MAJLIS PRA PELANCARAN SAMBUTAN JUBLI PERAK JKSM TAHUN 2023

1 Mac 2023| Bahagian Pendaftaran, Keurussetian dan Rekod pada hari ini telah mengadakan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Perak JKSM Tahun 2023 di dewan Tan Sri Ibrahim Lembut, Aras 5, JKSM. Majlis ini diraikan bersama-sama dengan warga jabatan dan dirasmikan oleh YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM.

YA Dato Mohd Amran dalam ucapannya telah mengimbau kembali sejarah penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini. JKSM telah ditubuhkan pada 1 Mac 1998 berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Julai 1996 yang bersetuju dengan cadangan penyusunan semula Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Kertas kajian dan cadangan dihasilkan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Negara pada ketika itu. Hasil daripada kajian jawatankuasa ini telah memperakukan beberapa cadangan termasuk penubuhan Jabatan di peringkat persekutuan iaitu Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai penyelaras kepada usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman pengurusan serta pentadbiran Mahkamah Syariah semua negeri.

Perasmian penubuhan Jabatan ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Paduka Dr Abdul Hamid bin Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Disember 1998. Pada awalnya penubuhannya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia hanya mempunyai 15 jawatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie dan beberapa orang pegawai yang terdiri daripada Ketua Pendaftar, Pendaftar, Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan beberapa orang pegawai sokongan yang lain.

YA Dato Mohd Amran juga menyatakan Jubli Perak merujuk kepada tempoh 25 tahun penubuhan sesuatu institusi. Beliau menegaskan perlunya membuat sambutan Jubli Perak penubuhan JKSM adalah kerana Sambutan Jubli Perak amat penting kepada sesuatu institusi bagi ‘menginsafi’ sejarah dan keberadaan sesuatu organisasi dalam satu sistem.

Memperingati sejarah penubuhan akan memberikan gambaran tentang usaha-usaha dan keringat yang telah dicurahkan oleh pendahulu organisasi bagi meletakkan JKSM dalam keadaannya seperti hari ini. Bagaimana JKSM mampu bertahan dengan segala cabaran yang lalu dan seterusnya mengatur langkah dan strategi bagi mencipta kejayaan demi kejayaan di masa hadapan.

Tanpa melihat dan menghayati sejarah perjalanan organisasi, warga jabatan tidak mampu bermuhasabah seterusnya mereformasikan (islah) tindakan-tindakan demi memacu kecemerlangan organisasi yang hasil akhirnya akan memberikan impak kepada kesejahteraan ummah.

Justeru, sambutan Jubli Perak JKSM ini amat bertepatan sekali untuk warga jabatan bersama-sama melihat kembali, mentafsir dan membuat koreksi akan kerelevanan fungsi-fungsi serta kesiapsiagaan Jabatan dalam mendepani masa hadapan. Sesuai dengan dasar kerajaan untuk membangun Malaysia Madani, JKSM perlulah berada di landasan yang betul bagi membolehkan jabatan sederap selangkah dengan agensi-agensi lain dalam membina ketamadunan ummah melalui perkhidmatan kehakiman dan perundangan Syariah.

Di akhir ucapan, harapan YA Dato adalah segala program yang dirancang sempena Sambutan Jubli Perak JKSM Tahun 2023 ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Seterusnya, dapat memberikan manfaat yang besar dan input yang banyak kepada warga JKSM dan juga masyarakat awam.

Program diserikan lagi dengan majlis memotong kek dan penyerahan pulut kuning dan bunga telur kepada dif-dif kehormat dan warga jabatan diiringi dengan selawat.

Last Updated on March 1, 2023

Kalendar JKSM

Week of Jun 5th

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
June 3, 2024 June 4, 2024 June 5, 2024 June 6, 2024 June 7, 2024 June 8, 2024 June 9, 2024