Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

KUNJUNG HORMAT KE ATAS PEGUAM BESAR NEGERI SABAH

28 April 2021 | YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Nor Asiah Binti Mohd Yusof, Peguam Besar Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah.

Kesempatan ini di ambil oleh YAA Dato’ Setia Dr. setelah beliau selesai mempengerusikan Sidang Rayuan Syariah di Negeri Sabah yang telah dijadualkan selama dua hari bermula 26 hingga 27 April 2021.

YAA Dato’ Setia Dr. diiringi oleh YA Datuk Jasri@Nasip bin Mat Jakir (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM), YAA Tuan Alidin @ Ahmad Din Bin Okk Othman (Ketua Hakim Syarie, JKSN Sabah) dan YBrs. Puan Surayah Binti Ramlee (Ketua Pendaftar, JKSN Sabah) dan ketibaan mereka telah disambut oleh YBhg. Datuk dan pegawai-pegawai kanan beliau iaitu Dgku Fazidah Hatun (Timbalan Peguam Besar Negeri), Suzumaidah Hj Hussain (Ketua Bahagian Nasihat Guaman), Waravia Badri (Ketua Bahagian Gubalan), Mohd Saifurrazee Bin Mohamed (Ketua Bahagian Nasihat Guaman) dan Siti Hafsah Bt Adenan (Ketua Unit Syariah).

Kunjungan hormat ini adalah bertujuan bagi mengeratkan tali silaturrahim dan jalinan muhibbah antara JKSM, JKSN Sabah dan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah sebagaimana ditekankan oleh YB Menteri di Jabatan Pendana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengkehendaki institusi agama di bawah portfolio YB Menteri hendaklah sentiasa mengadakan kerjasama Persekutuan melalui hubungan yang harmoni selain menyelesaikan segala isu berbangkit secara bersama atas dasar hormat-menghormati antara kuasa persekutuan dan kuasa negeri.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan Perjanjian Skim Gunasama yang telah ditandatangani pada antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah pada 19 Jun 2008, selain berkaitan pengisian jawatan dan penempatan pegawai di JKSN Sabah di mana hingga kini, bilangan perjawatan dari kumpulan sokongan hingga kumpulan pengurusan dan professional adalah berjumlah 213 jawatan dan jumlah pengisian jawatan adalah sebanyak 173 pengisian.

Selain itu, turut dibincangkan adalah berkaitan pengendalian kes rayuan Syariah oleh Panel Rayuan Syariah JKSM selain status projek pembinaan mahkamah Syariah di negeri Sabah iaitu pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang hampir 99% siap serta pembinaan Mahkamah Syariah Daerah di Tawau, Sandakan dan Papar.

Semoga segala hasil perbincangan dalam pertemuan hari ini akan membuahkan hasil yang positif dalam usaha JKSM mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah termasuk dari segi pembangunan dan perkembangan institusi kehakiman Syariah yang akhirnya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan hak-hak mereka menurut undang-undang yang dikanunkan di negeri-negeri termasuk juga Negeri Sabah.

 

LAWATAN KE TAPAK PROJEK KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

26 April 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini berkesempatan meninjau tapak projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Teluk Likas, Kota Kinabalu Sabah.

Lawatan tersebut di buat sejurus YAA Dato Setia Dr. selesai mempengerusikan Sidang Rayuan Syariah di sana tengahari tadi dan ditemani oleh Dr. Jazilah binti Mohd Saad@Mat Saud, Pegawai Penyelidik YAA KP/KHS JKSM, Puan Rafidah binti Abdul Razak, Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM serta Tuan Mohd Amir bin Arifin.

Kehadiran mereka telah di sambut pihak kontraktor, En Hasmi, yang telah memberikan taklimat ringkas tentang perkembangan terkini pembinaan kompleks berkenaan dan turut membawa mereka melawat ke kawasan sekitar projek bagi melihat kemajuan kerja-kerja penyiapan dalam dan luar kompleks.

YAA Dato' Setia Dr. sangat berpuas hati dengan perkembangan terkini projek dan dimaklumkan bahawa bekalan elektrik akan disalurkan ke kompleks berkenaan pada akhir bulan ini.

Sama-sama kita doakan agar kompleks ini siap sepenuhnya dan dapat beroperasi pada masa yang ditetapkan demi menjamin keselesaan petugas mahkamah dan pelanggan mahkamah kelak.

RANGKUMAN KEJAYAAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK) SEKSYEN NEGERI PADA PERMULAAN RAMADHAN 1442H

19 APRIL 2021 (ISNIN) - BSK Seksyen Negeri Kelantan pada hari ini telah berjaya menguatkuasakan perintah melalui Notis Penghakiman dengan jumlah tunggakan sebanyak RM10,000.00 bagi pihak Pemiutang Penghakiman. Penghutang Penghakiman telah dikomitkan ke penjara selama 14 hari di atas kegagalan tersebut. Pada peringkat awal, tunggakan sebanyak RM10,000.00 telah disabitkan oleh mahkamah dan Penghutang Penghakiman hanya diarahkan untuk membayar sebanyak RM60.00 sebulan dan bakinya dijelaskan melalui pengeluaran KWSP pada September 2020. Ironinya, pengeluaran caruman KWSP sebanyak RM40,000.00 telah dibuat oleh Penghutang Penghakiman tetapi pembayaran tunggakan tidak diselesaikan.

Selain itu, BSK Seksyen Negeri Kelantan pada 14 April 2021 telah berjaya merekodkan persetujuan penyelesaian tunggakan nafkah anak dan persekolahan berjumlah RM2,000.00. Penghutang Penghakiman telah bersetuju untuk membuat bayaran secara tunai RM1,500.00 manakala bakinya akan dijelaskan pada Jun depan.

BSK Seksyen Negeri Kedah juga telah berjaya merekodkan pembayaran tunggakan muta’ah sebanyak RM2,800.00 secara tunai sejurus selepas diperintahkan oleh Mahkamah.

BSK Seksyen Negeri Pulau Pinang turut merekodkan penyelesaian kes Saman Penghutang Penghakiman yang berjumlah RM15,100.00, dimana RM1,000.00 dibayar di hadapan Hakim manakala bakinya akan dibayar melalui potongan gaji.

Semoga Ramadhan yang diturunkan Al-Quran membawa sinar keberkatan buat semua Penghutang Penghakiman dalam urusan tuntutan mereka

WACANA EKSEKUTIF MAQASID SYARIAH TAHUN 2021

7 April 2021 | YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah di jemput sebagai salah seorang pembentang di dalam Wacana Eksekutif Maqasid Syariah Tahun 2021 yang diadakan di The Everly, Putrajaya.

Wacana ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan turut dihadiri oleh ketua-ketua agensi di bawah YB Menteri.

YAA Dato' Setia Dr. telah membentangkan tajuk "Impak Maqasid Syariah Terhadap Kelestarian Sistem Perundangan Negara" dengan menumpukan kepada peranan maqasid syariah kepada kelestarian perundangan di Malaysia.

Peranan tersebut yang diaplikasikan bertujuan memberikan flesibiliti dalam urusan perundangan di samping menghasilkan keputusan/penghakiman yang tepat dan berpandangan jauh bagi menyerlahkan kesempurnaan perundangan Islam.

JKSM sebagai agensi penyelaras di peringkat persekutuan telah mengaplikasikan pendekatan maqasid syariah dalam penyeragaman pentadbiran keadilan di mahkamah syariah seluruh negara.

Contoh pengaplikasian tersebut adalah melalui pemerkasaan majlis sulh sebagai kaedah penyelesaian alternatif bagi menyelesaikan sesuatu kes dengan pantas selain menjimatkan masa dan kos samada kepada mahkamah atau pihak-pihak yang bertikai.

Selain itu, JKSM turut menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang berperanan melaksanakan dan menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah bagi memastikan hak diberikan kepada pihak-pihak yang berhak tanpa penangguhan.

JKSM turut menumpukan perhatian kepada aspek pengukuhan institusi kehakiman melalui peningkatan hieraki mahkamah syariah daripada 3 tingkatan mahkamah kepada 4 tingkat sepertimana yang dilaksanakan di Negeri Perak.

YAA Dato' Setia Dr. turut menegaskan bahawa pemakaian dan penghayatan maqasid syariah dalam sistem perundangan adalah sangat penting bagi memastikan sistem kehakiman ini kekal relevan, mapan dan evergreen serta memastikan sistem perundangan ini sentiasa terkini dan tidak ketingggalan zaman.