PERASMIAN KOMPLEKS SYARIAH AL-SULTAN ABDULLAH

Kuantan, 5 September 2022| Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah telah berkenan mencemar duli bagi merasmikan Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di Kuantan, Pahang.

YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM telah dijemput bagi menghadiri majlis yang penuh bermakna khususnya kepada warga institusi kehakiman syariah tersebut.

Para Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua Pendaftar JKSM, Ketua Hakim Syarii Negeri-negeri seluruh Malaysia dan pegawai-pegawai syariah kanan turut menghadiri majlis berkenaan.

Ketika merasmikan Kompleks Syariah ini Yang di-Pertuan Agong bertitah dengan menzahirkan bahawa, “Hakikatnya, undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja. Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah SAW.”

“Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan, dan bukannya mewakili kuasa Tuhan. Justeru kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian,” tegas Al-Sultan Abdullah lagi.

Menerusi titah tersebut, Baginda menyampaikan tiga pesanan utama yang perlu diberi perhatian. Pertama, hakim-hakim digalakkan menggunakan hukuman alternatif sepertimana yang digariskan menerusi Perintah Kehadiran Wajib (PKW). Kedua, menyelenggara bangunan Mahkamah Syariah dengan baik khususnya dari aspek kebersihan dan ketiga menyegerakan pelaksanaan hukuman diyat.

Selain itu Yang di-Pertuan Agong turut menyarankan agar warga Mahkamah Syariah sentiasa meningkatkan kompetensi dalam pengendalian kes, mengeluarkan penghakiman dalam waktu yang munasabah serta bertindak secara kolektif bersama peguam syarii bagi melancarkan prosiding kes. Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara untuk mempertahankan integriti mahkamah di samping bertanggungjawab bagi melindungi agama suci Allah SWT.

Di akhir titah, Yang di-Pertuan Agong merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang bertungkus-lumus merealisasikan penubuhan kompleks syariah ini.

“Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan; kerajaan Negeri Pahang dan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan kompleks mahkamah syariah ini,” titah Seri Paduka.

Untuk rekod, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah telah siap sepenuhnya pada 23 September 2021 dengan peruntukan sebanyak RM44.75 juta.

Kurator Berita,

Unit Komunikasi Korporat, JKSM

Last Updated on September 5, 2022

Kalendar JKSM

Events in April 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
April 1, 2024(2 events) April 2, 2024(1 event) April 3, 2024 April 4, 2024(1 event) April 5, 2024 April 6, 2024 April 7, 2024
April 8, 2024 April 9, 2024 April 10, 2024 April 11, 2024 April 12, 2024 April 13, 2024 April 14, 2024
April 15, 2024 April 16, 2024 April 17, 2024 April 18, 2024 April 19, 2024(1 event) April 20, 2024 April 21, 2024
April 22, 2024 April 23, 2024(2 events) April 24, 2024 April 25, 2024 April 26, 2024 April 27, 2024 April 28, 2024
April 29, 2024(2 events) April 30, 2024 May 1, 2024 May 2, 2024 May 3, 2024 May 4, 2024 May 5, 2024