Cherating, 23 Mei 2012 – Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Bengkel Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) Bil 1/2012.
Bengkel ini bertujuan untuk menyelaraskan struktur kod dan data bagi skop pendidikan pengajian islam. Bengkel tersebut telah dilaksanakan di Suria Cherating Beach Resort, Pahang dari 23 hingga 25 Mei 2012 dan telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Radzi Bin Abd.Latif selaku Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Seramai 42 orang peserta terlibat dan mereka terdiri daripada agensi-agensi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG). Kesemua peserta bengkel hadir bagi membantu pihak JKSM dan IKIM menyeragamkan kesemua struktur kod dan data yang telah diperolehi daripada sistem-sistem dari agensi yang memenuhi keperluan untuk mencapai objektif bengkel ini. Selain dari proses penyeragaman ini, terdapat juga kumpulan penterjermah yang ditugaskan khas untuk mengalih bahasa struktur kod dan data dari bahasa melayu ke bahasa arab bagi skop nikah, rujuk dan cerai.
Bengkel yang dikawal selia oleh pihak MAMPU ini juga telah berjaya menyelaraskan struktur kod bagi kod bidang pengkhususan pengajian islam dan kod peringkat pengajian islam. Walaubagaimanapun, pihak urusetia tidak dapat menyiapkan bagi kategori struktur data berikutan terdapat penambahan maklumat dari pelbagai agensi di saat-saat akhir. Oleh yang demikian, pihak urusetia dan peserta telah bersetuju untuk mengadakan satu bengkel kecil bagi menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh.
Secara konklusinya, bengkel ini mendapat maklum balas yang baik dari agensi yang terlibat kerana keseragaman kod-kod yang dibuat dapat mengelakkan duplikasi kod antara agensi sekaligus ia memudahkan pertukaran data antara agensi. Oleh itu, pihak Bahagian Teknologi Maklumat Komunikasi, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan berusaha memperbaiki dan meningkatkan mutu kerja bagi bengkel yang akan diadakan pada masa akan datang.




