KUALA LUMPUR, 24 November | Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP), YBhg. Dato’ Abdul Hakim Amir bin Othman, bagi membincangkan isu-isu sosial kekeluargaan yang semakin kritikal, khususnya melibatkan kegagalan penyediaan nafkah oleh suami terhadap isteri dan anak-anak. Turut sama hadir pegawai dari PPZ Wilayah Persekutuan iaitu Tuan Fahmi Ismail Al Hafiz , Pengurus Besar Operasi dan Puan Nurhaliza bin Abdul Rahman , Penolong Pengurus Besar , Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Digital.
Kunjungan ini memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh jaringan kerjasama antara JKSM melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan PPZWP bagi membantu mereka yang terjejas teruk akibat masalah kegagalan nafkah, sekali gus menempatkan mereka dalam kategori asnaf terhad kepada fakir dan miskin yang layak menerima bantuan zakat.
YAA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain memaklumkan bahawa BSK kini berdepan peningkatan mendadak permohonan kes dimahkamah syariah terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga yang tidak menerima nafkah dalam tempoh yang panjang.
“BSK komited melaksanakan bantuan secara segera dan bersasar, termasuk bantuan one-off kepada pemohon yang memenuhi kelayakan. Namun, jumlah permohonan yang meningkat menunjukkan keperluan kerjasama lebih strategik bersama PPZWP,” jelas beliau.
Dalam sesi perbincangan, JKSM mencadangkan supaya satu mekanisme penyelarasan rujukan antara BSK dan PPZWP diwujudkan, bagi memastikan bantuan zakat dapat disalurkan dengan lebih cepat dan efisien kepada mereka yang disahkan layak.
YBhg. Dato’ Abdul Hakim Amir bun Osman menyatakan bahawa PPZWP menyambut baik cadangan tersebut dan bersedia memperkukuh usaha sama ini demi memastikan dana zakat sampai kepada golongan paling memerlukan, khususnya pemohon yang terkesan akibat kegagalan nafkah dan telah melalui proses penilaian BSK.
Hasil pertemuan ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan Kerjasama JKSM–PPZWP dan mengadakan mesyuarat teknikal susulan bagi memperhalusi kaedah rujukan kes dan tatacara pemberian bantuan zakat.
Kunjungan ini menandakan komitmen berterusan JKSM dan PPZWP dalam memperkasakan kebajikan keluarga Islam serta menjamin bahawa mereka yang terhimpit kesusahan kewangan tidak terpinggir daripada perlindungan dana zakat.
𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡/ 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐇𝐚𝐤𝐢𝐦 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐞
𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐡𝐚𝐤𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚

Last Updated on November 24, 2025




