Persekutuan, negeri perkasakan mahkamah syariah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri berusaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah, dengan memperluas bidang kuasa institusi itu, selain menaik taraf sistem kehakiman dan menyemak semula kedudukan Hakim Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan juga sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang pernah ditubuhkan pada 2017 bagi memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik, namun terhenti berikutan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diguna pakai di seluruh Mahkamah Syariah.

“Usaha ini dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Zulkifli memaklumkan, inisiatif berbentuk inovasi juga sudah diperkenalkan bagi mempercepat penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah, antaranya e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang serta pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepat penyerahan dokumen dan perintah mahkamah.

“Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes, ia bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, peguam syarie atau pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha proaktif sudah dilakukan mahkamah bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara perlu mendapat pandangan dan persetujuan Sultan atau Raja selaku ketua agama di setiap negeri serta pihak berkuasa agama negeri.

Menjawab soalan tambahan Noh sama ada kerajaan bercadang menjalankan kajian bagi membandingkan keberkesanan Mahkamah Syariah setiap negeri dalam mengendalikan kes, Zulkifli berkata, beberapa langkah penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Terengganu diharap akan menjadi ikutan negeri lain dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Mengenai soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) sama ada jumlah kakitangan sokongan bagi mengendalikan beban kerja di Mahkamah Syariah mencukupi, Zulkifli menjelaskan, beliau sudah mengadakan lawatan di beberapa Mahkamah Syariah terutama di Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melihat masalah yang dihadapi.

“Memang ada masalah kakitangan sokongan kurang cukup. Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, kini sedang dalam proses untuk diisi dengan lebih 30 jawatan baharu dan insya-Allah, akan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi.

Sumber: Berita Harian

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Events in April 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
April 1, 2024(2 events) April 2, 2024(1 event) April 3, 2024 April 4, 2024(1 event) April 5, 2024 April 6, 2024 April 7, 2024
April 8, 2024 April 9, 2024 April 10, 2024 April 11, 2024 April 12, 2024 April 13, 2024 April 14, 2024
April 15, 2024 April 16, 2024 April 17, 2024 April 18, 2024 April 19, 2024(1 event) April 20, 2024 April 21, 2024
April 22, 2024 April 23, 2024(2 events) April 24, 2024 April 25, 2024 April 26, 2024 April 27, 2024 April 28, 2024
April 29, 2024(2 events) April 30, 2024 May 1, 2024 May 2, 2024 May 3, 2024 May 4, 2024 May 5, 2024