SELASA, 26 JUN 2012- YBrs Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) meneruskan siaran terakhirnya di slot Mahligai Kasih radio IKIMfm dengan perbincangan berjudul ‘Syariah Asas Keadilan’.
Walaupun baru 6 bulan bersiaran, rancangan interaktif tersebut menduduki rating kedua dari sudut jumlah pendengar yang paling ramai pada waktu puncak dengan bilangannya mencecah hampir 100,000 pendengar bagi setiap slot.
Mengulas mengenai topik perbincangan tersebut, Dr. Mohd. Na’im menegaskan,
Islam merupakan gabungan daripada tiga (3) paksi utama iaitu aqidah, akhlak dan syariah. Walaupun perundangan syariah yang diqanunkan merupakan perundangan yang terbaik, namun dalam usaha untuk memperbetulkan sikap segelintir masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab, maka peranan setiap individu serta masyarakat sekeliling memainkan fungsi yang amat penting. Kerana itu, aqidah, akhlak, serta pematuhan kepada syariahlah yang akan memupuk serta melahirkan masyarakat yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi penuh dengan sifat penyayang .
Di dalam segmen terakhir itu juga, Dr. Mohd. Na’im turut menghuraikan perbezaan peranan yang dimainkan oleh institusi keagamaan di negeri-negeri seluruh Malaysia seperti Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam agar masyarakat boleh mengambil langkah yang bijak dan tepat ketika menghadapi permasalahan kekeluargaan.
Dan akhirnya saya ingin berpesan kepada masyarakat terutamanya kepada kaum lelaki agar menjaga amanah Allah SWT yang terdiri daripada isteri dan anak-anak dengan sebaik-baiknya kerana pernikahan merupakan perjanjian daripada ALLAH SWT dan bukanlah kontrak yang boleh dimungkiri sesuka hati, tambah beliau lagi.
Untuk rekod, Dr. Mohd. Na’im telah bersiaran secara langsung di Mahligai Kasih, radio IKIM semenjak Januari 2012 dengan memberikan penjelasan khusus berkenaan peranan BSK selama dua (2) bulan berturut-turut dan diikuti pula dengan topik-topik perbincangan berhubung perundangan dan hal ehwal kekeluargaan.
Selain itu, slot selama satu (1) jam ini juga membuka seluas-luasnya ruang kepada para pendengar untuk mengemukakan sebarang persoalan yang melibatkan hal ehwal domestik bagi mendapatkan penjelasan daripada Pengarah BSK tersebut.




