MAJLIS PERASMIAN MUZAKARAH PEMAHAMAN ARAHAN AMALAN MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA TAHUN 2021

26 September 2022| Seksyen Rayuan, Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Muzakarah Pemahaman Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2021 secara atas talian (CISCO-WEBEX) pada jam 2.00 petang – 5.00 petang. Muzakarah ini disampaikan oleh YBrs. Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan Kehakiman, JKSM.

Sebelum bermulanya muzakarah tersebut, YAA Dato’ Setia Dr. berbesar hati untuk merasmikan muzakarah tersebut. YAA Dato’ Setia Dr. merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian hadir ke muzakarah ini. Seramai 398 orang Pegawai-Pegawai Syariah dan pengamal undang-undang syariah yang beramal di Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia turut serta dalam muzakarah ini walaupun ianya diadakan secara maya sahaja. Pemilihan kaedah seumpama ini membolehkan lebih ramai pengamal undang-undang syariah bersama-sama di dalam majlis ini.

Untuk makluman, semenjak tahun 2000 sehingga tahun 2021 sebanyak 236 Arahan Amalan telah dikeluarkan, dan 42 arahan amalan telah dibatalkan. Ini bermakna sehingga tahun 2021 sebanyak 194 Arahan Amalan yang sedang berkuatkuasa.

Sebagaimana yang diketahui, proses akhir pembinaan arahan amalan ialah diperingkat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan yang dianggotai YA Hakim-Hakim Rayuan JKSM, YAA Ketua-Ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, wakil Ketua-Ketua Pendakwa Syarie, Timb. Ketua Pengarah (Syariah) JBG, ahli-ahli akademik dan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penerimaan cadangan arahan amalan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk tersebut adalah secara konsensus, dimana ahli-ahli mesyuarat akan meneliti, menyemak dan membahaskan secara panjang lebar cadangan kertas konsep yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja Arahan Amalan.

Contohnya pada tahun 2021, sebanyak 19 cadangan Kertas Konsep yang telah dibincangkan, namun hanya 16 sahaja yang diterima oleh ahli-ahli Jawatankuasa Induk Arahan Amalan tahun 2021 dan seterusnya ianya dijadikan sebagai Arahan Amalan Tahun 2021.

Begitulah telitinya sesuatu arahan amalan tersebut dikeluarkan. Ianya tidak dibuat secara semberono, malah dicadangkan dengan kertas cadangan yang terperinci, dan dimuktamadkan oleh suatu forum yang dihadiri ahli-ahli yang berpengalaman dan sangat berkelayakan. Justeru, arahan amalan yang telah dikeluarkan itu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi, kecuali jika adanya cadangan penambahbaikan yang mungkin boleh dicadangkan kerana mengikut suasana dan keadaan.

Pemakaian Arahan amalan adalah penting demi menyeragamkan dan melicinkan urusan pentadbiran kehakiman dan perundangan syariah di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Arahan Amalan yang telah diterima pakai di JKSN/ MSN ini adalah suatu arahan pentadbiran berkaitan perundangan dan kehakiman yang bertujuan memastikan motto “Syariah Asas Keadilan” dapat direalisasikan. Justeru, pemahaman terhadap kesemua arahan amalan adalah sangat dituntut agar pemakaian arahan amalan tersebut dapat diguna pakai secara optimum.

YAA Dato’ Setia Dr. menyeru dan mengharapkan agar arahan amalan yang telah diterima dapat dikuatkuasakan perlaksanaannya di seluruh negeri dan diamalkan ketika berurusan di mahkamah syariah kerana pemakainnya adalah penting demi menyeragamkan dan melicinkan urusan pentadbiran kehakiman dan perundangan syariah di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Last Updated on September 29, 2022

Kalendar JKSM

Events in March 2024

  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Putrajaya
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
    Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor