Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

KUNJUNGAN HORMAT KE KEDUTAAN AFGHANISTAN

5 Mac 2021: Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr. Moheb Rahman Spinghar di Kedutaan Afghanistan, Kuala Lumpur.

Tujuan lawatan adalah untuk bertukar pandangan serta menjalinkan hubungan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Afghanistan khususnya dalam bidang Kehakiman Syariah.

TYT Dr. Moheb yang dilantik sebagai Duta Afghanistan ke Malaysia sejak tahun 2019 melahirkan rasa gembira atas kunjungan YAA Dato' Setia Dr dan pertemuan hari ini merupakan pertemuan kali pertama bagi kedua-dua pihak.

YAA Dato' Setia Dr. terlebih berkongsi tentang sistem perundangan negara khususnya yang menyentuh tentang bidangkuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan selain berkongsi tentang cabaran yang dihadapi serta kedudukan mazhab di Malaysia.

Selain itu, YAA Dato' Setia Dr. turut menerangkan usaha yang dilaksanakan JKSM dalam mewujudkan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia sebagai satu tempat yang menawarkan program latihan bukan sahaja bagi hakim-hakim syarie di Malaysia malahan di seluruh nusantara.

TYT Dr. Mohed yang teruja dengan usaha gigih YAA Dato' Setia Dr. yang dilihat banyak bergerak aktif menyediakan latihan dan pemahaman kepada hakim-hakim syarie termasuk di negara nusantara dan mengharapkan YAA Dato' Setia Dr. untuk turut memberikan sepenuhnya sokongan pada negara Afghanistan yang masih di ambang peperangan.

TYT Dr. Mohed turut menawarkan untuk memeterai perjanjian persefahaman antara JKSM dan Kementerian Kehakiman Afghanistan dalam usaha mewujudkan medan pertukaran maklumat antara hakim-hakim syarie di Malaysia dan Afghanistan.

Perkara tersebut disambut baik oleh YAA Dato' Setia Dr. dan JKSM sedia membantu berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain termasuklah negara Afghanistan.

Semoga pertemuan hari ini memberi natijah yang baik terutama usaha-usaha ke arah memartabatkan sistem kehakiman syariah antara kedua-dua negara.

 

KEJAYAAN PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN PERINTAH BAHAGIAN SOKONGAN KELUARAGA (BSK) SEKSYEN NEGERI -NEGERI

3 Mac 2021 - Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Seksyen Negeri seluruh Malaysia terus mengorak langkah dalam menjalankan fungsi penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dan muta’ah. Terkini, BSK Seksyen Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan tunggakan nafkah sebanyak RM49,154.49 melalui Notis Penghakiman dan Saman Penghutang Penghakiman. Penyelesaian dicapai apabila Penghutang Penghakiman bersetuju untuk menyerahkan bahagian rumah miliknya yang bernilai RM200,000.00 kepada anak-anak sebagai pertukaran penyelesaian tunggakan nafkah.

Berita gembira juga diperolehi daripada Bahagian Sokongan Keluarga BSK Seksyen Negeri Sarawak apabila turut merekodkan kejayaan dengan penyelesaian tunggakan nafkah sebanyak RM1,850.00. Dalam kes lain yang dikendalikan oleh BSK Seksyen Negeri Sarawak, tunggakan nafkah sebanyak RM47,000.00 telah diperintahkan untuk dibayar secara ansuran dengan bayaran awal sebanyak RM5,000.00 dan RM1,000.00. Kedua-dua kes mendapat kerjasama yang baik daripada Penghutang Penghakiman di mana Penghutang Penghakiman telah hadir untuk membuat pembayaran dan direkodkan di hadapan Pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Seksyen Negeri Pahang turut mencatatkan kejayaan dalam proses runding cara yang dilaksanakan. Persetujuan telah berjaya dicapai di antara Pemiutang dan Penghutang Penghakiman bagi penyelesaian penuh tunggakan nafkah sebanyak RM7,720.00.

Kejayaan yang dicapai adalah hasil kerjasama yang baik terutama di pihak Penghutang Penghakiman dalam memastikan tunggakan nafkah dapat dilangsaikan. Semoga lebih ramai Penghutang Penghakiman akan tampil melaksanakan tanggungjawab nafkah anak-anak.

SESI TAKLIMAT PELUPUSAN REKOD DIGITAL

3 Mac 2021: Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod (BPKR) JKSM dengan kerjasama JKSN Terengganu hari ini telah mengurusetiakan satu sesi taklimat dan perbincangan berkaitan pelupusan rekod digital bertempat di Bilik Mesyuarat, Aras 5, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Taklimat yang bermula jam 12 tengahari ini dipengerusikan oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM ini turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie JKSN Terengganu, YAA Tuan Haji Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd.

Terdahulu, YAA Dato' Setia Dr. dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada JKSN Terengganu selaku tuan rumah dan Arkib Negara Malaysia atas kehadiran hari ini yang bertujuan bagi membincangkan Pengurusan Rekod Elektronik/digital dan juga Rekod secara fizikal khususnya di JKSN Terengganu.

Pertemuan pada hari mencatat sejarah tersendiri terutama berkaitan dengan pengurusan pelupusan rekod elektronik yang mana sebelum ini belum pernah dilaksanakan di peringkat JKSM, JKSN dan MSN dan JKSN Terengganu akan menjadi perintis kepada penyelarasan pelupusan rekod elektronik bagi Mahkamah Syariah di Seluruh Malaysia.

Hasil perbincangan telah bersetuju bahawa beberapa dokumen akan dikekalkan termasuklah Perintah Mahkamah, Alasan Penghakiman dan Catatan Hakim Bicara manakala dokumen lain yang dikategorikan sebagai lampiran akan dilupuskan.

Pihak Arkib Negara turut menzahirkan harapan agar tatacara pelupusan rekod digital ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan kapasiti storan dapat menampung keperluan semasa bagi melancarkan tugasan seharian.

Antara yang turut hadir adalah Tuan Haji Nassir Bin Abdul Aziz (Ketua Pendaftar JKSM), Puan Gowri PS Thangaya (Ketua Seksyen, Pengurusan Rekod Elektronik, Arkib Negara Malaysia), Drs. Yusof bin Che Rose (Pengarah Arkib Negara Malaysia Terengganu) dan pegawai-pegawai kanan JKSM.

  

WEBINAR DISCOURSE ON "THE RIGHTS OF FUTURE GENERATIONS"

3 Mac 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah dijemput sebagai salah seorang pembincang di dalam Webinar Discourse on "The Rights of Future Generations" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Webinar yang dimoderatorkan oleh Dr. Mohd Sani bin Badron dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi IKIM, YBhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid sebelum diteruskan dengan pembentangan tema webinar yang disampaikan oleh YBhg Datuk Emeritus Professor Dr. Shad Saleem Faruqi dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Sesi kemudian diteruskan dengan perbincangan tema daripada 5 orang tokoh dalam pelbagai bidang dan YAA Dato' Setia Dr. selaku pembincang pertama telah berkongsi secara mendalam tentang hak setiap generasi termasuklah generasi yang akan datang di Malaysia dalam mendapatkan keadilan di mahkamah syariah.

Menurut YAA Dato' Setia Dr., sistem kehakiman syariah yang berpaksikan Al-quran dan Sunnah sememangnya sesuai diaplikasikan pada masa kini mahupun pada masa hadapan terutamanya apabila menyentuh bab akidah.

Jaminan bagi mendapatkan keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai adalah amat penting bagi memastikan mereka berpuas hati dengan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah syariah.

JKSM selaku agensi persekutuan bagi menyelaras sistem kehakiman syariah sentiasa berusaha keras bagi memastikan keadilan dapat dicapai antaranya dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi menguatkuasakan perintah nafkah, pembinaan Arahan Amalan, penyelarasan pengoperasian melalui pembinaan SOP berkaitan dan usaha mempromosikan penggunaan inovasi kepada negeri-negeri seperti perbicaraan secara dalam talian.

Menurut YAA Dato Setia Dr. lagi, setiap mahkamah syariah juga mempunyai KPI yang perlu dicapai setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat adalah yang terbaik.

Selain YAA Dato' Setia Dr., pembincang lain yang turut serta adalah Tuan Hj Roslan bin Mat Nor (Jabatan Peguam Negara), Encik Jufitri bin Joha (Presiden Majlis Belia Negara), Dato' Ahmad Nazim bin Abdul Rahman (Allied Investment Partners) dan Tn Hj. Ir. Mohd Jamaluddin bin Shamsudin (CEO ACCIN).