LAWATAN KE BAHAGIAN PENDAKWAAN JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SABAH

18 Februari 2021: Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Setia Dr. Na’im bin Hj. Mokhtar hari ini meluangkan masa melawat warga kerja Bahagian Pendakwaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jaheins) bertempat di Wisma MUIS kota Kinabalu.

Kunjungan tersebut diadakan sejurus selepas YAA Dato’ Setia Dr. selesai mempengerusikan sidang rayuan syariah bertempat di Mahkamah Sivil Sabah.

Kehadiran YAA Dato’ setia Dr. telah disambut oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah, Tuan Mohd Ridzuan Bin Othman dan Tuan Pendakwa Syarie, Dr. Pengiran Ismail serta pegawai kanan Jaheins yang lain.

Lawatan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak selain sebagai tanda keprihatinan JKSM terhadap Bahagian Pendakwaan Syariah Sabah yang telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah di Malaysia.

YAA Dato’ Setia Dr. terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kesudian Bahagian Pendakwaan menyambut kehadiran beliau dan YAA Dato’ Setia Dr. turut memberi pesanan kepada para pegawai agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab walaupun mempunyai kakitangan dan pegawai yang terhad jika diambil kira dengan kedudukan geografi negeri Sabah yang luas.

Tuan KPS turut berkesempatan memberikan taklimat ringkas berkenaan operasi dan struktur pentadbiran Bahagian Pendakwaan Syariah Negeri Sabah.

Last Updated on December 23, 2021

Kalendar JKSM

April 19, 2024

Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor