Jumaat 28 Januari 2022
Text Size

 

NAFKAH ISTERI DAN ANAK TERBELA DALAM SITUASI PANDEMIK COVID -19

Setiap bekas suami harus mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi bahawa pada masa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukanlah alasan untuk tidak menunaikan tangungjawab membayar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.


Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu dari segi penguatkuasaan, jadi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melihat keperluan penguatkuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah disabitkan oleh Mahkamah Syariah.


Sedar dengan tanggungjawab tersebut, pada 14 Januari 2021 yang lalu, Pihak Penghutang Penghakiman telah hadir ke Pejabat BSK Seksyen Negeri Sarawak untuk membayar tunggakan Nafkah Anak. Mahkamah Tinggi Syariah di Kuching telah mensabitkan tunggakan Nafkah Anak keseluruhan sebanyak RM47,000. Penghutang Penghakiman telah membayar RM5,000 melalui pengeluaran i-Sinar KWSP dan membayar RM1,000 di hadapan Pegawai BSK Sarawak pada 17 Februari 202. Manakala baki tunggakan akan di bayar sebagaimana yang telah di perintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah secara ansuran.


Seterusnya pada 16 Februari 2021, Mahkamah Rendah Syariah Taiping telah merekodkan penyelesaian Tunggakan Nafkah Iddah (RM900.00) dan Muta’ah (RM10,000.00) secara tunai melalui Notis Penghakiman yang telah difailkan pada 11 Oktober 2019 oleh Peguam/Pegawai BSK Seksyen Negeri Perak. Penyelesaian ini dilaksanakan secara ansuran pada 18 November 2020 sebanyak RM2,000.00, pada 26 Januari 2021 pula sebanyak RM8,000.00 dan baki RM900.00 pula telah dimasukkan ke dalam akaun bank Pemiutang Penghakiman pada 1 Feb 2021.


Sementara itu, pada 18 Feb 2021, hasil daripada sesi pertemuan pihak-pihak bersama dengan Pegawai BSK Seksyen Negeri Sembilan, Penghutang Penghakiman telah bersetuju untuk membuat pembayaran tunggakan muta’ah sebanyak RM5,000.00 dan nafkah anak sebanyak RM1,440.00. Kaedah pembayaran adalah melalui online tranfers kepada akaun Pemiutang Penghakiman oleh Penghutang Penghakiman. Justeru BSK JKSM mengharapkan agar kes tunggakan nafkah seperti ini dapat diselesaikan melalui saluran perundangan dengan kerjasama yang baik antara pihak-pihak.

LAWATAN KE BAHAGIAN PENDAKWAAN JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SABAH

18 Februari 2021: Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato' Setia Dr. Na'im bin Hj. Mokhtar hari ini meluangkan masa melawat warga kerja Bahagian Pendakwaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jaheins) bertempat di Wisma MUIS kota Kinabalu.

Kunjungan tersebut diadakan sejurus selepas YAA Dato' Setia Dr. selesai mempengerusikan sidang rayuan syariah bertempat di Mahkamah Sivil Sabah.

Kehadiran YAA Dato' setia Dr. telah disambut oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Tuan Mohd Ridzuan Bin Othman dan Tuan Pendakwa Syarie, Dr. Pengiran Ismail serta pegawai kanan Jaheins yang lain.

Lawatan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak selain sebagai tanda keprihatinan JKSM terhadap Bahagian Pendakwaan Syariah Sabah yang telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah di Malaysia.

YAA Dato' Setia Dr. terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kesudian Bahagian Pendakwaan menyambut kehadiran beliau dan YAA Dato' Setia Dr. turut memberi pesanan kepada para pegawai agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab walaupun mempunyai kakitangan dan pegawai yang terhad jika diambil kira dengan kedudukan geografi negeri Sabah yang luas.

Tuan KPS turut berkesempatan memberikan taklimat ringkas berkenaan operasi dan struktur pentadbiran Bahagian Pendakwaan Syariah Negeri Sabah.

 

LAWATAN MENGEJUT KE JABATAN BANTUAN GUAMAN NEGERI SABAH

17 Februari 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah membuat lawatan mengejut ke Jabatan Bantuan Guaman Sabah.

Lawatan tersebut dibuat sejurus selepas YAA Dato' Setia Dr. selesai mempengerusikan Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Sabah di Kompleks Mahkamah Sivil pada sebelah pagi.

Kehadiran YAA Dato' Setia Dr. telah disambut oleh Pengarah JBG Sabah, Puan Safiyatun binti Ahmadun bersama Ketua Unit Syariah, Puan Taherah Bt. Tahir serta kakitangan JBG yang lain.

YAA Dato' Setia Dr. sempat menitipkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan kaitangan di atas khidmat dan bantuan kemasyarakatan termasuk membantu pihak mahkamah bagi mengendalikan kes dengan adil dan saksama.

YAA Dato Setia turut memberikan taujihat kepada mereka agar terus melaksanakan amanah sebagai seorang peguam syarie JBG dengan sebaik baiknya.

Turut hadir bersama YAA Dato' Setia Dr. adalah Tuan Muhamad Yusro bin Borhan Nordin, Ketua Penolong Pengarah, BPKR JKSM dan Tuan Mohd Amir bin Hj. Ariffin@Mohd Riffin, Pendaftar JKSN Sabah.

 

LAWATAN TAPAK PROJEK KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

16 Februari 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM petang ini berkesempatan meninjau tapak projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Teluk Likas, Kota Kinabalu Sabah.

YAA Dato' Setia Dr. ditemani oleh YAA Tuan Ahmad Din bin OKK Othman, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah dan Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar JKSN Sabah dan mereka di bawa melawat ke kawasan sekitar projek oleh pihak kontraktor bagi melihat kemajuan kerja-kerja penyiapan dalam dan luar kompleks.

Sejurus selepas lawatan, YAA Dato Setia Dr. turut menghadiri mesyuarat taklimat kemajuan pembinaan kompleks tersebut bersama pihak kontraktor dan JKR Malaysia di Bilik Mesyuarat JKSN Sabah Tingkat 6 Wisma MUIS.

Mesyuarat tersebut yang turut diadakan secara dalam talian melalui aplikasi google meet bagi membincangkan tahap kemajuan projek yang kini mencapai 96.53 peratus yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2021.