Sarawak perketat syarat kahwin bawah umur

MENTERI Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

KUCHING: Kebenaran perkahwinan bagi pasangan bawah umur membabitkan masyarakat Islam di negeri ini tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek emosi, fizikal dan kesediaan untuk berumah tangga.

Keseluruhannya, jumlah pasangan Islam bawah umur yang dibenarkan berkahwin di negeri ini menunjukkan penurunan iaitu 114 individu pada tahun lalu berbanding 127 individu pada 2017.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak sudah menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“SOP itu menyediakan garis panduan kepada Hakim Syarie membuat penilaian sebelum memberi kebenaran bagi permohonan perkahwinan bawah umur. Ia mengambil kira kemampuan, kesihatan dan pendidikan selaras dengan undang-undang syarak,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman ketika mengulas lanjut, bagi tempoh 2018 hingga kini, lelaki Islam dibenarkan berkahwin pada usia 17 tahun berjumlah 30 orang; berusia 16 tahun (7 orang) dan berusia 15 tahun (seorang).

“Bagi tempoh yang sama, perempuan Islam yang dibenarkan berkahwin pada usia 16 tahun ialah 60 orang, diikuti 15 tahun (52 orang), 14 tahun (14 orang) dan 13 tahun (seorang). Mengikut Seksyen 7 Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak, 2001, perkahwinan membabitkan lelaki berumur kurang daripada 18 tahun dan perempuan berumur kurang 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran Hakim Syarie,” katanya.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendedahkan tujuh negeri termasuk Sarawak belum bersetuju meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan negeri secara konsisten melakukan hubungan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyokong had perkahwinan 18 tahun dapat dilaksanakan merangkumi semua lapisan kaum dan agama.

“Jadi, adalah tidak tepat mendakwa Sarawak tidak menyokong pelaksanaan had umur perkahwinan. Usaha ke arah itu memerlukan masa,” katanya.

Sumber: BH Online

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in July 2025

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
June 30, 2025(1 event) July 1, 2025 July 2, 2025 July 3, 2025 July 4, 2025 July 5, 2025 July 6, 2025
July 7, 2025(1 event) July 8, 2025 July 9, 2025(1 event) July 10, 2025 July 11, 2025 July 12, 2025 July 13, 2025
July 14, 2025(2 events) July 15, 2025 July 16, 2025 July 17, 2025 July 18, 2025(2 events) July 19, 2025 July 20, 2025
July 21, 2025(1 event) July 22, 2025 July 23, 2025 July 24, 2025 July 25, 2025 July 26, 2025 July 27, 2025
July 28, 2025(2 events) July 29, 2025 July 30, 2025 July 31, 2025 August 1, 2025 August 2, 2025 August 3, 2025