Undang-undang Islam tidak pecah belah masyarakat majmuk

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dakwaan menyatakan undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini adalah tidak berasas sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata jika rakyat pelbagai kaum dan agama dapat memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan serta sistem perundangan Islam di Malaysia, kerajaan yakin perundangan Islam bukanlah suatu isu yang sensitif.

“Undang-undang Islam itu sendiri, sifatnya inklusif dan progresif yang sesuai dengan peredaran masa.

“Ini kerana prinsip-prinsipnya bersifat menyantuni semua kaum dan golongan masyarakat sama ada orang Islam dan orang bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, hari ini.

Hukuman dalam Islam juga, katanya, bersifat mendidik, bukan untuk menghukum semata-mata, justeru, adalah tidak berasas sama sekali dakwaan bahawa undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk.

Sementara itu Zulkifli mengakui berlaku ketidakharmonian serta pertindihan antara dua sistem perundangan yang diamalkan oleh negara iaitu perundangan sivil dan syariah.

Beliau berkata sehubungan itu kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengharmonikan perundangan sivil dan syariah tanpa prejudis.

Zulkifli berkata namun perkara yang paling utama adalah kedua-dua sistem perundangan ini bertujuan untuk mencari, memberi dan mencapai keadilan.

“Apabila matlamat ini jelas, maka usaha untuk mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan ini akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam usaha memperkasakan mahkamah syariah termasuklah cadangan peningkatan peringkat mahkamah syariah, pindaan undang-undang substantif dan undang-undang prosedur. – BERNAMA

Sumber: BH Online

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in January 2023

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
December 26, 2022 December 27, 2022 December 28, 2022 December 29, 2022 December 30, 2022 December 31, 2022 January 1, 2023
January 2, 2023 January 3, 2023 January 4, 2023(1 event) January 5, 2023 January 6, 2023 January 7, 2023 January 8, 2023
January 9, 2023 January 10, 2023(1 event) January 11, 2023 January 12, 2023 January 13, 2023 January 14, 2023 January 15, 2023
January 16, 2023 January 17, 2023(1 event) January 18, 2023(3 events) January 19, 2023(3 events) January 20, 2023 January 21, 2023 January 22, 2023
January 23, 2023 January 24, 2023 January 25, 2023 January 26, 2023 January 27, 2023 January 28, 2023 January 29, 2023
January 30, 2023(1 event) January 31, 2023(1 event) February 1, 2023 February 2, 2023(2 events) February 3, 2023 February 4, 2023 February 5, 2023