PERSIDANGAN PERSONEL TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT)

22 Disember 2021 | Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) JKSM telah menganjurkan Persidangan Personel Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Kali ke-2 Bilangan 1 Tahun 2021 yang berlangsung selama 2 hari dari bermula 21 hingga 22 Disember 2021.

Persidangan yang dijalankan secara hybrid melibatkan penyertaan secara fizikal dan secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex Meetings di mulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat JKSM sebelum diteruskn dengan ucapan perasmian oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

YAA Dato’ Setia Dr dalam ucapan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah BTMK serta barisan urusetia atas penganjuran Persidangan ini dan berharap agar semua peserta persidangan dapat mengambil manfaat dalam tempoh masa yang singkat ini dalam bersama-sama memacu perkhidmatan ICT yang lebih berdaya saing demi manfaat institusi perundangan dan kehakiman syariah ini.

Menurut YAA Dato’ Setia Dr., usaha berterusan harus diatur secara tersusun dalam memastikan polisi, strategi, piawaian, aktiviti dan lain-lain perkara melibatkan keselamatan ICT dapat dilaksana dan dijadikan norma dalam organisasi dan beliau turut mengharapkan kakitangan ICT Jabatan menjadi penunjuk arah kepada pegawai-pegawai syariah di JKSM/JKSN/MSN bagi penghasilan idea dalam penggunaan teknologi ICT demi menambahbaik institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.

Kepakaran serta usaha berterusan dari pegawai-pegawai BTMK amat ditagih dalam mendepani cabaran melaksanakan tugasan dalam normal baharu dan pelaksanaan inisiatif digital negara di bawah program MyDigital yang mempunyai sasaran celik ICT dalam kalangan penjawat awam menjelang 2023.

Di akhir ucapan, beliau menzahirkan harapan agar persidangan kali ini mencapai objektifnya dan semoga usaha yang baik ini dapat meningkatkan imej JKSM dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Untuk rekod, fokus perbincangan pada mesyuarat kali ini adalah merangkumi pembentangan dari ICT JKSN/MSN seluruh negara yang terlibat berkaitan rumusan pencapaian tahunan SKT tahun 2021, isu-isu dalam pengoperasian dan pentadbiran ICT di JKSN/MSN, sesi perkongsian ilmu, serta sesi dialog bersama pengurusan JKSM.

Majlis Persidangan Personel Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT (PPICT) Kali Ke-2 Bilangan 1 Tahun 2021 ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz dan turut hadir dalam sesi perbincangan bersama ICT negeri adalah Pengarah Kanan (Pengurusan) Puan Azlina binti Abdul Aziz.

Last Updated on February 13, 2022

Kalendar JKSM

April 16, 2024