KEADILAN IHSAN MENERUSI ADR: UCAPAN PERASMIAN PENGERUSI MAIWP KETIKA PERSIDANGAN PEGAWAI SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-18

KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2022 | Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berbesar hati merasmikan Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-18.

Persidangan tahunan ini menjadi wadah kepada pihak pentadbiran tertinggi serta warga pelaksana perundangan dan kehakiman syariah untuk berbincang, berkongsi pandangan serta iltizam dalam menetapkan hala tuju bagi memperkasakan lagi institusi kehakiman syariah di Malaysia.

“Alternative Dispute Resolution (ADR) bukanlah suatu kaedah baharu. Walaupun amalannya diaplikasikan secara rasmi di Mahkamah Syariah semenjak 20 tahun lalu, namun mekanisme sulh ini telah disemi menerusi pengiktirafan yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadith,” ujar Pengerusi MAIWP tersebut.

“Penyelidikan perlu digerakkan dengan penuh komited melibatkan pelbagai disiplin ilmu terutamanya dalam menganalisa ciri-ciri manusiawi yang mempunyai kecenderungan tertentu agar kes di Mahkamah dapat dikendalikan dengan tepat dan lebih efisyen,” saran YBhg Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar ketika menyampaikan ucapan.

“Begitu juga pendekatan yang luas perlu diperuntukkan agar ADR boleh menjadi penapis utama sebelum kes dibawa ke Mahkamah, bukan hanya bagi kes-kes tertentu dan terhad semata,” tambah beliau lagi.

“Saya menyokong segala inisiatif bagi memantapkan sistem keadilan menerusi penggembelengan ADR ini. Usaha penambahbaikan perlu dilakukan segera seperti mewujudkan bahagian khusus ADR di JKSM, mahupun di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri.”

“Begitu juga, usaha penyeragaman undang-undang, kaedah, peraturan dan amalan berkaitan ADR di seluruh mahkamah Syariah, di samping menambah nilai kemahiran pegawai-pegawai ADR melalui pelaksanaan kursus-kursus yang diakreditasi oleh badan-badan profesional tempatan dan antarabangsa yang diiktiraf.”

“Keadilan bukan hanya tercapai menerusi undang-undang substantif dan dari aspek prosedural sahaja, namun aspek keadilan ihsan perlu juga diberi perhatian serius. Saya percaya menerusi ADR, keadilan ihsan ini dapat diterokai dan dicapai,” tambah beliau lagi sebelum mengakhiri ucapan perasmian Persidangan tersebut.

Majlis perasmian ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Untuk rekod, Persidangan ini berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Oktober 2022 secara hybrid menerusi kehadiran para pegawai di The Pearl Hotel Kuala Lumpur dan juga atas talian menerusi laman sesawang serta facebook JKSM.

Hari kedua ini dimulakan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh al-Fadhil Sahibus Samahah Dato’ Dr. Hj Anhar bin Hj Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor. Penekanan terhadap ayat al-Quran, sirah Rasulullah SAW serta pengalaman para sahabat mengenai ADR menjadi tunjang malar segar dalam kupasan tersebut.

Last Updated on October 28, 2022

Kalendar JKSM

Events in February 2023

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
January 30, 2023(1 event) January 31, 2023(1 event) February 1, 2023 February 2, 2023(2 events) February 3, 2023 February 4, 2023 February 5, 2023
February 6, 2023 February 7, 2023(1 event) February 8, 2023 February 9, 2023(1 event) February 10, 2023(1 event) February 11, 2023 February 12, 2023
February 13, 2023(1 event) February 14, 2023(1 event) February 15, 2023 February 16, 2023 February 17, 2023 February 18, 2023 February 19, 2023
February 20, 2023(1 event) February 21, 2023(1 event) February 22, 2023(1 event) February 23, 2023 February 24, 2023 February 25, 2023 February 26, 2023
February 27, 2023(1 event) February 28, 2023 March 1, 2023 March 2, 2023 March 3, 2023 March 4, 2023 March 5, 2023