Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

MESYUARAT KETUA-KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-72 BILANGAN 2 TAHUN 2021

28 Jun 2021: Bahagian Pendaftaran, Keurusetian dan Rekod (BPKR) JKSM hari ini telah mengadakan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-72 Bilangan 2 Tahun 2021 secara atas talian menggunakan aplikasi Goggle Meet.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Nassir Bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM ini bertujuan menyelaras dan menyeragam pentadbiran pengurusan kes, kehakiman dan perundangan di seluruh JKSN/MSN.

Dalam ucapan aluan, YBhg.Tuan Pengerusi merakamkan ucapan penghargaan
dan terima kasih kepada Ketua-Ketua Pendaftar Seluruh Malaysia yang telah bertungkus lumus dan sangat komited dalam mengharungi pelbagai situasi pandemik Covid-19, khusunya dalam pengoperasian Mahkamah Syariah dalam tempoh PKP 3.0
YBhg.Tuan Pengerusi turut menyentuh beberapa perkara berkaitan dari semua bahagian untuk makluman dan tindakan lanjut JKSN/MSN.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan minit mesyuarat kali ke 72. Bil.1/2021 dan juga maklum balas serta perkara yang berbangkit dari minit tersebut.
Mesyuarat selanjutnya diteruskan dengan pembentangan Kertas Makluman Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa Tahun 2021 oleh Seksyen Keurusetiaan, BPKR.

Turut hadir di dalam mesyuarat kali ini adalah Ketua-Ketua Pendaftar JKSN/MSN seluruh Malaysia, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM, Pengarah-pengarah Bahagian JKSM dan Pegawai-pegawai Kanan JKSM.

KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN TATATERTIB PENJAWAT AWAM

22 – 24 Jun 2021 | Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pengurusan Tatatertib Penjawat Awamyang diadakan secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Kursus ini telah diadakan selama 3 hari yang disertai oleh Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Pegawai-Pegawai Integriti di JKSM/ JKSN/ MSN, Hakim-Hakim Syarie, Ketua/ Pendakwa Syarie Negeri-Negeri seluruh Malaysia dan kakitangan sokongan serta 19 orang Pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

Kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pemahaman kepada peserta Kursus mengenai peraturan, pengurusan dan prosedur tindakan tatatertib dalam perkhidmatan awam.

Kursus ini telah dikendalikan oleh penceramah berpengalaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Puan Eizan Azura binti Zainudin, dua orang Pegawai daripada Jabatan Peguam Negara iaitu Tuan Zawawi bin Ghazali dan Puan Zuriyati binti Mohd Noor serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) iaitu Puan Rosaniza binti Omar.

Kursus ini telah dimulai dengan kata pembuka Pengacara Majlis dan seterusnya ucapan aluan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Dalam ucapan aluan tersebut, YAA Dato’ Setia Dr. menyatakan bahawa Kursus seperti ini amat penting untuk diadakan kerana merangkumi semua perkara yang perlu diketahui oleh semua pegawai dan kakitangan khususnya oleh Ketua-Ketua Unit Integriti dan Ketua-Ketua Pendaftar yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal integriti dan tatatertib di Jabatan masing-masing.

YAA Dato’ Setia Dr. mengharapkan agar peranan pegawai integriti bukan hanya dilihat terhad sebagai pelaksana tatatertib semata-mata, bahkan turut perlu memainkan peranan sebagai agen pengubah dan agen penyatuan yang boleh mengubah minda dan persepsi warga kerja ke arah kebaikan.

Pada sesi pagi hari pertama, Kursus dimulakan oleh penceramah daripada JPA di mana Para peserta telah diberi penekanan dan pemahaman terhadap tafsiran pegawai awam, tatakelakuan dan larangan dalam perkhidmatan awam serta penubuhan dan fungsi Lembaga Tatatertib.

Pada hari kedua Kursus pula, para peserta telah diberi pencerahan mengenai denganprosedur kes tidak hadir bertugas dan prosedur jenayah dan tahanan (Perintah Tahan Kerja Dan Perintah Gantung Kerja). Para peserta juga diberikan penerangan oleh penceramah daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai dengan bagaimana cara penyediaan dokumen tatatertib dan surat pertuduhan yang betul.

Seterusnya pada hari terakhir Kursus, para peserta diberi pemahaman berkenaan dengan prosedur surcaj dan hukuman tatatertib serta implikasinya terhadap perkhidmatan yang disampaikan oleh penceramah daripada AGC.

Kursus selama 3 hari ini diakhiri dengan pembentangan oleh penceramah daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)berkaitan dengan prosedur rayuan tatatertib dan kesilapan lazim dalam pengurusan tatatertib.

Sepanjang kursus ini berlangsung, para peserta dan penceramah telah dapat mewujudkan komunikasi dua hala di mana pelbagai isu dan persoalan telah dibangkitkan dalam usaha untuk mendapatkan praktis terbaik agar pengurusan hal ehwal integriti dan tatatertib dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

KURSUS UNDANG-UNDANG KETERANGAN: KETERANGAN LISAN (PEMAHAMAN)

24 Jun 2021: Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menganjurkan Kursus Undang-Undang Keterangan: Keterangan Lisan (Pemahaman) yang disertai oleh seramai 89 orang Pegawai-pegawai Pendakwa dan Penolong Pegawai Pendakwa Syarie dari seluruh Malaysia. Kursus ini telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex bermula pada 22 hingga 24 Jun 2021.

Objektif penganjuran kursus kali ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pendakwa-pendakwa Syarie kepada semua peruntukan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dalam pengunaan prinsip undang-undang berkaitan keterangan lisan bagi proses penentuan keberkaitan, penerimaan, penandaan dan menyokong fakta kes.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, iaitu Prof Madya Dr Ramalinggam A/L Rajamanickam, Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kaedah penyampaian oleh penceramah jemputan kali ini dilihat dapat menarik minat para peserta. Penglibatan para peserta kursus kali ini amat memberangsangkan apabila wujud interaksi dan komunikasi dua 2 hala dengan pelbagai isu dan persoalan yang diperbincangkan bersama dalam usaha mempertingkatkan pemahaman dalam Undang-undang keterangan.

Adalah diharapkan agar para peserta mendapat manfaat dan pencambahan ilmu sepanjang kursus ini berlangsung yang dapat memberikan nilai tambah kepada para peserta dalam menjalankan amanah dan tugasan mereka sebagai Pendakwa Syarie di seluruh Malaysia. Semoga penganjuran kursus seumpama ini juga mampu menyumbang kepada usaha memperkasakan dan memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia.

 

KURSUS PENGUATKUASAAN & PELAKSANAAN PERINTAH SIRI 2

24 - 25 Jun 2021 | Bahagian Latihan telah menganjurkan Kursus Penguatkuasaan & Pelaksanaan Perintah Siri 2 yang disertai oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah. Kursus ini telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Arif Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Naím bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Di dalam ucapan perasmian Yang Amat Arif Dato’ Setia Dr. memberi penekanan bahawa Hakim adalah individu yang penting dalam menentukan keadilan kepada pihak-pihak bukan sekadar hanya mengeluarkan perintah di atas kertas tetapi turut memastikan perintah tersebut dipatuhi agar matlamat perintah tersebut dapat dicapai.

Kursus telah diisi dengan sesi perkongsian oleh oleh YA Dato’ Haji Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, JKSM dan Tuan Mohd Hirman Bin Ab Raub, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Klang.

Pada hari pertama kursus ini, Tuan Mohd Hirman Bin Ab Raub telah berkongsi pengalaman bersama peserta mengenai peruntukan serta peraturan yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang terdapat di dalam undang-undang serta pemakaiannya di Mahkamah Sivil manakala pada hari kedua para peserta telah berkongsi pandangan mengenai penguatkuasaan perintah berdasarkan keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan Syariah bersama YA Dato’ Haji Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid.

Di sepanjang kursus berjalan, para peserta dan penceramah telah dapat mewujudkan komunikasi dua 2 hala dengan pelbagai isu dan persoalan dibincang bersama-sama dalam usaha untuk mencari praktis terbaik agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.