𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐀𝐑𝐍𝐈𝐕𝐀𝐋 𝐀𝐋-𝐅𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈, 𝐏𝐄𝐑𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 𝐏𝐀𝐔𝐇, 𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆

PERMATANG PAUH, 29 November 2025 – Hari kedua Karnival Al-Falah MADANI, Permatang Pauh, Pulau Pinang diteruskan dengan pengisian yang padat, meriah dan bermanfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Seawal jam 4.30 pagi, program dimulakan dengan Qiyamullail dan Semarak Subuh bersama Ustaz Mohd Shukri bin Ali (Sudais Malaysia) bagi menyemarakkan semangat rohani dalam kalangan jemaah.

Seterusnya, Kuliah Subuh Perdana oleh Dato’ Ustaz Fauzi bin Mustafa (Al-Kuliyyah) mengisi ruang pagi dengan tazkirah yang penuh ilmu dan hikmah.

Selepas itu, Sarapan Rakyat menyusul sebagai pengikat ukhuwah sesama masyarakat setempat dan pengunjung.

Bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, pelbagai aktiviti berlangsung serentak di sekitar kawasan masjid, antaranya pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan & swasta, pemeriksaan kesihatan dan gigi / derma darah, gerai jualan makanan dan minuman serta pameran aset kenderaan dan badan beruniform.

Pada tengahari pula, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehawal Agama) turut serta menghadiri dan menyerikan program karnival ini dengan upacara perasmian majlis.

Dalam pada masa yang sama, suasana ceria jelas terpancar di Padang Faisal Halim apabila pelbagai aktiviti sukaneka dan sukan rakyat seperti liga penalti berlangsung penuh semangat.

Program diteruskan pada sesi seterusnya dengan Program Jejalah Ulama’ / Umara’ (JMUU) Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan juga oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan diikuti penyampaian sijil dan anugerah kepada para penerima yang diraikan.

Seterusnya pada jam 2.00 petang, berlangsung pula Majlis Perasmian Program Back To School Peringkat Kebangsaan, juga disempurnakan oleh YB Menteri. Simbolik penyampaian bantuan persekolahan mencerminkan keprihatinan dan sokongan kepada golongan pelajar yang memerlukan.

Selesai majlis, program diteruskan dengan Ziarah Kasih Asnaf bagi menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan, diikuti Daurah Ilmu sebagai pengisian rohani menjelang senja.

Sesi sebelah malam pula, Karnival MADANI Al-Falah diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah, Kuliah Maghrib dan makan malam yang menyemarakkan lagi pengisian rohani dan penyatuan para pengunjung.

Seterusnya, suasana menjadi lebih meriah dengan pertandingan Battle of Tarannum, menampilkan alunan merdu bacaan Al-Quran yang menggetarkan jiwa.

Program pada hari kedua diakhiri dengan sambungan Daurah Ilmu yang mengangkat nilai keilmuan sebagai teras pembangunan masyarakat MADANI.

Program sepanjang hari kedua ini nyata menyatukan elemen ilmu, kebajikan dan kemasyarakatan dalam suasana penuh harmoni dan semangat MADANI.

Penutup program hari kedua Karnival MADANI Al-Falah disambut dengan penuh rasa syukur dan kepuasan apabila segala pengisian berjalan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat dimana anggaran pengunjung yang hadir adalah sekitar 400-500 orang yang hadir memeriahkan program hari ini.

Semoga momentum positif ini terus berkekalan hingga ke hari terakhir karnival, demi manfaat bersama dan penyatuan ummah dalam semangat MADANI yang sebenar.

𝐔𝐧𝐢𝐭 𝐊𝐨𝐦𝐮𝐧𝐢𝐤𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐨𝐫𝐩𝐨𝐫𝐚𝐭 (𝐔𝐊𝐊),

𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐡𝐚𝐤𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 (𝐉𝐊𝐒𝐌)

Last Updated on November 29, 2025

Kalendar JKSM

Events in March 2026

  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Putrajaya