𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐄𝐋𝐄𝐆𝐀𝐒𝐈 𝐉𝐊𝐒𝐌 𝐊𝐄 𝐀𝐓𝐀𝐒 𝐓𝐘𝐓 𝐃𝐔𝐓𝐀 𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐊𝐄 𝐑𝐄𝐏𝐔𝐁𝐋𝐈𝐊 𝐀𝐑𝐀𝐁 𝐌𝐄𝐒𝐈𝐑

Kaherah, 17 September 2025 (Rabu) – Delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Mohd Tarid Sufian, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, bertempat di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Kunjungan ini diadakan bersempena Kursus Kehakiman di Pusat Kehakiman Negara Mesir yang berlangsung dari 7 hingga 25 September 2025.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh YA Dato’ Abas bin Nordin, Hakim Rayuan Syariah JKSM merangkap Ketua Delegasi. Turut hadir ialah Tuan Wan Abdul Malik bin Wan Sidek (Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu), YM Tuan Raja Mazelan bin Raja Deraman (Presiden PPSM/Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan), Tuan Mohd Hairuddin bin Ab Rahim (Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor) dan Encik Mohd Muzammil bin Aziz (Pegawai Syariah JKSM).

Ketibaan delegasi disambut baik oleh YBrs. Encik Nurul Ezhar Salehuddin, Setiausaha Kedua (Konsular), KBMK. TYT Dato’ Mohd Tarid dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para delegasi dan peserta kursus, di samping menzahirkan penghargaan terhadap usaha JKSM memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir yang kini turut meliputi aspek kehakiman melalui kerjasama dengan NCJS dan institusi berkaitan.

Diawal ucapan balas, YA Dato’ Abas telah menyampaikan salam hormat daripada YAA Dato’ Ketua Pengarah JKSM serta jemputan rasmi kepada TYT untuk menghadiri Persidangan Pegawai Syariah Tahun 2026.

Antara perkara penting yang dibincangkan dalam pertemuan ini termasuklah:

1.⁠ ⁠Persetujuan KBMK terhadap cadangan JKSM menganjurkan program taklimat bersama pelajar Malaysia di Mesir mengenai peranan JKSM serta peluang kerjaya dalam bidang Syariah di Malaysia.

2.⁠ ⁠Perbincangan mengenai penyampaian saman dan dokumen mahkamah rentas sempadan, termasuk isu kes rumah tangga rakyat Malaysia di Mesir.

3.⁠ ⁠Cadangan pelaksanaan program internship pelajar Mesir di JKSM, JKSN dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri (JaPeN) dengan kerjasama atase-atase pendidikan negeri di Malaysia.

4.⁠ ⁠Cadangan pelaksanaan Talent Acquisition Program untuk pelajar tahun 3 dan 4 Universiti Al-Azhar bagi skim lantikan Pegawai Syariah, yang telah mendapat maklum balas positif daripada pihak Kedutaan.

Selesai perbincangan, para delegasi turut berpeluang melawat sekitar bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Ketua Delegasi, YA Dato’ Abas bin Nordin, turut menandatangani buku pelawat kedutaan disaksikan oleh YBrs. Encik Nurul Ezhar.

Kunjungan hormat ini mencerminkan hubungan erat antara institusi kehakiman Syariah Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, sekaligus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang kehakiman, perundangan, dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 (𝐊𝐞𝐡𝐚𝐤𝐢𝐦𝐚𝐧)

𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐡𝐚𝐤𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐒𝐲𝐚𝐫𝐢𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚

Last Updated on September 25, 2025

Kalendar JKSM

September 29, 2025