πŠπ„π‘π‰π€π’π€πŒπ€ 𝐃𝐔𝐀 𝐇𝐀𝐋𝐀 πŠπ„π‘π€π‰π€π€π πŒπ€π‹π€π˜π’πˆπ€ 𝐃𝐀𝐍 𝐀𝐑𝐀𝐁 π’π€π”πƒπˆ πƒπˆππ„π‘πŠπ€π’π€ πŒπ„ππ„π‘π”π’πˆ πŠπ”π‘π’π”π’ πŠπ„π‡π€πŠπˆπŒπ€π π‰π€ππ†πŠπ€ ππ„ππƒπ„πŠ πƒπˆ π”ππˆπ•π„π‘π’πˆπ“πˆ πˆπ’π‹π€πŒ πˆπŒπ€πŒ πŒπ”π‡π€πŒπŒπ€πƒ πˆπππ” 𝐒𝐀𝐔𝐃, π‘πˆπ˜π€πƒπ‡, 𝐀𝐑𝐀𝐁 π’π€π”πƒπˆ

𝑷𝑼𝑻𝑹𝑨𝑱𝑨𝒀𝑨 | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Hj Mohd. Na’im Mokhtar merakamkan ucapan tahniah kepada 39 orang pegawai syariah yang terpilih untuk mengikuti Kursus Kehakiman Jangka Pendek di Universiti Islam Imam Muhammad Ibnu Saud, Riyadh, Arab Saudi.

Kursus Kehakiman Jangka Pendek ini dijadualkan bermula pada 30 Ogos sehingga 20 September 2024 dengan komposisi penyertaan melibatkan 29 orang pegawai lelaki dan 10 orang pegawai wanita.

β€œSaya ingin memaklumkan bahawa pemilihan pegawai ini dilakukan secara telus. Para pegawai yang terpilih tersebut telah berjaya melepasi sesi temu duga yang dikendalikan oleh para pensyarah dari Universiti berkenaan yang diadakan pada penghujung November tahun lalu,” ujar beliau ketika menyampaikan amanat kepada para peserta dalam program taklimat persediaan bagi menghadiri kursus kehakiman berkenaan.

β€œSesungguhnya, peluang untuk mengikuti kursus ini bukanlah terbuka pada setiap bulan atau setiap tahun. Malah, kali pertama kursus ini diadakan adalah pada 2019 dengan hanya melibatkan penyertaan dari kalangan pegawai lelaki sahaja.”

β€œAlhamdulillah, pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi berbesar hati meluaskan peluang ini kepada para peserta wanita dan ianya merupakan satu pengiktirafan kepada pegawai syariah wanita dan sistem perundangan syariah di Malaysia ini sendiri,” tambah Menteri berkenaan lagi.

Memandangkan kos yang tinggi dan usaha yang bukan sedikit dicurahkan bagi menjayakan Kursus Kehakiman ini, YB Dato’ Setia Dr. selaku menteri yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan kursus ini mengharapkan output yang terbaik daripada para peserta.

β€œSaya berharap Tuan/Puan meletakkan aras yang tinggi dalam usaha menuntut ilmu ketika berada di sana, sama ada semasa berinteraksi dalam kuliah, mahupun ketika mengadakan kunjungan ke Jabatan/Agensi yang berkaitan.”

β€œDiharapkan Tuan/Puan dapat meluaskan pandangan dan membuka minda terutamanya terhadap aspek prosiding, pengaplikasian teknologi maklumat dalam penyampaian perkhidmatan, sistem pemfailan kes, prosedur sulh/mediasi, pelaksanaan hukuman, fasiliti, pentadbiran sistem kehakiman, statut dan sebagainya.”

β€œSaya juga mendoakan semoga Allah SWT memudahkan urusan permusafiran Tuan/Puan serta dilimpahkan ilmu. Paling utama, saya mengharapkan penglibatan Tuan/Puan tersebut akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada diri dan keluarga, namun lebih besar lagi manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat, institusi kehakiman syariah dan negara amnya,” ujar beliau ketika mengakhiri amanat kepada para peserta.

Untuk rekod, Kursus Kehakiman Jangka Pendek di Universiti Islam Imam Muhammad Ibnu Saud, Riyadh, Arab Saudi merupakan kesinambungan kerjasama dua hala antara Kerajaan Arab Saudi dengan Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta diurusetiakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Para pegawai yang berjaya mengikuti kursus berkenaan terdiri daripada pegawai syariah yang berkhidmat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri (JKSN)/Mahkamah Syariah Negeri (MSN), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri-negeri (JAPENS), Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

π‘©π’‚π’‰π’‚π’ˆπ’Šπ’‚π’ π‘³π’‚π’•π’Šπ’‰π’‚π’

𝑱𝒂𝒃𝒂𝒕𝒂𝒏 π‘²π’†π’‰π’‚π’Œπ’Šπ’Žπ’‚π’ π‘Ίπ’šπ’‚π’“π’Šπ’‚π’‰ π‘΄π’‚π’π’‚π’šπ’”π’Šπ’‚

Last Updated on September 23, 2024

Recent Posts

πƒπ„π‹π„π†π€π’πˆ πŒπ€π‹π€π˜π’πˆπ€ πŠπ„ πŽπŒπ€π πƒπ€π‹π€πŒ πŒπˆπ’πˆ πŠπ„πŒππ€π‘π€ πˆπ‹πŒπ” – πŒπ„πŒππ„π‘πŠπ”πŠπ”π‡ π‰π€π‘πˆππ†π€π 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀𝐁𝐀𝐍𝐆𝐒𝐀 𝐃𝐀𝐍 πŒπ„πŒππ„π‘πŠπ€π˜π€ ππ„ππ†π€π‹π€πŒπ€π ππ‘πŽπ…π„π’πˆπŽππ€π‹ πŒπ„πƒπˆπ€π’πˆ πƒπˆ ππ”πŒπˆ 𝐏𝐄𝐍𝐔𝐇 𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇

Read More Β»

πŒπ€π‰π‹πˆπ’ ππ„π‘π€π’πŒπˆπ€π ππ‘πŽπ†π‘π€πŒ 𝐒𝐄𝐉𝐀𝐇𝐓𝐄𝐑𝐀 πŠπ„π‹π”π€π‘π†π€ πŒπ€πƒπ€ππˆ ππ’πŠ π‰πŠπ’πŒ-π’π€ππ“π”ππˆ πŠπŽπŒπ”ππˆπ“πˆ 𝐂𝐀𝐂𝐀𝐓 ππ„ππ†π‹πˆπ‡π€π“π€π 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 πŸπŸŽπŸπŸ“

Read More Β»

πŠπ”ππ‰π”ππ†π€π π‡πŽπ‘πŒπ€π“ πƒπ„π‹π„π†π€π’πˆ π‰πŠπ’πŒ πŠπ„ 𝐀𝐓𝐀𝐒 π“π˜π“ 𝐃𝐔𝐓𝐀 𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑 πŒπ€π‹π€π˜π’πˆπ€ πŠπ„ π‘π„ππ”ππ‹πˆπŠ 𝐀𝐑𝐀𝐁 πŒπ„π’πˆπ‘

Read More Β»

Follow Us

Kalendar JKSM

Events in October 2025

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
September 29, 2025 September 30, 2025 October 1, 2025(1 event) October 2, 2025 October 3, 2025 October 4, 2025 October 5, 2025
October 6, 2025 October 7, 2025 October 8, 2025(2 events) October 9, 2025 October 10, 2025 October 11, 2025 October 12, 2025
October 13, 2025 October 14, 2025(3 events) October 15, 2025(2 events) October 16, 2025(1 event) October 17, 2025 October 18, 2025 October 19, 2025
October 20, 2025 October 21, 2025(1 event) October 22, 2025 October 23, 2025(1 event) October 24, 2025 October 25, 2025 October 26, 2025
October 27, 2025(2 events) October 28, 2025(1 event) October 29, 2025 October 30, 2025 October 31, 2025(1 event) November 1, 2025 November 2, 2025