MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DALAM BIDANG KEHAKIMAN SYARIAH ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KERAJAAN BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN (ALC24)

PUTRAJAYA | – Pada hari ini, satu sejarah telah dicatatkan apabila Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kehakiman Syariah.

Majlis penting ini telah berlangsung di Protocol Hall, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disaksikan oleh pemimpin tertinggi dari kedua-dua negara sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders Consultation – ALC24).

MoU ini ditandatangani oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, mewakili Malaysia, manakala pihak Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Bin Haji Besar.

YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izuddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan majlis menandatangani MoU ini.

Hadir bersama adalah YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Menteri Pengiring kepada KDYMM Sultan Brunei Darussalam sepanjang ALC24 ini berlangsung.

Turut hadir pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YA Dato’ Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM.

Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC24) adalah acara tahunan yang diadakan antara Malaysia dan Brunei, di mana pemimpin dari kedua-dua negara berkumpul untuk membincangkan isu-isu bilateral, serantau dan global serta mengukuhkan hubungan dua hala.

Pada kali ini, acara tersebut telah menyaksikan penandatanganan MoU dari pelbagai kementerian dan jabatan termasuk dalam bidang kehakiman Syariah sebagai langkah ke hadapan dalam kerjasama kedua-dua negara di arena kehakiman Syariah.

MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan Brunei dalam bidang kehakiman Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam. Ia diharapkan akan membuka jalan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran semasa dan memajukan sistem kehakiman Syariah untuk manfaat bersama.

MoU ini adalah satu langkah penting untuk mempereratkan hubungan dua hala dalam bidang kehakiman Syariah dan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam kedua-dua negara.

Dengan penandatanganan MoU ini, Malaysia dan Brunei kini berkomitmen untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan undang-undang Islam serta memajukan sistem kehakiman Syariah bagi kesejahteraan masyarakat Islam secara amnya.

Untuk rekod, kesepakatan menandatangani MoU ini merupakan usaha berterusan hasil cetusan idea YBM (HEA) sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Beliau juga bertanggungjawab membentangkan Memorandum bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

Foto : Kementerian Luar Negeri

Berita : Bahagian Dasar & Penyelidikan

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

Last Updated on August 4, 2023

Kalendar JKSM

Events in September 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
August 26, 2024 August 27, 2024 August 28, 2024 August 29, 2024 August 30, 2024 August 31, 2024 September 1, 2024
September 2, 2024 September 3, 2024 September 4, 2024 September 5, 2024 September 6, 2024 September 7, 2024 September 8, 2024
September 9, 2024 September 10, 2024 September 11, 2024 September 12, 2024 September 13, 2024 September 14, 2024 September 15, 2024
September 16, 2024 September 17, 2024 September 18, 2024 September 19, 2024 September 20, 2024 September 21, 2024 September 22, 2024
September 23, 2024 September 24, 2024 September 25, 2024 September 26, 2024 September 27, 2024 September 28, 2024 September 29, 2024
September 30, 2024 October 1, 2024 October 2, 2024 October 3, 2024 October 4, 2024 October 5, 2024 October 6, 2024