Perlu bincang dengan JKSM, elak langgar undang-undang – Idris

Idris (tengah) menyampaikan surat tawaran pelatih DMY sambil disaksikan Nasrudin (kanan). – NSTP/OWEE AH CHUN

HULU LANGAT: Cadangan mewajibkan sesi kaunseling terhadap pasangan Islam yang hendak memfailkan permohonan cerai, perlu dibincang lebih lanjut dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menyifatkan saranan itu sebagai baik untuk membendung kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam, namun ia perlu diteliti bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang sedia ada.

“Perkara ini perlu dirujuk dengan JKSM terlebih dahulu kerana mereka lebih tahu. Jika saya beritahu boleh atau tidak boleh (mewajibkan sesi kaunseling), mungkin akan bertentangan dengan undang-undang.

“Apatah lagi sekiranya sudah diwajibkan nanti tetapi tidak dilaksanakan pula, ia akan menjadi perkara yang salah.

“Oleh itu, isu ini perlu dibincangkan dengan JKSM dan penasihat undang-undang kita terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Akademi Dai’e Muda (DMY) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Institut Latihan Dakwah YADIM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan.

Sebelum ini, BH melaporkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan sesi kaunseling kepada pasangan yang hendak memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, bagi menangani peningkatan kes cerai terutama dalam kalangan pasangan Islam.

Ia susulan pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Dewan Rakyat, baru-baru ini, bahawa kira-kira lima permohonan cerai membabitkan pasangan Islam diterima Mahkamah Syariah seluruh negara, setiap jam ketika pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di masjid dan surau termasuk cadangan agar saf kembali dirapatkan untuk solat berjemaah pula, Idris berkata, Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan mengambil pandangan semua pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun secara umum, beliau menjelaskan, antara indikator utama akan diambil kira ialah memastikan jemaah lengkap vaksinasi COVID-19.

“Selain Sahibus Samahah serta ahli MKI, mesyuarat itu nanti akan turut disertai pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Sumber: Berita Harian

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Events in March 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
February 26, 2024(2 events) February 27, 2024(1 event) February 28, 2024 February 29, 2024 March 1, 2024 March 2, 2024 March 3, 2024
March 4, 2024 March 5, 2024 March 6, 2024 March 7, 2024 March 8, 2024 March 9, 2024 March 10, 2024
March 11, 2024 March 12, 2024 March 13, 2024 March 14, 2024(1 event) March 15, 2024(1 event) March 16, 2024 March 17, 2024
March 18, 2024(1 event) March 19, 2024 March 20, 2024(1 event) March 21, 2024 March 22, 2024(1 event) March 23, 2024 March 24, 2024
March 25, 2024(2 events) March 26, 2024(1 event) March 27, 2024(1 event) March 28, 2024 March 29, 2024 March 30, 2024 March 31, 2024