PERSIDANGAN KETUA-KETUA PENDAFTAR NIKAH CERAI DAN RUJUK JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI DAN KETUA-KETUA PENDAFTAR JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI / MAHKAMAH SYARIAH NEGERI (KPNCR DAN KP JKSN / MSN) SELURUH MALAYSIA KALI KE-10 TAHUN 2022

16-17 Ogos 2022: Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR) JKSM telah mengurusetiakan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah Cerai Dan Rujuk Jabatan Agama Islam Negeri Dan Ketua-Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri / Mahkamah Syariah Negeri (KPNCR dan KP JKSN / MSN) Seluruh Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2022.

Persidangan ini merupakan persidangan yang diadakan secara bersama antara JKSM dan JAKIM dan diurusetiakan secara bergilir-gilir antara JKSM dan JAKIM.

Peserta bagi Persidangan ini terdiri dari semua Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) dan Mahkamah Syariah Negeri (MSN) serta Ketua-Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (KPNCR).

Objektif Persidangan ini adalah untuk membincangkan isu yang memerlukan penyelarasan dan penyeragaman dalam hal enwal perundangan dan pentadbiran antara kedua-dua agensi. Selain itu, ianya merupakan medan yang akan digunakan untuk mendapatkan maklumat, pandangan, maklumbalas dan idea bagi isu-isu yang melibatkan perkahwinan, perceraian dan ruju’ ke arah penyelesaian secara holistik.

Persidangan ini telah dipengerusikan secara bersama oleh YA Dato’ Haji Amran bin Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan JKSM dan juga YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Shuhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

Dalam ucapan aluan, YA Dato’ Haji Amran bin Mat Zain telah menyentuh beberapa perkara, antaranya berkaitan kerjasama antara JKSM dengan JAKIM melalui integrasi e-Syariah Versi 3 dengan SPPIM dan e-Jinayat, makluman pindaan undang-undang di Wilayah Persekutuan berkaitan perbicaraan secara online dan juga penglibatan pihak JKSM bersama pihak JAKIM dalam memurnikan Kaedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam sedia ada.

Selain itu, beliau juga memaklumkan cadangan berkaitan lafaz taklik tambahan didaftarkan oleh Pendaftar NCR selepas akad nikah dijalankan, pemerkasaan Hakam di Mahkamah Syariah dan juga berkaitan saluran maklumat dan data bagi statistik penceraian kepada Jabatan Perangkaan bagi tujuan perkongsian data berdasarkan jumlah kes selesai (permohonan diterima/ disabitkan) yang dijana melalui sistem e-Syariah.

Manakala dalam ucapan aluan dari YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Shuhaimee, beliau telah menyentuh berkaitan penyediaan Garis Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian Dan Ruju’ Pelarian United Nation High Commissioner for Refugees (UNHCR) Di Malaysia dan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) oleh pihak JAKIM.

Selain itu, beliau turut menyentuh berkaitan Projek Transformasi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) Integrasi antara SPPIM dan e-syariah yang amat penting untuk dilaksanakan bagi memudahkan semua pihak dalam melaksanakan urusan NCR samada di JAIN mahupun Mahkamah Syariah.

Beliau juga amat mengalu-alukan kolaborasi strategik antara JAKIM dan JKSM dalam melaksana program-program yang bersesuaian dan memperhebatkan penerangan dan kesedaran supaya perkara berkaitan hak-hak dan undang-undang keluarga Islam dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Dua kertas pertimbangan yang bertajuk Perintah Mahkamah Syariah Berkenaan Wali Raja/ Hakim Hendaklah Diendorskan Oleh Mahkamah Syariah Di Negeri Tempat Berlangsungnya Pernikahan telah dibentangkan oleh Pengarah BPKR JKSM dan kertas Pelaksanaan Konsultasi Pra Perceraian telah dibentangkan oleh Pengarah KSK JAKIM. Kedua-dua kertas ini telah dibincang dan dibahaskan serta diterima dengan penambahbaikan.

Manakala satu kertas makluman yang bertajuk Kertas Makluman Arahan No. 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN) Berkaitan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Pelarian United Nation High Commissioner For Refugees (UNHCR) yang Beragama Islam di Malaysia juga telah dibentangkan oleh Pengarah Bahagian KSK JAKIM.

Persidangan selama dua hari satu malam berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan ucapan penutup oleh kedua-dua Pengerusi. Dalam ucapan penutup, kedua-dua pengerusi menzahirkan harapan bagi penyelesaian isu-isu yang telah dikemukakan dan juga membuat penambahbaikan terhadap perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam ketiga-tiga kertas yang telah dibentangkan.

Last Updated on August 16, 2022

Kalendar JKSM

March 29, 2024