Menu
0-9
A
- Aduan
- Pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tidak diketahui telah melakukan atau bersalah atas sesuatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim.
- Afidavit
- Kenyataan bertulis atas nama seorang yang bersumpah dan menandatangani kenyataan-kenyataan tersebut dan orang itu mesti berupaya membuktikan kenyataan-kenyataannya di mahkamah.
- Ahli Kariah
- Seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid.
- Akuan
- Pernyataan formal di Mahkamah oleh atau bagi pihak seseorang yang dituduh sebagai tindak balas kepada dakwaan yang dibuat terhadapnya.
- Anak Sah taraf
- Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan yang sah menurut hukum syarak.
- Anak Tak Sah Taraf
- Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan yang tidak sah menurut hukum syarak.
- Anggapan Kematian
- Keadaan di mana tiada terdapat berita dan nafi perkhabaran mengenai kematian atau hidupnya seseorang suami atau isteri yang telah hilang sekurang-kurangnya melebihi 4 tahun.
- Arahan Amalan
- Suatu dokumen bertulis yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkaitan dengan prosedur atau polisi yang mana ia perlu diikuti dan dipatuhi oleh mahkamah-mahkamah syariah.
B
- Bailif
- Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungkan bagi melaksanakan apa-apa perintah mahkamah.
- Bersalah
- Pensabitan oleh Mahkamah terhadap orang yang dituduh yang telah melakukan kesalahan.
- Bidang Kuasa
- Kuasa Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan kes atau membuat sesuatu arahan.
C
- Cerai
- Pembubaran sesuatu ikatan perkahwinan yang dilangsungkan mengikut hukum syarak.
D
- Dakwa
- Aduan (tuntutan dan tuduhan) yang dikemukakan di mahkamah.
- Dashboard BI
- Papan pemuka bagi pengaplikasian teknik dan alat untuk mentransformasi data mentah menjadi informasi yang berguna.
- Defendan
- Pihak yang dituntut bagi kes sivil dan mal di mahkamah.
E
- Eksibit
- Satu bukti fizikal atau dokumen yang dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan melalui saksi atau afidavit bagi menyokong keterangan lisan atau bertulis.
- Enakmen
- Undang-undang bertulis yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
- Ex parte
- Satu permohonan yang dibuat oleh pemohon kepada mahkamah bagi mendengar kes tanpa kehadiran pihak responden.
F
- Faraid
- Ilmu pengetahuan atau hukum tentang pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak yang menetapkan bahagian-bahagian tertentu kepada ahli waris.
G
- Gemulah
- Si mati atau orang yang telah meninggal dunia.
H
- Hak
- Sebarang pemilikan atau kepentingan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang dan hukum syarak.
- Hari Kehadiran
- Hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.
- Harta
- Sebarang benda yang boleh dimiliki merangkumi harta alih dan harta tak alih.
- Hiwalah
- Pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, yang mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan.
Misalnya: A mempunyai sejumlah hutang terhadap B. Manakala B pula mempunyai sejumlah harta/wang dalam jagaan C. Oleh kerana B tidak mampu untuk membayar hutang kepada A, maka A boleh menuntut/mendapatkan hutangnya daripada C. A mendapat kembali harta/wang daripada B melalui C adalah dengan proses hiwalah.
- Hukum Syarak
- Hukum yang berlandaskan syariat Islam iaitu yang berdasarkan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias, dalam mana-mana mazhab yang sah dan muktabar.
- Hukuman
- Penalti dan hukuman yang dikenakan ke atas seseorang yang sabit kesalahan oleh Mahkamah.
I
- Injunksi
- Perintah tegahan yang diberikan oleh mahkamah.
- Interplider
- Tindakan yang perlu dilakukan oleh Bailif atau orang yang bertanggungan apabila dua pihak atau lebih ada membuat tuntutan terhadap wang, barang atau harta alih dalam milikannya.
- Inventori
- Senarai lengkap aset dan harta alih atau harta tak alih.
- Iqrar
- Suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.
J
- Jaminan
- Pembebasan oleh polis atau Mahkamah, seseorang dalam kawalan undang-undang sementara menunggu perbicaraan atau rayuan atas hukuman jenayah.
- Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak
- Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 37 Akta Pentadbiran Undang-Undang Wilayah-wilayah Persekutuan.
K
- Kes Faraid
- Kes yang didaftarkan untuk penyelesaian masalah pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati setelah berlaku kematiannya.
- Kes Jenayah
- Kes yang didaftarkan bagi kesalahan yang boleh dihukum dengan penghukuman tertentu berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah.
- Kes Mal
- Kes yang didaftarkan berhubung isu-isu kekeluargaan dan harta.
- Kes Rayuan
- Kes-kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah oleh pihak yang terkilan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah bicara.
- Kes Syariah
- Kes yang dibicarakan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
- Kesalahan
- Apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa.
- Kesalahan Boleh Tangkap
- Sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.
- Kesalahan Tak Boleh Tangkap
- Suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran.
- Keterangan Lisan
- Segala penyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat dihadapannya oleh saksi berhubung dengan fakta-fakta yang disiasat.
- Klien
- Seseorang yang mengambil khidmat peguam syarie bagi mewakili dirinya untuk menjalankan tugas undang-undang bagi pihaknya dan pihak orang lain.
- Kontrak
- Satu perjanjian yang diikat menerusi undang-undang.
L
- Li’an
- Sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah li’an mengikut Hukum Syarak bahawa isterinya telah melakukan zina tanpa empat orang saksi.
- Lien
- Suatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat jumlah hutang yang dihutangkan.
- Litigan
- Seseorang yang merupakan satu pihak kepada satu tindakan Mahkamah.
- Litigasi
- Tindakan undang-undang yang diambil oleh seorang litigan.
- Liwat
- Perhubungan seks diluar tabi’e sesama lelaki.
(Rujukan Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997)
M
- Mahkamah Syariah
- Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
- Mal
- Merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan syariah, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah.
- Mualaf
- Seseorang yang baru memeluk agama Islam.
- Mufti
- Orang yang dilantik oleh YDPA atau Sultan atau Raja bagi membantu dan menasihati Baginda dalam hal ehwal agama Islam di negeri-negeri.
- Muhal ‘alaih
- Pihak yang berkewajipan membayar hutang kepada Penghutang Penghakiman.
- Muncikari
- Seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syara’ dan undang-undang.
- Musahaqah
- Perhubungan seks sesama perempuan.
- MySMS
- MySMS adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk membolehkan orang ramai melakukan interaksi yang mudah, ringkas dan segera dengan pelbagai agensi Kerajaan menerusi kod ringkas 15888 yang unik.
N
- Nafkah
- Keperluan-keperluan asasi bagi seseorang merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perkhidmatan seperti pendidikan, perubatan, peribadatan dan sebagainya.
- Nazr
- Mewajibkan ke atas diri sendiri melakukan perbuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan oleh hukum syara’.
- Niat
- Hasrat atau tujuan seseorang untuk melakukan sesuatu.
O
- Ordinan
- Undang-undang yang dilulus oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak atau dilulus oleh parlimen sebelum Malaysia merdeka.
P
- Peguam Syarie
- Seseorang berkelayakan yang diterima sebagai peguam syarie di bawah peruntukkan undang-undang di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah dan ia termasuklah mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3 (2) Akta Bantuan Guaman 1971.
- Pemiutang Penghakiman
- Orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman terhadap penghutang penghakiman.
- Pendaftar
- Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah mengikut mana-mana berkenaan yang dilantik di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
- Pendakwa syarie
- Orang yang memulakan prosiding jenayah di mahkamah syariah dan ia dilantik oleh Ketua Pendakwa Syarie di bawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
- Penghakiman
- Keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim bagi kes-kes yang dibicarakan di mahkamah samada melalui perbicaraan atau penyelesaian bersama.
- Penghutang Penghakiman
- Orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang.
- Penjaga
- Seseorang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga seseorang yang belum dewasa atau tidak berkeupayaan.
- Pentadbir
- Pegawai yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbir Sistem e-Syariah Versi 3. Boleh dikenali juga sebagai System Administrator.
- Perbicaraan
- Pendengaran kes mal atau jenayah di Mahkamah di hadapan hakim.
- Perintah
- Arahan atau Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
- Perjanjian Lisan
- Kontrak yang dibuat secara lisan.
- Permohonan Interlokutori
- Suatu permohonan bagi mendapatkan apa-apa perintah yang dipohon ketika berlangsungnya prosiding perbicaraan.
- Plaintif
- Pihak menuntut atau pengadu yang memulakan tuntutan di mahkamah.
- Pliding
- Pernyataan bertulis secara formal tentang sebab sesuatu tindakan atau pembelaan yang dikemukakan oleh plaintif dan defendan dalam sesuatu tuntutan mahkamah.
- Poligami
- Perkahwinan melebihi dari seorang isteri.
Q
- Qazaf
- Perbuatan menuduh seseorang berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil.
R
- Rayuan Interlokutori
- Rayuan bantahan terhadap arahan yang dibuat ketika peringkat interlokutori (di peringkat pra-perbicaraan) litigasi.
- Relief
- Jenis-jenis faedah atau manfaat undang-undang yang boleh diperintahkan oleh mahkamah kepada pihak-pihak di dalam sesuatu kes seperti injuksi, pemulangan harta atau penyerahan hak milik harta.
- Repositori
- Satu tempat penyimpanan berpusat yang mana semua rekod, fail dan data di simpan.
- Responden
- Orang atau pihak yang didakwa dalam aduan atau rayuan yang dikemukakan ke mahkamah.
- Rumah Diluluskan
- Mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai pusat pemulihan dibawah Akta/Enakmen/Ordinan Mahkamah Syariah.
S
- Saman
- Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah kepada pihak-pihak yang dinamakan supaya hadir di Mahkamah pada waktu dan tempat yang telah ditetapkan.
- Sistem Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS)
- Sistem untuk mendaftar permohonan baru atau memperbaharui Sijil Amalan Peguam Syarie. Satu pangkalan data yang mengandungi maklumat terkini pengamal-pengamal perundangan Syariah akan disimpan bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan oleh pihak yang berkuasa.
- Sita
- Perihal mengambil, menahan atau merampas barang-barang dengan perintah mahkamah oleh pegawai mahkamah (bailif).
- Subversion
- Subversion adalah aplikasi untuk mengawal versi dokumen (version control system), yang dapat menjadi medium kolaborasi projek serta mengelola dokumen projek beserta segala perubahan yang terjadi atas dokumen tersebut.
- Sulh
- Suatu proses penyelesaian alternatif antara pihak-pihak di mahkamah syariah melalui persetujuan/perjanjian.
- Sumbang Mahram
- Persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Hukum Syarak.
- Sumpah
- Suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya.
T
- Takfir
- Mengatakan atau mentohmahkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis bahawa seseorang yang beragama Islam sebagai bukan Islam.
U
V
- Virus komputer
- Virus komputer merupakan program komputer yang berupaya menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer tanpa kebenaran ataupun pengetahuan pengguna.
W
- Wakaf
- Apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jualbeli, pewarisan, hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).
- Wakaf Am
- Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum menurut Hukum Syarak.
- Wakaf Khas
- Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat khusus menurut Hukum Syarak.
- Wali
- Seseorang lelaki yang diberikuasa oleh hukum syarak untuk mengahwinkan perempuan samada wali mujbir atau wali bukan mujbir.
- Wasiat
- Pengakuan seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.
X
Y
Z
- Zina
- Persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa nikah.