Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dalam rundingan

Mujahid (tengah) pada sidang media di USIM hari ini.

NILAI – Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mencari penyelesaian supaya setiap keputusan dibuat oleh Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah berkenaan sesuatu kes dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana ada beberapa keputusan yang diputuskan terikat dengan akta dan undang-undang lain menyebabkan ia sukar dikuatkuasakan.

Menurutnya, beberapa siri perbincangan dengan semua pemegang taruh yang diadakan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menunjukkan perkembangan positif.

“Setakat ini tiada masalah hanya perlu rundingan dan jika perlu penglibatan kementerian tertentu lebih kepada pindaan akta di pihak mereka kerana di pihak kami (Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah) telah selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah (Muqarrar) 2019 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Selain itu katanya demi kepentingan Mahkamah Khas Hadhanah ini, JKSM telah dihantar ke Australia untuk membuat kajian serta bertukar-tukar pandangan dengan pihak Mahkamah Keluarga di sana bagi menambah baik undang-undang Syariah sedia ada.

“Rombongan ini dipimpin oleh Datuk Dr Mohd Na’im untuk mereka bertukar pendapat dengan Mahkamah Keluarga Australia memandangkan mahkamah ini mempunyai piawaian yang agak baik.

“Hasil dari pengkongsian pengalaman ini nanti mungkin kita boleh lihat bagaimana untuk kita menambah baik perlembagaan yang ada dalam negara,” katanya.

Mengulas mengenai seminar hari ini, Mujahid berkata melalui kertas kerja yang telah dibentangkan pada hari ini, ia mungkin dapat menyumbang kepada kerajaan untuk dijadikan input bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan tuntutan hadhanah dan penguatkuasaannya.

Beliau ketika berucap turut berkata, hadhanah atau hak penjagaan adalah isu yang amat kritikal dalam kes membabitkan masalah rumah tangga dan perceraian.

Hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Sumber: Sinar Harian

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in July 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
July 1, 2024 July 2, 2024 July 3, 2024 July 4, 2024 July 5, 2024 July 6, 2024 July 7, 2024
July 8, 2024 July 9, 2024 July 10, 2024 July 11, 2024 July 12, 2024 July 13, 2024 July 14, 2024
July 15, 2024 July 16, 2024 July 17, 2024 July 18, 2024 July 19, 2024 July 20, 2024 July 21, 2024
July 22, 2024 July 23, 2024 July 24, 2024 July 25, 2024 July 26, 2024 July 27, 2024 July 28, 2024
July 29, 2024 July 30, 2024 July 31, 2024 August 1, 2024 August 2, 2024 August 3, 2024 August 4, 2024