PUTRAJAYA – Persatuan Ikatan Kumpulan Sokongan Syariah Malaysia (IKSYAM) telah berjaya menganjurkan Program Khidmat dan Amal Sosial Syariah (KASIH SYARIAH) dengan jayanya di Surau Al-Muhajirin, Presint 9, Putrajaya, sekali gus memperkukuh peranan institusi Syariah dalam mendekati dan menyantuni masyarakat.
Program yang menghimpunkan lebih 300 pengunjung ini merupakan inisiatif strategik IKSYAM bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memperluas penglibatan warga Kumpulan Pelaksana Syariah ke lapangan khidmat sosial dan kemasyarakatan berteraskan nilai-nilai Syariah serta pendekatan dakwah Islamiyyah.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YAA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, yang membacakan teks ucapan perasmian YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam ucapan tersebut, penekanan telah diberikan terhadap peranan signifikan Kumpulan Pelaksana Syariah sebagai tulang belakang kepada kelancaran jentera pentadbiran Kerajaan, khususnya dalam menyokong keberkesanan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Selaras dengan objektif kebajikan program, dengan kerjasama dan dukungan kewangan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 100 orang penerima telah menerima Bakul Rezeki KASIH SYARIAH. Para penerima terdiri daripada pelajar sekolah, komuniti setempat serta wakil agensi yang terlibat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
Penganjuran program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik MAIWP, serta sokongan Kelab Kebajikan dan Sukan JKSM (KKS JKSM), PUSPANITA Cawangan Kecil JKSM dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM). Selain penyampaian sumbangan, program ini turut diisi dengan aktiviti gotong-royong dan penglibatan langsung warga IKSYAM dan JKSM bersama komuniti setempat.
Pelaksanaan Program KASIH SYARIAH ini mencerminkan komitmen berterusan institusi Syariah dalam mengangkat nilai kasih sayang, empati dan tanggungjawab sosial Islam, di samping memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan institusi kehakiman dan perundangan Syariah dalam menjaga kebajikan ummah.
Secara keseluruhannya, program ini diyakini memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi Syariah dan agensi-agensi berkaitan. Program KASIH SYARIAH diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang sebagai usaha memantapkan fungsi institusi Syariah serta meluaskan manfaat khidmat sosial kepada masyarakat di seluruh negara.
𝐈𝐤𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐒𝐨𝐤𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 (𝐈𝐊𝐒𝐘𝐀𝐌)

Last Updated on December 13, 2025






