𝐏𝐮𝐭𝐫𝐚𝐣𝐚𝐲𝐚, 𝟐𝟒 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟑 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Seminar Sihir Pemisah ”Sakau” Keharmonian Rumahtangga bertempat di Dewan Serbaguna Tan Sri Ibrahim Lembut, Aras 5 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Seminar ini telah dianjurkan bersempena sambutan 25 Tahun Jubli Perak JKSM dan telah dihadiri oleh seramai 145 peserta dari seluruh Malaysia dengan latar belakang yang pelbagai bidang dan ilmu.
Antara objektif penganjuran ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang apa itu sihir tafriq, berkongsi maklumat berkaitan dengan KSK Care sebagai model pusat rawatan holistik dan memberi pengetahuan tentang perkembangan semasa dalam profesyen sebagai pengamal pengubatan Islam serta perkongsian berkenaan dengan siasatan forensik dalam kes-kes melibatkan sihir pemisah.
Pakar jemputan yang memberi penerangan berkaitan dengan topik yang dikupas adalah YBhg. Dr. Haji Jahid bin Hj Sidek, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia Merangkap Pengasas Pusat Rawatan Manarah yang membincangkan topik “Gangguan Sihir Pemisah: Perkongsian Pengalaman Perawat”, YBhg. Prof. Madya Dr. Mahyuddin bin Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah), Universiti Malaysia Pahang berkaitan dengan “Perceraian Angkara Sihir: Satu Analisis Dari Sudut Hukum Syarak dan Solusi Perundangan”, YA Dr. Zainal Abidin bin Kusmin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang berkongsi maklumat tentang “Perceraian Angkara Sihir Dari Perspektif Seorang Hakim” dan Tuan Amidon Anan, Mantan Ketua Forensik PDRM, Bukit Aman berkongsi mengenai Kajian Forensik dalam siasatan Sihir.
Diharap dengan penganjuran seumpama ini akan dapat memberi pendedahan awal kepada semua peserta yang hadir pada hari ini tentang kewujudan sihir pemisah dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama yang melibatkan kes-kes di Mahkamah Syariah. Untuk Rekod, Seminar ini telah dengan jayanya dirasmikan oleh 𝙔𝘼𝘼 𝘿𝙖𝙩𝙤’ 𝙃𝙟. 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝘼𝙢𝙧𝙖𝙣 𝙗𝙞𝙣 𝙈𝙖𝙩 𝙕𝙖𝙞𝙣, Selaku Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan juga penaung Persatuan Pegawai Syariah Malaysia.
Last Updated on May 25, 2023