ahli mesyuarat terutama kepada wakil syarikat SAINS Sarawak yang dilantik bagi membina projek transformasi eSV3 tersebut.

Dalan ucapan aluannya, YAA Dato' Setia Dr. mengharapkan agar Projek Transformasi e-Syariah Versi 3 ini yang bermula pada 19 Julai 2021 dapat disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan bagi melancarkan sistem pengurusan kes di mahkamah-mahkamah syariah seluruh Malaysia.

Untuk makluman, objektif projek transformasi ini adalah bagi menambah baik fungsi-fungsi sedia ada mengikut spesifikasi sistem, mengendalikan transformasi dan inovasi proses kerja mahkamah kepada sistem digital serta memastikan operasi di mahkamah syariah berjalan dengan lancar dan cekap.

Projek ini merangkumi pembinaan 17 modul termasuk fungsi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS), Fungsi Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS), Fungsi Nafkah, Pelaporan Statistik, Fungis KPI dan Aplikasi Mobile yang dijangka siap pada bulan Januari 2023.

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini adalah Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, Ketua Hakim Syarie Selangor, Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM, Pegawai Kanan JKSM, Wakil SAINS Sarawak dan Wakil MSWP.