Soalan Lazim
Soalan Lazim
Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?
Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :
- Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
- Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
- Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
- Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
- Telah mati pucuk.
- Telah gila selama tempoh 2 tahun.
- Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
- Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
- Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
- Memaksa isteri hidup secara lucah.
- Melupuskan harta isteri.
- Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
- Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
- Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
- Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
Apakah maksud Li’an?
Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li’an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.
Apakah status penama terhadap harta si mati?
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 1973 telah memberikan pendapatnya dalam Mesyuarat Raja-raja pada 20 September 1973 dan bersetuju bahawa penama-penama KWSP, wang simpanan pejabat pos, bank, insuran, dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut faraid.
Apakah proses yang terlibat dalam permohonan sijil faraid?
Proses kerja yang terlibat ialah:
i) Mengemukakan permohonan.
ii) Terima permohonan.
iii) Semak.
iv) Jika lengkap terima dan daftar.
v) Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan.
vi) Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
vii) Dapatkan sijil dalam masa 5 hari selepas siasatan ahli waris selesai.
viii) Pemberitahuan akan diberi tahu pada hari siasatan selesai.
Apakah asas yang dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang menerima pusaka atas sebab perkahwinan?
Antara asas-asas yang dipertimbangkan ialah:
i) Sama ada perkahwinan itu sah atau tidak mengikut Hukum Syarak.
ii) Sama ada kematian berlaku sebelum atau selepas akad nikah.
iii) Adakah pasangan pernah bersama atau tidak.
iv) Adakah harta tersebut milik si mati atau tidak?
v) Sekiranya bercerai hidup, adakah dalam eddah talak rajie.
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah?
Dokumen yang diperlukan ialah:
i) Borang permohonan yang lengkap.
ii) Salinan sijil mati si mati atau surat akuan.
iii) Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran atau surat akuan.
iv) Salinan geran harta/buku akuan/penyata.
v) Sijil nilaian harta jika ada.
vi) Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30.00/RM20.00/RM10.00).
Apakah perkara yang diambil kira oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang itu mendapat mutaah?
Mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.
Apakah yang dimaksudkan dengan mutaah dan bilakan ia dilaksanakan?
Mutaah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Ia dilaksanakan/diberi selepas tamatnya iddah.
Apakah bentuk nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isteri yang diceraikan?
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan.
i) Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah:
– Menyediakan makanan yang sepatutnya.
– Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
– Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu.
– Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.
ii) Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie.
iii) Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya.
Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah. Perempuan yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah daripada suaminya semasa di dalam iddah.
Apakah hikmat disyariatkan iddah?
Iddah ialah suatu tempoh masa yang perlu dinanti oleh seseorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya bagi mengetahui bersih rahimnya daripada mengandung untuk mengharuskan dirinya berkahwin dengan lelaki lain. Ia tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.
Iddah hukumnya wajib. Jika seseorang perempuan yang masih di dalam iddah, berkahwin dengan lelaki yang lain, maka perkahwinan itu hukumnya tidak sah pada syarak dan wajib difasakhkan serta merta. Antara hikmat disyariatkan iddah ialah:
i) Untuk mempastikan kesucian rahim perempuan.
ii) Perkara ta’abbud (ibadat).
iii) Memberi peluang kepada suami supaya berfikir semula dan kembali merujuk isterinya semasa d dalam iddah. Hal ini tertakhluk kepada kes talaq rajie sahaja.
Apakah yang dimaksudkan dengan nusyuz?
Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:
i) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
iii) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Setakat manakah bidangkuasa Mahkamah melayani tuntutan perceraian?
Mahkamah mempunyai bidankuasa melayani tuntutan perceraian jika:
i. Perkahwinan didaftarkan menurut undang-undang;
ii. Perkahwinan adalah sah mengikut Hukum Syarak; dan
iii. Permohonan hendaklah dikemukakan di tempat tinggal salah satu pihak kepada perkahwinan.
Bagaimana untuk menentukan jenis talak untuk sesuatu penceraian jika isteri ingin memohon penceraian?
Dalam perkara ini, walaupun suami tidak bersetuju untuk bercerai secara baik, isteri tetap mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan hukum Syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa ke atas pengadu.
Berdasarkan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap Negeri, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui pelbagai cara iaitu secara talaq, ta’liq, khulu’, fasakh dan li’an. Huraian secara ringkasnya berhubung dengan jenis-jenis perceraian tersebut adalah seperti berikut :
(a) Perceraian Secara Talaq
Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq. Perceraian jenis ini perlulah dibuat permohonan terlebih dahulu di Mahkamah dan didaftarkan untuk direkodkan. Perceraian secara talaq ini di peruntukkan dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri;
(b) Perceraian Secara Ta’liq
Ta’liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas ‘aqad nikah. Pengamalan perundangan Keluarga Islam di Malaysia mengklasifikasikan perceraian secara ta’liq berlaku apabila suami melanggar ta’liq yang dibuat olehnya semasa upacara ‘aqad nikah. Amalan ta’liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara’, tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Hal ini dihujahkan oleh Hakim Tan Sri Mohamed Azmi dalam kes Fakhariah bte Lokman lawan Johari bin Zakaria. Lafaz ta’liq yang dibuat oleh suami semasa upacara ‘aqad nikah ini berbeza mengikut negeri. Peruntukan perceraian secara ta’liq ini turut dinyatakan di dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri;
(c) Perceraian Secara Khulu’
Perceraian secara khulu’ merupakan salah satu alternatif perceraian yang turut diperuntukkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia. Perceraian secara khulu’ boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan. Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra, oleh itu ia tidak boleh dirujuk;
(d) Perceraian Secara Fasakh
Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq. Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Peruntukan mengenai fasakh ini turut dinyatakan di dalam undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri; dan
(e) Perceraian Secara Li’an
Perceraian secara li’an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi. Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li’an, mengikut hukum Syara’ di hadapan Hakim Syar’ie, maka mereka akan difaraqkan. Kesannya kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula. Peruntukan mengenai li’an turut diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri.
Sebelum pihak isteri berhasrat untuk memfailkan permohonan perceraian, adalah menjadi suatu keutamaan bagi pihak isteri untuk meneliti terlebih dahulu alasan-alasan yang sesuai, tepat dan munasabah bagi mewajarkan sesuatu permohonan itu dibuat. Ini adalah bagi memastikan permohonan tersebut tepat dan selaras dengan kehendak hukum syarak dan undang-undang, Peraturan serta Arahan Amalan yang berkuat kuasa. Sekiranya fakta atau alasan-alasan yang dikemukakan itu tidak menepati maksud perceraian yang dipohon sama ada secara ta’liq, fasakh dan sebagainya, kemungkinan besar kes tersebut akan ditolak oleh mahkamah.
Untuk mendapatkan kepastian yang lebih lanjut, pihak isteri adalah dinasihatkan agar mendapatkan khidmat pandangan daripada pihak-pihak yang berautoriti di Bahagian Undang-Undang Keluarga di Jabatan Agama Islam Negeri atau mahkamah syariah yang berdekatan.
Bagaimanakah cara/prosedur sekiranya ingin bercerai?
Cerai adalah perkara harus yang paling di benci oleh Allah, oleh itu jadikan cerai sebagai langkah terakhir menyelesaikan masalah.
Saya nasihatkan agar Puan solat istikharah mohon pertunjuk Allah untuk tabahkan hati untuk memohon perceraian, jika cerai adalah baik bagi Puan, keluarga dan baik di sisi Islam mohonlah kekuatan untuk Puan tabah mengusahakannya sebaliknya jika terus hidup bersama dengan suami adalah yang terbaik di sisi Allah maka mohonkan kekuatan untuk menjadi isteri solehah sehingga mampu memimpin suami agar menjadi suami soleh seterusnya hidup bahagia seterusnya.
Jika telah nekad ingin bercerai Puan boleh terus ke Mahkamah Syariah berhampiran (di mana Puan tinggal). Contohnya, kalau Puan tinggal di Putrajaya pergilah ke Mahkamah Syariah Putrajaya, jika di Shah Alam pergilah ke Mahkamah Rendah Shah Alam.
Bagi tujuan pendaftaran kes, hanya Pemohon sama ada suami atau isteri perlu hadir ke Mahkamah memandangkan ia hanya untuk mendaftarkan kes.
Dapatkan borang mohon untuk bercerai dan isi. Bawa bersama surat nikah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan dll yang berkaitan jika nak pasti apa perkara perlu sila berhubung dahulu (telefon) mahkamah berkenaan.
Selepas hantar borang Tuan/Puan akan diberi tarikh panggilan ke mahkamah (sebutan/bicara) dalam tempoh 21 hari. Tuan/Puan juga boleh dapatkan khidmat rundingan dari Pegawai Sulh. apabila di perlukan (kalau perlu kena mohon hadir majlis sulh). Biasanya terus sebutan/bicara. Kalau suami setuju cerai biasanya kes ringkas dan diakhiri lafaz cerai, namun jika tidak mungkin puan perlu pinda kes kepada mohon cerai taklik atau fasakh mengikut alasan yang berkaitan. Alasan taklik ikut lafaz taklik di belakang surat nikah, alasan fasakh lihat seksyen 52 Akta Keluarga .
Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
[Pin. Akta A902:s.16]
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain:
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
[Pin. Akta A828:s.5]
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak. (1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.
[Mas. Akta A902:s.16]
(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Semoga jawapan saya dapat menjelaskan dan membantu puan membuat keputusan yang tepat.
Apakah hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas penceraian?
a) Nafkah eddah
b) Mut’ah
c) Sepencarian
d) Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
e) Nafkah Anak
f) Tunggakkan Nafkah
g) Hak tempat Tinggal
Berapa lamakah tempoh penyelesaian kes penceraian?
Selepas berlaku sesuatu perceraian, sekiranya perceraian tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Syariah dan suatu keputusan telahpun dibuat, maka pihak suami atau isteri perlulah mengambilnya dari pihak Mahkamah.
Setelah diperolehi keputusan tersebut pula, maka puan atau bekas suami hendaklah mengemukakannya kepada Pejabat Agama Islam untuk didaftarkan oleh Pendaftar Nikah, GCerai dan Rujuk.
a) Untuk keputusan cerai : di Mahkamah Syariah
b) Untuk daftar cerai : di Pejabat Agama Islam
Kebiasaannya tempoh yang diambil untuk mendapatkan sijil cerai tersebut adalah 2 minggu dari tarikh pendaftaran penceraian di pejabat agama tersebut. Untuk keterangan lanjut, pihak tuan adalah dinasihatkan untuk menghubungi pejabat agama yang berdekatan.
Apakah hukumnya sekiranya suami isteri tetap tinggal serumah walaupun sedar telah cerai secara taklik?
Seseorang isteri yang telah diceraikan suami sekiranya masih dalam tempoh eddah, adalah masih berada di dalam tanggungjawab suami termasuklah tempat tinggal. Walau bagaimanapun, masing-masing tidak boleh tinggal bersama kecuali telah berlaku rujuk antara keduanya.
Rujuk adalah boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu dengan lafaz atau dengan perbuatan, walau bagaimanapun menurut Mazhab Shafie, rujuk hendaklah dilakukan melalui lafaz.
Bagaimanakah hendak memfailkan hadhanah di Mahkamah Syariah?
Failkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di mana kita bermastautin atau dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie di Biro Bantuan Guaman atau swasta.
Berapa lamakah tempoh penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan oleh undang-undang?
Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. (2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
Apakah syarat-syarat menjadi hadinah/penjaga?
Seksyen 82, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa syarat-syarat menjadi hadinah ialah:
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Siapakah orang yang berhak menjaga kanak-kanak?
Seksyen 81, Akta [303],
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3),hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
Bilakah seseorang suami itu boleh dianggap mati?
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah
Apakah sebab-sebab seseorang perempuan yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran wali Hakim dari Mahkamah Syariah?
Permohonan Wali Hakim dibuat apabila berlaku keadaan seperti berikut:
a) Tiada wali yang sah dari nasab
b) Wali ghaib
c) Saudara baru / Muallaf
d) Anak tak sah taraf
e) Wali enggan
f) Wali dalam ihram haji/umrah
g) Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat
Apakah sebab-sebab kelewatan kes berlaku di Mahkamah- Mahkamah Syariah?
a) Saman / Permohonan tidak dapat diserahkan kepada Defendan/Responden.
b) Afidavit penyampaian tidak difailkan apabila penyerahan dibuat di luar Negeri Sembilan.
c) Plaintif atau Defendan mohon tangguh untuk penyelesaian luar mahkamah.
d) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana tidak dapat pelepasan cuti daripada majikan.
e) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti sakit.
f) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
g) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk melantik peguam.
h) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk memfailkan dokumen.
i) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat disepina.
j) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat hadir.
k) Peguam mohon tangguh kerana cuti sakit.
l) Peguam mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
m) Peguam mohon tangguh kerana ada kes di Mahkamah yang lebih tinggi.
n) Peguam mohon tangguh kerana tarikh yang diberikan bertindih dengan tarikh yang ditetapkan terdahulu.
o) Peguam mohon tangguh kerana dokumen yang diperlukan masih belum diperolehi.
p) Peguam mohon tangguh kerana atas arahan anak guam.
q) Saman kepada OKT tidak dapat diserahkan.
r) Waran tangkap tidak dapat diserahkan.
s) Afidavit penyampaian kepada OKT tidak difailkan apabila membabitkan luar negeri.
t) Pendakwa tidak dapat memberi alamat terkini OKT.
u) Hakim cuti kecemasan.
v) Hakim cuti sakit.
w) Hakim menangguhkan kes atas sebab pihak-pihak/peguam tidak hadir tanpa sebab.
x) Hakim menangguhkan kes atas sebab-sebab pentadbiran.
Berapa lama proses panggilan untuk sebutan setelah kes didaftarkan?
Pada kelazimannya, sebutan akan akan dibuat dalam masa 21 hari selepas pendaftaran disempurnakan.
Apakah syarat-syarat sesuatu kes boleh didaftarkan di Mahkamah Syariah?
Semua orang Islam yang berkahwin secara sah mengikut Hukum Syarak dan bermastautin di dalam sesuatu negeri boleh mendaftarkan permohonan atau tuntutan di mana-mana Mahkamah Syariah di tempat dia bermastautin.
Apakah Jenis Pendaftaran Kes MAL?
Terdapat 2 jenis pendaftaran kes MAL yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah iaitu:
a) Tuntutan
b) Permohonan
Tuntutan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan Saman beserta penyata tuntutan. Pernohonan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan notis permohonan beserta afidavit sokongan.
Apa itu BSK?
Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) merupakan Bahagian yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) rentetan daripada permasalahan berhubung dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah. Menyedari keruncingan masalah pengabaian perintah Mahkamah Syariah berkaitan dengan pembayaran nafkah, maka Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-46 pada 7 Jun 2007 yang dipengerusikan oleh Mantan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi (pada ketika itu) telah memutuskan agar BSK diwujudkan. Keputusan ini telah direalisasikan pada bulan Oktober 2008 apabila BSK ditubuhkan dan mula beroperasi sejak April 2009 dengan menempatkan seramai 96 orang pegawai dan kakitangan JKSM di seluruh Mahkamah/ Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri.
Apakah perkhidmatan yang disediakan oleh BSK?
Antara perkhidmatan yang diberikan adalah seperti berikut:
- Memberikan khidmat nasihat perundangan Syariah;
- Memberikan khidmat bantuan guaman;
- Menyediakan wang pendahuluan/ bantuan nafkah; dan
- Menyediakan perkhidmatan BSK Transit/ tuntutan penginapan, makan dan minum serta pengangkutan untuk menghadiri prosiding di Mahkamah Syariah bagi klien yang layak.
Apakah jenis perintah yang dikuat kuasakan oleh BSK?
Jenis perintah yang dikuatkuasakan oleh BSK adalah seperti berikut:
- Nafkah isteri;
- Nafkah anak;
- Nafkah Iddah; dan
- Mut’ah.
Apakah jenis kes pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah yang dikendalikan oleh BSK?
- Saman penghutang penghakiman;
- Perintah pengkomitan;
- Sitaan dan jualan;
- Sitaan dan serahan; dan
- Hiwalah.
Apakah yang dimaksudkan dengan pendahuluan nafkah?
Pendahuluan nafkah ialah pendahuluan bayaran nafkah yang perlu dibayar balik oleh pemohon yang diluluskan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga daripada dana Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga mengikut kadar dan tempoh yang tertentu.
Apakah yang dimaksudkan dengan bantuan nafkah?
Bantuan nafkah ialah pembayaran wang kepada pemohon yang diluluskan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga daripada dana Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga mengikut kadar dan tempoh tertentu tanpa perlu dibayar balik.
Apakah kriteria dan ciri kelayakan bagi permohonan pendahuluan nafkah?
Kriteria dan ciri kelayakan pemohon bagi pendahuluan nafkah adalah seperti berikut:
1.Pemiutang Penghakiman adalah beragama Islam;
2.Pemiutang Penghakiman telah memperolehi perintah dari mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia;
3.Pemiutang Penghakiman adalah berdomisil/ pemastautin di negeri di mana permohonan pendahuluan nafkah dilakukan;
4.Pemiutang Penghakiman bersedia untuk memfailkan permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah atau tindakan penguatkuasaan telah dimulakan;
5.Pemiutang Penghakiman bersetuju untuk memberikan kerjasama dalam memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap penghutang penghakiman;
6.Penghutang Penghakiman, Pemiutang Penghakiman, warisnya dan/atau hartanya dapat dikesan; dan
7.Terdapat kepercayaan yang munasabah bahawa Penghutang Penghakiman berkemampuan untuk membayar semula pendahuluan nafkah yang disalurkan kepada Pemiutang Penghakiman.
Apakah kriteria dan ciri kelayakan bagi permohonan bantuan nafkah?
Kriteria dan ciri kelayakan pemohon bagi bantuan nafkah adalah seperti berikut:
1.Kes telah didaftarkan di BSK;
2.Pemiutang Penghakiman tidak berkemampuan atau berada di bawah had kifayah; atau
3.Penghutang Penghakiman telah diisytiharkan muflis; atau
4.Penghutang Penghakiman telah hilang keupayaan untuk berkerja; atau
5.Penghutang Penghakiman telah meninggal dunia; atau
6.Penghutang Penghakiman, warisnya dan/atau hartanya gagal dikesan dan dihubungi.
Adakah pendahuluan nafkah boleh ditarik balik/ dibatalkan/ diberhentikan?
Ya, pendahuluan nafkah boleh ditarik balik/ dibatalkan/ diberhentikan jika:
1.Terdapat permintaan daripada Pemiutang Penghakiman agar pendahuluan nafkah BSK dihentikan;
2.Pemiutang Penghakiman semasa membekalkan maklumat telah dengan sengaja, cuai atau bermaksud memberikan apa-apa kenyataan atau pernyataan yang palsu;
3.Penghutang Penghakiman secara suci hati pada bila-bila masa ketika pendahuluan nafkah BSK diberikan kepada Pemiutang Penghakiman
telah bersetuju untuk mematuhi perintah nafkah;
4.Telah tamat tempoh enam (6) bulan pembayaran pendahuluan nafkah BSK atau setelah kes penguatkuasaan selesai (yang mana terdahulu), kecuali terdapat alasan- alasan munasabah yang dipertimbangkan dan diluluskan oleh JKW atau JKA mengikut setiap kes secara berasingan;
5.Penghutang Penghakiman dipenjarakan;
6.Penghutang Penghakiman hilang upaya; atau
7.Sama ada Pemiutang atau Penghutang Penghakiman meninggal dunia.
Apa itu BSK Transit?
Perkhidmatan penginapan sementara secara percuma kepada:
- Pihak/ saksi yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,
- Pihak-pihak terlibat dengan sidang pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman Kuala Lumpur dan Putrajaya
- Pihak-pihak terlibat dalam kes Tribunal Tuntutan Pengguna.
Perkhidmatan ini dikhaskan buat pelanggan yang menetap di luar kawasan Lembah Klang. Keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang kurang berkemampuan (dinilai mengikut had kifayah yang dikeluarkan oleh MAIWP).
Apakah fungsi BSK Transit?
Fungsi BSK Transit adalah menyediakan:
- Tempat penginapan sementara (BSK Transit) pada pihak-pihak yang tidak berkemampuan semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah.
- Melaksanakan peranan tolong-menolong saudara seagama terutamanya kepada yang tidak berkemampuan.
- Menjamin kehadiran pihak-pihak dalam mana-mana prosiding di Mahkamah Syariah.
- Melindungi keselamatan pihak-pihak khususnya ibu-ibu tunggal yang terpaksa hadir ke Mahkamah tanpa ditemani oleh sesiapa.
- Mempercepatkan lagi proses perbicaraan dan seterusnya dapat mengelakkan penangguhan kes mahkamah akibat ketidakhadiran pihak-pihak
- Memberi keselesaan dan ketenangan kepada pelanggan bsk bagi menghadiri prosiding Mahkamah.
Adakah BSK Transit hanya terhad kepada perkhidmatan penginapan sahaja?
Tidak, BSK Transit bukan hanya tertakluk kepada kemudahan fizikal sahaja, malahan BSK Transit juga telah diperluaskan kepada semua pelanggan BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia yang layak, meliputi tuntutan kos penginapan, makan minum dan pengangkutan bagi menghadiri prosiding berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mana-mana Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.
Perkhidmatan ini juga akan diberikan kepada pelanggan yang tidak dapat ditempatkan di BSK Transit Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila perkhidmatan tersebut sedang digunakan oleh pelanggan lain.
Apakah syarat kelayakan permohonan BSK Transit (Fizikal)?
Syarat permohonan BSK Transit (Fizikal) adalah seperti berikut:
- Merupakan pihak/saksi dalam prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Putrajaya
- Tinggal di luar Lembah Klang / Putrajaya
- Beragama Islam
- Tidak berkemampuan
Apakah syarat kelayakan permohonan tuntutan BSK Transit?
Syarat kelayakan permohonan tuntutan BSK Transit adalah seperti berikut:
- Pelanggan BSK Seksyen Negeri
- Tidak Berkemampuan ** Faqir, miskin atau dibawah had kifayah.
- Tidak dapat menginap di BSK Transit ** Selain daripada pelanggan BSK Transit (fizikal) dan BSK Seksyen Negeri Kedah.
Apakah yang dimaksudkan dengan Faraid/Harta Pusaka?
Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.
Menurut istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati. Dari segi istilah Syarak pula, jumhur fuqaha’ mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris.
Apakah harta yang boleh dikategorikan sebagai harta pusaka?
Harta yang boleh dikategorikan sebagai harta pusaka adalah sebagaimana berikut:
- Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
- Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
- Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
- Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
- Penama Takaful; dan
- Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.
Apakah yang dimaksudkan dengan hibah?
Pemberian harta secara kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki semasa hidup tanpa apa-apa balasan.
- Apakah dalil pensyariatan hibah?
- Surah Al-Nisa ‘: 4
وَاٰتُوا النِّسَاۤءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحْلَةً ۗ فَاِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوْهُ هَنِيْۤـًٔا مَّرِيْۤـًٔا
Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada perempuan (yang kamu nikahi) sebagai pemberian yang penuh kerelaan.
Kemudian, jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari (maskawin) itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan senang hati.
- Surah al-Baqarah : 177
لَيْسَ الْبِرَّاَنْ تُوَلُّوْا وُجُوْهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ وَالْكِتٰبِ وَالنَّبِيّٖنَ ۚ وَاٰتَى الْمَالَ عَلٰى حُبِّهٖ ذَوِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِۙ وَالسَّاۤىِٕلِيْنَ وَفىِ الرِّقَابِۚ وَاَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ ۚ وَالْمُوْفُوْنَ بِعَهْدِهِمْ اِذَا عَاهَدُوْا ۚ وَالصّٰبِرِيْنَ فِى الْبَأْسَاۤءِ وَالضَّرَّاۤءِ وَحِيْنَ الْبَأْسِۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ
Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-minta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan salat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
- Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادُوا تَحَابُّوا
“Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat Al-Bukhari)
Apakah peruntukan yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah memutuskan kes hibah?
Seksyen 46 (2) (b) (v) dan (vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
- b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan-
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;
Berapakah kadar harta yang boleh dihibahkan?
Dalam keadaan biasa tiada sebarang had yang ditetapkan Syarak untuk seseorang pemilik harta menghibahkan kepada seseorang yang lain.Namun begitu Nabi S.A.W berpesan supaya berlaku adil kepada ahli waris supaya tidak berlaku zalim sebagaimana Hadis Nu’man bin Basyir yang mendengar Nabi S.A.W bersabda :
“Bertakwalah kepada Allah SWT dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu”
Sekiranya pemilik harta berada dalam situasi maradul maut, kadar hibah hanya tertakluk kepada 1/3 sahaja daripada harta yang dihibahkan. Sekiranya melebihi kadar tersebut, ia perlu mendapat persetujuan ahli waris.
- Adakah hibah boleh dibatalkan atau ditarik balik?
Hibah boleh dibatalkan atau ditarik balik apabila melibatkan hibah yang dibuat oleh seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya.
Apakah pengertian Wakaf?
Bahasa:
Berhenti, Menahan, Menghalang
Istilah / Syara’:
Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.
Bolehkah menerima wakaf daripada orang bukan Islam?
Dibenarkan. Para ulama’ as-Syafie berpendapat: Wakaf seorang bukan Islam sah walaupun untuk masjid walaupun ia bukan berniat taqarrub**. Mereka akan diberi ganjaran atas sedekahnya di dunia, namun di akhirat tiada habuannya untuk mendapat pahala. Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya”. (Riwayat Muslim).
Bolehkah memberi wakaf kepada orang bukan Islam?
Para ulama’ as-Syafie mengharuskan wakaf kepada golongan bukan Islam ataupun zimmi, selama mana ia tidak bertujuan untuk melakukan maksiat. Ini kerana dibolehkan sedekah kepada golongan ini, maka begitu juga diharuskan wakaf kepada mereka. Jika didapati ada kemungkinan penerima wakaf akan melakukan maksiat dengan harta tersebut, maka wakaf tersebut tidak sah kerana maksiat tersebut akan menghilangkan hikmah dan tujuan wakaf.
Apakah yang dimaksudkan dengan wasiat?
Wasiat ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.
Dari sudut undang-undang wasiat” ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.



