Isnin 23 September 2019
Text Size

 

Bahagian Sokongan Keluarga

Pengenalan

Latar Belakang
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) merupakan Bahagian yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) rentetan daripada permasalahan berhubung pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah. Menyedari keruncingan masalah pengabaian perintah Mahkamah Syariah berkaitan pembayaran nafkah, maka Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-46 pada 7 Jun 2007 yang dipengerusikan oleh Mantan Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi (pada ketika itu) telah memutuskan agar BSK diwujudkan. Keputusan ini telah direalisasikan pada bulan Oktober 2008 apabila BSK ditubuhkan dan mula beroperasi sejak April 2009 dengan menempatkan seramai 96 orang pegawai dan kakitangan JKSM di seluruh Mahkamah/Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri.

Visi
“Berusaha menjadikan BSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif”

Misi
“BSK  komited untuk bertindak sebagai agensi utama dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya mengutamakan sistem kekeluargaan berlandaskan ajaran Islam, berperibadi mulia hasil daripada keluarga yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni”

 

Objektif

  1. Memastikan kepentingan golongan yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah terpelihara;
  2. Menyelesaikan dan mengenalpasti masalah pemiutang/penghutang penghakiman terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya;
  3. Mengatasi masalah isu kelewatan dalam pengendalian kes-kes penguatkuasaan perintah kehakiman; dan
  4. Memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terbabit di dalam institusi kekeluargaan.

 

Fungsi

  1. Memberi khidmat nasihat dan perundangan Syariah kepada pihak-pihak terlibat secara khusus berkaitan tuntutan nafkah serta tatacara penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman atau perintah selepas suatu penghakiman atau perintah dibuat oleh Mahkamah Syariah;
  2. Melaksanakan tugas peguam Syarie dan Bailif dalam pelaksanaan penghakiman dan penguatkuasaan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah berkaitan dengan nafkah bagi memastikan sesuatu perintah dapat dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua pihak;
  3. Memastikan pengurusan pentadbiran berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman antara negeri-negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan; dan
  4. Menguruskan bantuan kewangan sementara dalam bentuk pendahuluan nafkah kepada pemiutang penghakiman (bekas isteri dan anak-anak) yang menjadi mangsa kegagalan pembayaran nafkah oleh penghutang penghakiman (bekas isteri atau bapa).

 

Unit-Unit Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK)

  • Unit Khidmat Nasihat Perundangan  (UKNP)
  • Unit Pengurusan Dana  (UPD)
  • Unit Penguatkuasaan & Pelaksanaan Perintah  (UPPP)

 

Fungsi Unit-Unit

Unit Khidmat Nasihat Perundangan (UKNP)
  1. Bertanggungjawab mengendalikan sesi khidmat nasihat kepada pelanggan;
  2. Mengeluarkan notis kehadiran yang bertujuan untuk memanggil dan menjalankan siasatan terhadap bekas suami atau bapa; dan
  3. Menjalankan proses Rundingcara yang mana pegawai BSK/SBSK akan berusaha untuk mendapatkan persetujuan bersama daripada kedua-dua belah pihak dalam melaksanakan perintah nafkah.

Unit Pengurusan Dana  (UPD)
  1. Membuat bayaran pendahuluan nafkah sementara kepada ibu dan/atau anak-anak yang berkelayakan selama tempoh 6 bulan;
  2. Menyediakan syor kelulusan penerima dana untuk pertimbangan Jawatankuasa Akaun Amanah;
  3. Mengemaskini maklumat kutipan balik dana oleh penghutang penghakiman/pemiutang penghakiman; dan
  4. Menyelia dan menyelenggara Akaun Amanah BSK dan KWASK agar mematuhi prosedur kewangan.

Unit Penguatkuasaan & Pelaksanaan Perintah  (UPPP)
  1. Menjalankan tugas sebagai peguam Syarie dalam mendapatkan perintah penguatkuasaan daripada Mahkamah Syariah yang berkaitan.
  2. Bertanggungjawab sebagai Bailif bagi menjalankan kaedah-kaedah penguatkuasaan yang diputuskan oleh mahkamah.
  3. Menentukan jenis tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dalam salah satu bentuk tindakan seperti Notis Tunjuk Sebab/Komital, Penyitaan Dan Penjualan, Penyitaan Dan Penghantarserahan Harta Alih, Hiwalah, Saman Penghutang Penghakiman, Notis Penghakiman dan Ubah Perintah saman penghutang penghakiman.

 

Perkhidmatan BSK Transit

Satu perkhidmatan penginapan sementara secara percuma kepada pihak-pihak / saksi-saksi yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pihak-pihak yang terlibat dengan sidang perantaraan di Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Putrajaya dan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan pihak-pihak terlibat dalam kes Tribunal Tuntutan Pengguna. Perkhidmatan ini dikhaskan buat pelanggan yang menetap dikawasan luar Lembah Klang. Keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang kurang berkemampuan (kemampuan dinilai mengikut had kifayah yang dikeluarkan oleh MAIWP). Di samping penginapan percuma, pelanggan BSK Transit boleh menuntut kos perjalanan dan kos makan minum sepanjang menginap di BSK Transit. Bantuan kemudahan penginapan disediakan di Kuarters Kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur dan kuarters  di Fasa 18R4, Presint 18, Putrajaya.

Di antara objektif perkhidmatan ini ditawarkan seperti berikut:

  1. Menjamin kehadiran pihak-pihak di Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan dalam prosiding perbicaraan;
  2. Melicinkan perjalanan prosiding kes di Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan;
  3. Mengurangkan beban kewangan pihak-pihak yang kurang berkemampuan berulang alik menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah melalui pembiayaan kos perbelanjaan pengangkutan, penginapan, dan makan minum;
  4. Melindungi keselamatan pihak-pihak terutamanya golongan ibu tunggal yang sesetengahnya terpaksa bermusafir untuk menghadiri kes di Mahkamah Syariah;
  5. Menyediakan tempat penginapan sementara kepada para wanita yang terlibat dengan kes-kes berkaitan keganasan rumahtangga; dan
  6. Memberi keselesaan dan ketenangan dalam menghadiri prosiding atau perbicaraan.

Berikut merupakan fungsi-fungsi BSK Transit:

  1. Menyediakan kemudahan atau penempatan penginapan (TRANSIT) kepada ibu-ibu tunggal dan pihak-pihak yang tidak berkemmapuan semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah;
  2. Menjamin kehadiran pihak-pihak dalam prosiding atau perbicaraan di Mahkamah Syariah di mana berlaku sesetengah kes yang terpaksa ditangguh kerana ketidakhadiran pihak-pihak akibat masalah perjalanan dan kos dari tempat mereka ke Mahkamah;
  3. Menyediakan kemudahan Penginapan serta melindungi keselamatan pihak-pihak khususnya ibu-ibu tunggal;
  4. Mempercepatkan lagi proses perbicaraan dan seterusnya dapat mengurangkan bilangan kes-kes tertangguh di Mahkamah akibat ketidakhadiran pihak-pihak atas alas an jarak perjalanan ke Mahkamah jauh dari tempat tinggal; dan
  5. Memberi keselesaan dan ketenangan dalam menghadiri prosiding atau perbicaraan.

Pemohon yang berhasrat untuk menginap di BSK Transit perlu memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dan kriteria-kriteria tersebut seperti berikut:

1) Kriteria dan ciri-ciri kelayakan permohonan perkhidmatan BSK Transit adalah seperti berikut:-

  1. Pemohon beragama Islam;
  2. Merupakan  pihak / saksi di dalam prosiding di Mahkamah Syariah / perantaraan di Jabatan Bantuan Guaman (JBG) /sesi majlis Sulh di Mahkamah Syariah / kes Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia;
  3. Tinggal di luar kawasan  lembah Klang; dan
  4. Tidak berkemampuan.

2)    Bagi maksud  perenggan 1 (d) di atas, pemohon hendaklah terdiri daripada golongan miskin dan faqir.

3)    Sebarang pengecualian daripada pemakaian kriteria dan ciri-ciri kelayakan diperenggan satu (1) di atas hanya boleh dipertimbangkan dengan kelulusan Pengarah BSK mengikut setiap kes secara berasingan (case by case basis).

Berikut pula merupakan tatacara permohonan menduduki BSK Transit secara manual dan atas talian (online):

1)    Permohonan hendaklah mengemukakan borang  permohonan yang telah lengkap kepada Pegawai BSK atau mengisi permohonan secara atas talian dengan mengemukakan dokumen berikut:

  1. Borang Permohonan BSK Transit;
  2. Salinan Kad Pengenalan pemohon;
  3. Salinan Notis Kehadiran dan / atau notis tangguhan dari Mahkamah;
  4. Salinan Slip Gaji ( sekiranya ada ); dan
  5. Salinan muka depan buku akaun.

2)    Permohonan secara atas talian juga boleh dibuat melalui pautan www.bsktransit.jksm.gov.my

3)    Setiap permohonan hendaklah tiga puluh hari sebelum tarikh prosiding di Mahkamah Syariah, kecuali terdapat alas an munasabah yang dipertimbangkan dan diluluskan oleh Pegawai BSK mengikut setiap kes secara berasingan.

 

Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga

BSK menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga dan fungsi Jawatankuasa adalah sebagaimana berikut:

  1. Untuk menasihati BSK tentang apa-apa aspek penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah
  2. Untuk menasihati BSK tentang dasar dan strategi BSK dalam usahanya untuk menguatkuasa perintah nafkah;
  3. Untuk menerima, meneliti dan mengendorskan cadangan daripada mana-mana pihak ke arah perjalanan cekap dan berkesan BSK;
  4. Untuk meneliti dan mengendorskan keperluan sumber BSK bagi memastikan keberkesanannya;
  5. Untuk meneliti laporan tahunan BSK dan
  6. Untuk mengemukakan ulasannya tentang pengoperasian BSK dan fungsinya kepada JKSM dan Mahkamah Syariah Negeri serta mana-mana pihak yang berkepentingan.

 

Carta Organisasi Bahagian