JKSM tiada kuasa bicara kes murtad bukan warganegara

MOHD. Na’im Mokhtar (kiri) menunjukkan kenyataan media penghakiman pertama Mahkamah Utama Syariah Perak yang didengar keputusannya di Ipoh hari ini. – UTUSAN/SHAARANI ISMAIL

IPOH: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan kes membabitkan wanita Islam bukan warganegara yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ini kerana perbuatan itu dipercayai dilakukan individu berkenaan di negara asalnya dan bukan Malaysia.

Beliau berkata, tindakan terhadap individu itu hanya boleh diambil sekiranya ia dilakukan di negara ini yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992.

“Kalau kesalahan percubaan untuk murtad contohnya, sudah tentu dalam konteks syariah ini tidak melihat kepada negara. Contohnya, kalau ada orang Indonesia atau Arab yang beragama Islam melakukan satu-satu kesalahan dalam negara ini yang jatuh di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

“Contoh isu khalwat, dia warga Indonesia dan beragama Islam ditangkap di Malaysia, jadi, dia boleh dihukum di bawah undang-undang negara kita. Kita tidak melihat dari mana orang itu selagi dia beragama Islam.

“Tetapi, kalau kesalahan itu berlaku melibatkan orang Indonesia,di negara Indonesia (kesalahan murtad), sudah tentulah kita tidak ada bidang kuasa untuk membicarakan. 

“Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa untuk membicarakan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar perbicaraan pertama di Mahkamah Utama Syariah Perak di Kompleks Mahkamah Syariah Ipoh, di sini hari ini.

.

Baru-baru ini tular video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Muslim mendakwa memurtadkan seorang wanita Islam dan berkahwin dengan wanita terbabit yang bukan warga tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, kes itu kini dalam siasatan dan tindakan pihak polis.

Mohd. Na’im berkata, tindakan terhadap individu terbabit mungkin boleh diambil oleh mahkamah sivil sekiranya berlaku elemen berkaitan hasutan atau perkara yang menimbulkan rasa ketegangan antara kaum dan huru hara.

Sementara itu, mengulas penghakiman Mahkamah Utama Syariah yang telah memulakan sidang pertamanya pada 16 Julai 2020 lalu, Mohd. Na’im berkata, ia telah mencapai keputusan penuh merit rayuan pada hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu rayuan bantahan awal terhadap rayuan harta sepencarian di Mahkamah Rayuan Syariah.

Katanya, keputusan hari ini telah didengari dan dihadiri oleh kedua pihak-pihak bersama peguam masing-masing.

“Mahkamah Utama Syariah yang telah ditubuhkan dan diluluskan penubuhannya oleh Dewan Undangan Negeri Perak pada Mei 2018 merupakan hierarki tertinggi mahkamah yang mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Syariah dan keputusan kes ini telah dicapai dan diselesaikan dalam tempoh tujuh bulan bermula daripada pemfailan notis rayuan yang telah dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Sumber: Utusan Malaysia

Last Updated on Disember 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in Julai 2022

Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad
Jun 27, 2022(2 events) Jun 28, 2022(1 event) Jun 29, 2022 Jun 30, 2022 Julai 1, 2022(2 events) Julai 2, 2022 Julai 3, 2022
Julai 4, 2022(1 event) Julai 5, 2022 Julai 6, 2022 Julai 7, 2022 Julai 8, 2022 Julai 9, 2022 Julai 10, 2022
Julai 11, 2022 Julai 12, 2022 Julai 13, 2022 Julai 14, 2022 Julai 15, 2022(1 event) Julai 16, 2022 Julai 17, 2022
Julai 18, 2022(1 event) Julai 19, 2022 Julai 20, 2022 Julai 21, 2022 Julai 22, 2022 Julai 23, 2022 Julai 24, 2022
Julai 25, 2022 Julai 26, 2022 Julai 27, 2022(1 event) Julai 28, 2022(1 event) Julai 29, 2022(2 events) Julai 30, 2022 Julai 31, 2022