Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

WEBINAR "SIRI UNDANG-UNDANG SYARIAH" ANJURAN "ASSOCIATION OF WOMEN LAWYERS (AWL)"

14 Julai 2021 | YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM malam ini telah dijemput sebagai penceramah di dalam Webinar "Siri Undang-Undang Syariah" anjuran Association of Women Lawyers (AWL) menerusi aplikasi Zoom Meetings.

Webinar yang julung kali diadakan oleh AWL ini bertujuan membincangkan secara mendalam mengenai "Lafaz Cerai" dalam kalangan pasangan Muslim susulan berlaku peningkatan kes cerai sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia.

YAA Dato' Setia Dr. menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan tentang jenis lafaz talak merangkumi lafaz soreh dan lafaz kinayah serta berkongsi panduan apa yang perlu dilakukan seandainya suami melafazkan cerai di luar mahkamah.

Selain itu, YAA Dato' Setia Dr. turut berkongsi tentang situasi semasa berkaitan pengoperasian mahkamah syariah syariah dalam tempoh PKP termasuk pelaksanaan perbicaraan secara dalam talian.

Menurut YAA Dato' Setia Dr., JKSM sentiasa berusaha bagi membolehkan kes-kes di mahkamah syariah dapat didengar walaupun dalam tempoh PKP melalui permohonan yang telah dihantar kepada MKN berkaitan SOP pengoperasian mahkamah syariah dalam tempoh PKP.

YAA Dato' Setia Dr. juga menerangkan dengan terperinci tentang perbezaan bilangan talak, jenis-jenis talak termasuk cerai fasakh dan taklik serta hak-hak para isteri merangkumi hak jagaan anak, hak lawatan, nafkah anak serta tatacara berkaitan ruju'.

Sesi webinar malam ini dimoderatorkan oleh Puan Aisha Zanariah Abdullah dan Norliza Rasool Khan dengan kehadiran peserta seramai 75 orang.

TAKLIMAT KESEDARAN KESELAMATAN ICT JKSM SIRI 1/2021

13 Julai 2021: Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah menganjurkan Taklimat Kesedaran Keselamatan ICT JKSM Siri 1/2021 melalui aplikasi Cisco Webex yang di sampaikan oleh Encik Mohamad Noor Syawal Khir bin Adzmi, Pegawai Operasi Kanan CMCF.

Objektif program adalah memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga JKSM khususnya mengenai keselamatan ICT dengan tajuk "Kawalan Kendiri dan Cara Kekal Selamat di Internet"

Terlebih dahulu, program dimulakan dengan ucapan aluan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM di mana beliau mengalu-alukan kehadiran penceramah yang dijemput khas dari "Communication dan Multimedia Content Forum (CMCF)".

Di dalam ucapan aluan beliau, YAA Dato' Setia Dr. menekankan bahawa program taklimat seumpama ini adalah sangat penting dalam memberi kesedaran dan perkongsian ilmu baharu serta tips mengenai keselamatan ICT.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan ICT bukan sahaja digalas oleh Pegawai ICT di sesebuah jabatan semata-mata malah ianya adalah tanggungjawab seluruh warga kerja jabatan.

YAA Dato' Setia Dr. turut menyelitkan nasihat kepada para peserta untuk sentiasa menjaga akal, harta dan amanah serta menitikberatkan kepentingan menimba ilmu pengetahuan selari dengan pelaksanaan Maqasid Syariah dalam urusan kerja dan kehidupan seharian agar tidak mudah terpedaya dan terjerumus dalam kes penipuan atau jenayah siber.

Sebelum mengakhiri program, ucapan penutup telah disampaikan oleh Tuan Hj Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM yang juga merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) JKSM di mana beliau turut mengharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dengan pemilihan topik yang lebih menarik.

Program yang berlangsung selama 3 jam ini telah dihadiri seramai 256 pegawai dan kakitangan dari JKSM/JKSN/MSN seluruh Malaysia.

8th FAMILY LAW & CHILDREN'S RIGHTS CONFERENCE: WORLD CONGRESS 2021 THROUGH THE EYES OF A CHILD

12 Julai 2021 | YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM hari ini diberi penghormatan menjadi salah seorang ahli panel di dalam '8th Family Law & Children’s Rights Conference: World Congress 2021 Through the Eyes of a Child' yang dijalankan secara dalam talian sejurus selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan JKSM.

Konferen antarabangsa yang dijalankan selama 5 hari ini memfokuskan tentang undang-undang kekeluargaan, proses undang-undang yang dilaksanakan serta hak kanak-kanak yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang.

Konferen ini juga merupakan platform bagi peguam, hakim, ahli akademik, ahli psikologi, ahli perubatan dan badan bukan kerajaan dari seluruh dunia bagi berkongsi pengalaman dalam isu melibatkan hak asasi kanak-kanak dan undang-undang kekeluargaan.

YAA Dato' Setia Dr. merupakan panel sesi keempat bersama 3 ahli panel yang lain iaitu Fitria Villa Sahara (Co-Director Pemberdayaan Perempuan Kepala Keluarga (PEKKA), Female-Headed Family Empowerment Organisation), Leisha Lister (Senior Adviser, Australia Indonesia Partnership for Justice) dan Justice Judy Ryan (Appeal Division, Family Court of Australia) di mana mereka membicarakan tajuk "Marriage Dispensation Cases in Indonesia and Malaysia – Determining the Best Interests of the Child".

Dalam forum tersebut, YAA Dato' Setia Dr. menggunakan kesempatan yang diberikan bagi menerangkan terlebih dahulu tentang sistem perundangan yang terdapat di Malaysia iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah terutama perincian dari segi bidang kuasa undang-undang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

YAA Dato' Setia Dr. turut berkongsi tentang fungsi JKSM yang ditubuhkan oleh kerajaan bertujuan menyeragam dan menyelaras pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia termasuk usaha dalam membina SOP Pernikahan Bawah Umur untuk diselaraskan dan gunapakai oleh mahkamah syariah di Malaysia.

Turut dikongsi adalah tatacara dalam pengendalian kes permohonan nikah bawah umur seperti penggunaan laporan perubatan dan laporan psikologi serta elemen-elemen yang dinilai oleh mahkamah dalam membenarkan permohonan penikahan bawah umur di Malaysia.

BENGKEL PENGUMPULAN PRINSIP UNDANG-UNDANG DALAM PENGHAKIMAN MAHKAMAH ATASAN SYARIAH UNTUK TUJUAN PENERBITAN

12 Julai 2021: Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan (BPSMP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah mengadakan Bengkel Pengumpulan Prinsip Undang-Undang Dalam Penghakiman Mahkamah Atasan Syariah Untuk Tujuan Penerbitan secara dalam talian bermula 12 Julai 2021 hingga 13 Julai 2021.

Bengkel yang bermula jam 9.00 pagi ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM.

Terlebih dahulu, YAA Dato’ Setia Dr. mengalu-alukan kehadiran YA Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Muar 2, Johor selaku penceramah dalam bengkel ini dan beliau mengharapkan bengkel ini akan menjadi medan untuk lontaran idea dan sumbang saran supaya prinsip undang-undang dapat ditemui bagi menghasilkan satu lagi sumber rujukan perundangan yang bakal diterbitkan oleh JSKM.

YAA Dato’ Setia turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada BPSMP yang memulakan tindakan pengumpulan prinsip undang-undang dalam penghakiman ini. Penekanan juga turut dinyatakan oleh YAA Dato’ Setia Dr. dalam penulisan penghakiman, yang mana seseorang Hakim mestilah mengetahui pentingnya menitik beratkan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam hukum Syarak.

Penganjuran bengkel ini adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengumpulan Prinsip Undang-undang Mahkamah Atasan Syariah Untuk Tujuan Penerbitan yang telah diadakan pada pada 5 Mac 2021.

Bengkel dua hari secara dalam talian ini disertai dan dirintis oleh Pegawai Penyelidik kepada Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN seluruh Malaysia dan dikendalikan oleh fasilitator yang dilantik iaitu Tuan Zulfikri bin Yasoa, Tuan Mohd Zakian bin Dio, Tuan Abu Sufian bin Abu Yaziz dan Tuan Mamat Haizan bin Salleh.

Di akhir ucapan YAA Dato’ Setia Dr. mengharapkan agar program ini mendapat sokongan dan dokongan semua pihak kerana ia adalah salah satu usaha murni dan sangat bermanfaat untuk mewujudkan bahan rujukan penting bagi menjamin kewibawaan keputusan kes di Mahkamah Syariah.