MAJLIS KUNJUNG HORMAT HAKIM SYARIE WANITA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI DAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI KE ATAS KETUA HAKIM NEGARA

PUTRAJAYA 10 MAC 2022: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menganjurkan Majlis Kunjung Hormat Hakim Syarie Wanita Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri Ke Atas Ketua Hakim Negara bertempat di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman.

Perjumpaan ini telah melakar sejarahnya yang tersendiri kerana julung-julung kali diadakan di antara Ketua Hakim Negara dan juga para Hakim Syarie Wanita dari seluruh Malaysia. Kunjung Hormat ini adalah hasil dari pertemuan YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Naim bin Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bersama YAA Tun Tengku Maimun pada 8 Disember 2021 yang lalu.

Delegasi seramai 23 orang dari JKSN/MSN ini telah diketuai oleh Puan Nenney Shuhaidah Shamsudin, Pengarah Bahagian Latihan yang juga Mantan Hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor. Pertemuan yang telah berlangsung selama 2 jam ini turut dihadiri oleh beberapa orang Hakim Mahkamah Persekutuan dan juga para pegawai Kanan dari Badan Kehakiman Malaysia.

Pertemuan ini juga telah diadakan bersempena dengan Hari Wanita yang disambut pada 8 Mac dan juga Hari Hakim Wanita Sedunia yang disambut pada 10 Mac pada setiap tahun. Pertemuan ini secara ekslusifnya tertutup hanya kepada semua Hakim Syarie Wanita dan Pegawai Wanita sahaja.

Sesi kunjungan ini dimulakan dengan lawatan ke Galeri Istana Kehakiman. Para peserta telah di bawa melihat perkembangan perundangan dan kehakiman Malaysia bermula dari penemuan Batu Bersurat yang menjadi bukti pengaruh Islam telah sampai ke Tanah Melayu seawal kurun ke-13 sehingga kedatangan Inggeris yang memberi impak kepada senario kehakiman dan perundangan di Malaysia. Para Peserta kemudiannya di bawa ke Dewan Banquet dan kemudiannya ke lokasi penggambaran bersama YAA Ketua Hakim Negara.

Majlis Kunjung Hormat bersama YAA Ketua Hakim Negara dimulakan dengan ucapan aluan oleh YAA sendiri. Dalam ucapannya, YAA Tun telah berkongsi bahawa pada 28 April tahun lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memutuskan untuk mengisytiharkan 10 Mac setiap tahun sebagai ‘Hari Hakim Wanita Antarabangsa’ dan menyeru Negara Anggota untuk mematuhi perkara yang sama, ‘untuk menggalakkan penyertaan penuh dan sama rata wanita di semua peringkat badan kehakiman’. Simboliknya, sambutan Hari Hakim Wanita Antarabangsa diadakan selepas sambutan Hari Wanita Sedunia yang berlangsung pada 8 Mac setiap tahun.

YAA Tun dalam ucapannya turut menyentuh berkaitan peranan penting Hakim Wanita dalam melaksanakan keadilan dan mengukuhkan kedaulatan undang2. Beliau juga menyatakan sambutan Hari Hakim Wanita Antarabangsa ini merupakan pengiktirafan dan komitmen masyarakat antarabangsa tentang keperluan kewujudan keseimbangan penyertaan dan perwakilan antara lelaki dan Wanita untuk membuat keputusan pada semua peringkat pentadbiran mahupun pengurusan.

Dalam erti kata lain sambutan Hari Hakim Wanita Sedunia ini disambut bagi mengiktiraf dan meraikan pencapaian dan sumbangan hakim Wanita dalam semua peringkat dalam mencapai kesaksamaan serta mengesahkan penyertaan aktif Wanita dalam semua peringkat dalam membuat keputusan adalah penting dalam mencapai kesaksamaan dan keadilan sejagat.

Sambutan ini juga sebagai titik tumpuan bagi mendidik masyarakat dan memberi sumber inspirasi bagi Wanita muda untuk menceburi bidang kehakiman dan perundangan.

YAA Tun juga telah mengucapkan tahniah kepada YA Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin yang telah dipilih sebagai 100 orang wanita Paling Berinspirasi dan Berpengaruh Dunia 2018 oleh British Broadcasting Corporation (BBC) atas usahanya untuk membantu wanita Muslim di Malaysia.

YA Puan Nenney Shuhaidah dalam ucapan balasnya menyatakan penghargaan atas kesudian YAA Tun dan Istana Kehakiman menerima kunjung hormat para hakim wanita JKSN/MSN dan mengharapkan agar peluang seperti ini akan diteruskan di masa hadapan.

Pembentangan berkenaan hakim-hakim wanita di dalam kehakiman sivil telah diberikan oleh Puan Hasbi binti Hassan, Pendaftar Mahkamah Rayuan. Di dalam pembentangannya, Puan Hasbi telah berkongsi trend bilangan hakim wanita dilihat semakin meningkat sejak dari tahun 2010. Bilangan pegawai wanita dalam Badan Kehakiman adalah seramai 470 orang (70%), jika dibandingkan dengan pegawai lelaki serama 197 orang (30%). Hakim Mahkamah Majistret pula merekodkan serama 109 hakim wanita berbanding dengan 48 hakim lelaki.

Pegawai Kehakiman di dalam Pengurusan Tertinggi merekodkan sebanyak 45% adalah wanita dan dominasi oleh pegawai wanita adalah dijangka dalam tempoh 5-10 tahun akan datang. Pelantikan YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilihat sebagai bukti kredibiliti wanita untuk mengetuai komponen utama ketiga Negara, iaitu kehakiman.

Montaj berkenaan hakim-hakim wanita yang telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan telah dipertontonkan kepada para peserta.

Majlis Kunjung Hormat berakhir pada jam 2.00 petang.

Last Updated on March 10, 2022

Kalendar JKSM

Events in March 2024

  • There are no events scheduled during these dates.