Putrajaya, 14 Mei 2012- “Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk menjalinkan kerjasama pintar bersama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat awam.
Memandangkan matlamat utama BSK juga adalah selari dengan JKM, maka JKM berbesar hati untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat yang menghadapi masalah penguatkuasaan perintah di Mahkamah Syariah. Selain itu, JKM juga berharap agar BSK akan menerima kes-kes yang diadukan kepada JKM terutamanya melibatkan kes-kes penguatkuasaan perintah nafkah untuk diambil tindakan oleh BSK,” kata YBhg En. Sharudin Shar Kashim, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JKM ketika sesi kunjung hormat BSK ke Jabatan tersebut.
Terdapat empat (4) persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua agensi terbabit sepertimana berikut:
- JKM bersedia menerima cadangan permohonan daripada mana-mana ibu tunggal yang diserahkan oleh BSK sekiranya ibu-ibu tunggal tersebut tidak berkelayakan mendapat bantuan pendahuluan dana BSK, dengan syarat permohonan tersebut akan melalui prosedur penyiasatan yang sama dengan permohonan persendirian lain;
- BSK bersetuju untuk menerima kes-kes daripada mana-mana individu yang dicadangkan oleh JKM dengan syarat kes tersebut hendaklah tertakluk di bawah bidangkuasa BSK untuk menguatkuasakan perintah nafkah;
- JKM bersetuju untuk menyediakan slot memperkenalkan BSK kepada pengarah JKM di negeri-negeri seluruh Malaysia agar sinergi kerjasama tersebut akan berjalan dengan lebih efisyen; dan
- JKM dan BSK akan menyediakan arahan lanjut kerjasama tersebut kepada pegawai-pegawai di seluruh Malaysia berhubung kerjasama ini.
“BSK mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JKM atas kerjasama yang diberikan tersebut dan amat berharap agar kerjasama ini mampu mempertingkatkan sistem penyampaian kedua-dua agensi ke tahap yang lebih cemerlang,” kata YBrs Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, Pengarah BSK ketika mengakhiri sidang tersebut yang turut dihadiri oleh En. Hamazah Mohamad, Bahagian Pembangunan Sosioekonomi dan Bantuan, En. Azmir Kassim dan Puan Noor Hanizah binti Zulkafli dari Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Puan Nor Aziah binti Che Mok Ali dari Bahagian Warga Tua dan Keluarga dan En. Wan Mohd. Hafifi Wan Ismail, Pegawai Khas Ketua Pengarah JKM. Manakala bersama-sama Pengarah BSK di dalam sesi kunjung hormat tersebut adalah Puan Roziana Mat Amin dan En. Mohd. Norman Abdul Jalil.
Untuk rekod, sehingga kini BSK telah mengadakan kerjasama pintar bersama beberapa agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Majlis Agama Islam, Jabatan Bantuan Guaman, Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pembangunan Wanita, dan lain-lain agensi yang memberikan kerjasama yang amat positif.




