MUZAKARAH PEGAWAI SYARIAH BERSAMA JABATAN BANTUAN GUAMAN (JBG), JABATAN PEGUAM NEGARA (AGC) DAN PEJABAT PENASIHAT UNDANG-UNDANG (PPUUN/ALAS) TAHUN 2022

6 Julai 2022 | Bahagian Pendaftaran, Keurusetian dan Rekod (BPKR) JKSM telah menganjurkan Muzakarah Bersama Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUUN/ALAS) Tahun 2022 bertempat di Hotel Holiday Villa Beach Resort & Spa, Cherating, Pahang.

Muzakarah yang melibatkan hampir 30 orang pegawai ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat-maklumat terkini sama ada maklumat dari JKSM mahupun dari agensi selain medan yang penting untuk bersama-sama membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi dalam menjalankan tugas di agensi.

YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dalam ucapan perasmian penutup, telah merakamkan penghargaan atas kehadiran para pegawai dalam muzakarah kali ini dan beliau turut berkesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Puan Zuraidah binti Ayob dari JBG dan Puan Siti Salwa binti Ghazali dari AGC yang kedua-keduanya telah terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

YAA Dato’ Setia Dr. turut mengambil kesempatan kali ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada

para Pegawai Syariah yang telah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang iaitu Tuan Khairul Anuar bin Ahmad (ALAS Perlis), Puan Halimatus Saadiah binti Mohd Mahdee (AGC), Puan Azazurina binti Mukarab Khan (JBG Ibu Pejabat), Tuan Mohd. Sohibul Kahfi bin Hussin (JBG Perak)dan Tuan Mohamad Fahmi bin Mohamad Idris (JBG Kedah).

Menyentuh perkembangan terkini JBG, YAA Dato’ Setia Dr. memaklumkan bahawa pindaan Jadual Ketiga JBG melibatkan senarai baru iaitu pengendalian kes Wali Hakim, Pelaksanaan Perintah Kes-kes dan Anggapan Kematian telah dipersetujui oleh YB Menteri dan telah diangkat kepada pihak Peguam Negara untuk kelulusan.

YAA Dato’ Setia Dr. turut menyatakan bahawa terdapat beberapa RUU yang telah dibincangkan di peringkat JKSM bersama MSWP dan jika diluluskan boleh dijadikan sebagai rujukan untuk diangkat di peringkat negeri iaitu RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Pindaan Undang-Undang Berkaitan Pendengaran Prosiding Kes Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa pihak JKSM sedang dalam fasa pembangunan Sistem e-Syariah Versi 3 yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2023 dan antara modul baharu yang bakal diperkenalkan adalah Modul e-Filing yang membolehkan peguam syarie termasuk peguam JBG dan pendakwa syarie mendaftarkan kes secara online.

Bagi fasa kedua pembangunan ESV3 kelak, pihak JKSM akan mempertingkatkan modul integrasi dengan menjalinkan kerjasama bersama agensi lain termasuk Sistem iGuaman yang dibangunkan oleh Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan beliau turut menyeru agar pegawai kader yang lain untuk mengenal pasti sistem yang diguna pakai di negeri masing-masing yang boleh diintegrasi dengan Sistem e-Syariah bagi tujuan melicinkan tugasan harian.

Di akhir ucapan, YAA Dato’ Setia Dr. berharap agar muzakarah selama dua hari ini memberikan banyak percambahan fikiran serta idea yang bernas ke arah mencapai objektif penganjuran dan berharap sesi perbincangan akan dapat dilaksanakan dengan penuh ilmiah dengan penglibatan semua pegawai.

Untuk rekod, muzakarah ini turut diisi dengan sesi pembentangan perkembangan terbaru dan isu-isu terkini daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Jabatan Peguam Negara yang disampaikan oleh Tuan Zaim bin Md Yudin (Timbalan Ketua Pengarah (Syariah), JBG) serta Tuan Jaidi bin Ahmad (Ketua Unit Kehakiman Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam, Bahagian Syariah Dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara).

Last Updated on July 6, 2022

Kalendar JKSM

Events in March 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
February 26, 2024 February 27, 2024 February 28, 2024 February 29, 2024 March 1, 2024 March 2, 2024 March 3, 2024
March 4, 2024 March 5, 2024 March 6, 2024 March 7, 2024 March 8, 2024 March 9, 2024 March 10, 2024
March 11, 2024 March 12, 2024 March 13, 2024 March 14, 2024 March 15, 2024 March 16, 2024 March 17, 2024
March 18, 2024 March 19, 2024 March 20, 2024 March 21, 2024 March 22, 2024 March 23, 2024 March 24, 2024
March 25, 2024 March 26, 2024 March 27, 2024 March 28, 2024 March 29, 2024 March 30, 2024 March 31, 2024