SESI SARAPAN BERSAMA YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

8 Januari 2021: YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pagi ini telah berkesempatan hadir ke JKSM bersarapan bersama YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM serta YA Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM bertempat di Blok C, Kompleks Islam Putrajaya.

Pertemuan yang bermula jam 8.00 pagi ini bertujuan memaklumkan tentang perkembangan terkini pengendalian kes-kes rayuan di Mahkamah Rayuan Negeri-negeri oleh Hakim-hakim Rayuan Syariah JKSM.

Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri telah menzahirkan rasa gembira dengan pertemuan ini kerana beliau dapat mendengar sendiri perkembangan pengendalian kes-kes rayuan syariah dan beliau mengharapkan sesi seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala iaitu dalam kekerapan 3 bulan sekali.

Setakat hari ini, lapan buah negeri telah melantik dan mentauliahkan Hakim-Hakim Rayuan JKSM di Mahkamah Rayuan Syariah Negeri-Negeri iaitu Negeri Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah.

Penetapan Key Performance Indikator (KPI) bagi pengendalian kes-kes rayuan syariah merangkumi Tier1 (YAA Dato Setia Dr. Ketua Hakim Syarie/ Ketua Pengarah JKSM), Tier 2 (YA-YA Hakim Rayuan JKSM) dan Tier 2 (Ketua Pendaftar JKSM) iaitu;

  1. Penyelesaian kes rayuan syariah di negeri-negeri yang dikendalikan Hakim Rayuan JKSM, hendaklah diselesaikan sebanyak 90% di dalam tempoh 6 bulan selepas ianya didaftarkan di Seksyen Rayuan JKSM.
  2. Penyelesaian kes semakan Syariah di negeri negeri di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah yang dikendalikan Hakim -Hakim Rayuan JKSM, hendaklah diselesaikan sebanyak 90% di dalam tempoh 3 bulan selepas ianya disebut kali pertama di Mahkamah Rayuan.
  3. Sebutan atau pendengaran kali pertama kes-kes rayuan yang dikendalikan Hakim Rayuan JKSM, hendaklah didengar kali pertama dalam tempoh 45 hari daripada tarikh ianya didaftarkan di JKSM dengan sasaran 90% setahun.
  4. Penyediaan Alasan Penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah disediakan dengan sasaran 90% dalam tempoh 14 hari setelah keputusan diperintahkan.

Alhamdulillah, pencapaian KPI pengendalian kes-kes rayuan syariah bagi tahun 2020 berjaya dicapai 100% dan InsyaAllah pencapaian ini akan dikekalkan pada tahun ini.

Last Updated on December 23, 2021

Kalendar JKSM

March 28, 2024