[language-switcher]

Soalan Lazim

Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?
Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :

  • Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
  • Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
  • Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
  • Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
  • Telah mati pucuk.
  • Telah gila selama tempoh 2 tahun.
  • Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
  • Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
  • Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
  • Memaksa isteri hidup secara lucah.
  • Melupuskan harta isteri.
  • Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
  • Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
  • Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
  • Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

Apakah maksud Li’an?
Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li’an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.

Apakah status penama terhadap harta si mati?
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 1973 telah memberikan pendapatnya dalam Mesyuarat Raja-raja pada 20 September 1973 dan bersetuju bahawa penama-penama KWSP, wang simpanan pejabat pos, bank, insuran, dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut faraid.


Apakah proses yang terlibat dalam permohonan sijil faraid?
Proses kerja yang terlibat ialah:

i) Mengemukakan permohonan.
ii) Terima permohonan.
iii) Semak.
iv) Jika lengkap terima dan daftar.
v) Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan.
vi) Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
vii) Dapatkan sijil dalam masa 5 hari selepas siasatan ahli waris selesai.
viii) Pemberitahuan akan diberi tahu pada hari siasatan selesai.


Apakah asas yang dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang menerima pusaka atas sebab perkahwinan?
Antara asas-asas yang dipertimbangkan ialah:

i) Sama ada perkahwinan itu sah atau tidak mengikut Hukum Syarak.
ii) Sama ada kematian berlaku sebelum atau selepas akad nikah.
iii) Adakah pasangan pernah bersama atau tidak.
iv) Adakah harta tersebut milik si mati atau tidak?
v) Sekiranya bercerai hidup, adakah dalam eddah talak rajie.


Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah?
Dokumen yang diperlukan ialah:

i) Borang permohonan yang lengkap.
ii) Salinan sijil mati si mati atau surat akuan.
iii) Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran atau surat akuan.
iv) Salinan geran harta/buku akuan/penyata.
v) Sijil nilaian harta jika ada.
vi) Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka (RM30.00/RM20.00/RM10.00).

Apakah perkara yang diambil kira oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang itu mendapat mutaah?
Mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.


Apakah yang dimaksudkan dengan mutaah dan bilakan ia dilaksanakan?
Mutaah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Ia dilaksanakan/diberi selepas tamatnya iddah.

Apakah bentuk nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isteri yang diceraikan?
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan.

i) Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah:

– Menyediakan makanan yang sepatutnya.
– Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
– Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu.
– Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.

ii) Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie.
iii) Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya.

Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah. Perempuan yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah daripada suaminya semasa di dalam iddah.


Apakah hikmat disyariatkan iddah?
Iddah ialah suatu tempoh masa yang perlu dinanti oleh seseorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya bagi mengetahui bersih rahimnya daripada mengandung untuk mengharuskan dirinya berkahwin dengan lelaki lain. Ia tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.
Iddah hukumnya wajib. Jika seseorang perempuan yang masih di dalam iddah, berkahwin dengan lelaki yang lain, maka perkahwinan itu hukumnya tidak sah pada syarak dan wajib difasakhkan serta merta. Antara hikmat disyariatkan iddah ialah:

i) Untuk mempastikan kesucian rahim perempuan.
ii) Perkara ta’abbud (ibadat).
iii) Memberi peluang kepada suami supaya berfikir semula dan kembali merujuk isterinya semasa d dalam iddah. Hal ini tertakhluk kepada kes talaq rajie sahaja.


Apakah yang dimaksudkan dengan nusyuz?
Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:

i) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
ii) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
iii) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.


Setakat manakah bidangkuasa Mahkamah melayani tuntutan perceraian?
Mahkamah mempunyai bidankuasa melayani tuntutan perceraian jika:

i. Perkahwinan didaftarkan menurut undang-undang;
ii. Perkahwinan adalah sah mengikut Hukum Syarak; dan
iii. Permohonan hendaklah dikemukakan di tempat tinggal salah satu pihak kepada perkahwinan.


Bagaimana untuk menentukan jenis talak untuk sesuatu penceraian jika isteri ingin memohon penceraian?
Dalam perkara ini, walaupun suami tidak bersetuju untuk bercerai secara baik, isteri tetap mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan  perceraian di mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan hukum Syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa ke atas pengadu.
Berdasarkan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap Negeri, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui pelbagai cara iaitu secara talaq, ta’liq, khulu’, fasakh dan li’an. Huraian secara ringkasnya berhubung dengan jenis-jenis perceraian tersebut adalah seperti berikut :

(a) Perceraian Secara Talaq
Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq. Perceraian jenis ini perlulah dibuat permohonan terlebih dahulu di Mahkamah dan didaftarkan untuk direkodkan. Perceraian secara talaq ini di peruntukkan dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri;

(b) Perceraian Secara Ta’liq
Ta’liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas ‘aqad nikah. Pengamalan perundangan Keluarga Islam di Malaysia mengklasifikasikan perceraian secara ta’liq berlaku apabila suami melanggar ta’liq yang dibuat olehnya semasa upacara ‘aqad nikah. Amalan ta’liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara’, tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Hal ini dihujahkan oleh Hakim Tan Sri Mohamed Azmi dalam kes Fakhariah bte Lokman lawan Johari bin Zakaria. Lafaz ta’liq yang dibuat oleh suami semasa upacara ‘aqad nikah ini berbeza mengikut negeri. Peruntukan perceraian secara ta’liq ini turut dinyatakan di dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri;

(c) Perceraian Secara Khulu’
Perceraian secara khulu’ merupakan salah satu alternatif perceraian yang turut diperuntukkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia. Perceraian secara khulu’ boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan. Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra, oleh itu ia tidak boleh dirujuk;

(d) Perceraian Secara Fasakh
Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq. Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Peruntukan mengenai fasakh ini turut dinyatakan di dalam undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri; dan

(e) Perceraian Secara  Li’an
Perceraian secara li’an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi. Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li’an, mengikut hukum Syara’ di hadapan Hakim Syar’ie, maka mereka akan difaraqkan. Kesannya kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula. Peruntukan mengenai li’an turut diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri.

Sebelum pihak isteri berhasrat untuk memfailkan permohonan perceraian, adalah menjadi suatu keutamaan bagi pihak isteri untuk meneliti terlebih dahulu alasan-alasan yang sesuai, tepat dan munasabah bagi mewajarkan sesuatu permohonan itu dibuat. Ini adalah bagi memastikan permohonan tersebut tepat dan selaras dengan kehendak hukum syarak dan undang-undang, Peraturan serta Arahan Amalan yang berkuat kuasa. Sekiranya fakta atau alasan-alasan yang dikemukakan itu tidak menepati maksud perceraian yang dipohon sama ada secara ta’liq, fasakh dan sebagainya, kemungkinan besar kes tersebut akan ditolak oleh mahkamah.
Untuk mendapatkan kepastian yang lebih lanjut, pihak isteri adalah dinasihatkan agar mendapatkan khidmat pandangan daripada pihak-pihak yang berautoriti di Bahagian Undang-Undang Keluarga di Jabatan Agama Islam Negeri atau mahkamah syariah yang berdekatan.


Bagaimanakah cara/prosedur sekiranya ingin bercerai?
Cerai adalah perkara harus yang paling di benci oleh Allah, oleh itu jadikan cerai sebagai langkah terakhir menyelesaikan masalah.
Saya nasihatkan agar Puan solat istikharah mohon pertunjuk Allah untuk tabahkan hati untuk memohon perceraian, jika cerai adalah baik bagi Puan, keluarga dan baik di sisi Islam mohonlah kekuatan untuk Puan tabah mengusahakannya sebaliknya jika terus hidup bersama dengan suami adalah yang terbaik di sisi Allah maka mohonkan kekuatan untuk menjadi isteri solehah sehingga mampu memimpin suami agar menjadi suami soleh seterusnya hidup bahagia seterusnya.
Jika telah nekad ingin bercerai Puan boleh terus ke Mahkamah Syariah berhampiran (di mana Puan tinggal). Contohnya, kalau Puan tinggal di Putrajaya pergilah ke Mahkamah Syariah Putrajaya, jika di Shah Alam pergilah ke Mahkamah Rendah Shah Alam.
Bagi tujuan pendaftaran kes, hanya Pemohon sama ada suami atau isteri perlu hadir ke Mahkamah memandangkan ia hanya untuk mendaftarkan kes.
Dapatkan borang mohon untuk bercerai dan isi. Bawa bersama surat nikah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan dll yang berkaitan jika nak pasti apa perkara perlu sila berhubung dahulu (telefon) mahkamah berkenaan.
Selepas hantar borang Tuan/Puan akan diberi tarikh panggilan ke mahkamah (sebutan/bicara) dalam tempoh 21 hari. Tuan/Puan juga boleh dapatkan khidmat rundingan dari Pegawai Sulh. apabila di perlukan (kalau perlu kena mohon hadir majlis sulh). Biasanya terus sebutan/bicara. Kalau suami setuju cerai biasanya kes ringkas dan diakhiri lafaz cerai, namun jika tidak mungkin puan perlu pinda kes kepada mohon cerai taklik atau fasakh mengikut alasan yang berkaitan. Alasan taklik ikut lafaz taklik di belakang surat nikah, alasan fasakh lihat seksyen 52 Akta Keluarga .

Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
[Pin. Akta A902:s.16]
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain:

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
[Pin. Akta A828:s.5]
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak. (1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.
[Mas. Akta A902:s.16]


(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.

(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Semoga jawapan saya dapat menjelaskan dan membantu puan membuat keputusan yang tepat.


Apakah hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas penceraian?
a) Nafkah eddah
b) Mut’ah
c) Sepencarian
d) Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
e) Nafkah Anak
f) Tunggakkan Nafkah
g) Hak tempat Tinggal


Berapa lamakah tempoh penyelesaian kes penceraian?
Selepas berlaku sesuatu perceraian, sekiranya perceraian tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Syariah dan suatu keputusan telahpun dibuat, maka pihak suami atau isteri perlulah mengambilnya dari pihak Mahkamah.
Setelah diperolehi keputusan tersebut pula, maka puan atau bekas suami hendaklah mengemukakannya kepada Pejabat Agama Islam untuk didaftarkan oleh Pendaftar Nikah, GCerai dan Rujuk.
              a) Untuk keputusan cerai : di Mahkamah Syariah
              b) Untuk daftar cerai : di Pejabat Agama Islam
Kebiasaannya tempoh yang diambil untuk mendapatkan sijil cerai tersebut adalah 2 minggu dari tarikh pendaftaran penceraian di pejabat agama tersebut. Untuk keterangan lanjut, pihak tuan adalah dinasihatkan untuk menghubungi pejabat agama yang berdekatan.


Apakah hukumnya sekiranya suami isteri tetap tinggal serumah walaupun sedar telah cerai secara taklik?
Seseorang isteri yang telah diceraikan suami sekiranya masih dalam tempoh eddah, adalah masih berada di dalam tanggungjawab suami termasuklah tempat tinggal. Walau bagaimanapun, masing-masing tidak boleh tinggal bersama kecuali telah berlaku rujuk antara keduanya.
Rujuk adalah boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu dengan lafaz atau dengan perbuatan, walau bagaimanapun menurut Mazhab Shafie, rujuk hendaklah dilakukan melalui lafaz.

Bagaimanakah hendak memfailkan hadhanah di Mahkamah Syariah?
Failkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di mana kita bermastautin atau dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie di Biro Bantuan Guaman atau swasta.


Berapa lamakah tempoh penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan oleh undang-undang?
Seksyen 84(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. (2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.


Apakah syarat-syarat menjadi hadinah/penjaga?
Seksyen 82, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa syarat-syarat menjadi hadinah ialah:

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.


Siapakah orang yang berhak menjaga kanak-kanak?
Seksyen 81, Akta [303],
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3),hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Bilakah seseorang suami itu boleh dianggap mati?
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah


Apakah sebab-sebab seseorang perempuan yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran wali Hakim dari Mahkamah Syariah?
Permohonan Wali Hakim dibuat apabila berlaku keadaan seperti berikut:

a) Tiada wali yang sah dari nasab
b) Wali ghaib
c) Saudara baru / Muallaf
d) Anak tak sah taraf
e) Wali enggan
f) Wali dalam ihram haji/umrah
g) Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat

Apakah sebab-sebab kelewatan kes berlaku di Mahkamah- Mahkamah Syariah?

a) Saman / Permohonan tidak dapat diserahkan kepada Defendan/Responden.
b) Afidavit penyampaian tidak difailkan apabila penyerahan dibuat di luar Negeri Sembilan.
c) Plaintif atau Defendan mohon tangguh untuk penyelesaian luar mahkamah.
d) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana tidak dapat pelepasan cuti daripada majikan.
e) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti sakit.
f) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
g) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk melantik peguam.
h) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana untuk memfailkan dokumen.
i) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat disepina.
j) Plaintif atau Defendan mohon tangguh kerana saksi tidak dapat hadir.
k) Peguam mohon tangguh kerana cuti sakit.
l) Peguam mohon tangguh kerana cuti kecemasan.
m) Peguam mohon tangguh kerana ada kes di Mahkamah yang lebih tinggi.
n) Peguam mohon tangguh kerana tarikh yang diberikan bertindih dengan tarikh yang ditetapkan terdahulu.
o) Peguam mohon tangguh kerana dokumen yang diperlukan masih belum diperolehi.
p) Peguam mohon tangguh kerana atas arahan anak guam.
q) Saman kepada OKT tidak dapat diserahkan.
r) Waran tangkap tidak dapat diserahkan.
s) Afidavit penyampaian kepada OKT tidak difailkan apabila membabitkan luar negeri.
t) Pendakwa tidak dapat memberi alamat terkini OKT.
u) Hakim cuti kecemasan.
v) Hakim cuti sakit.
w) Hakim menangguhkan kes atas sebab pihak-pihak/peguam tidak hadir tanpa sebab.
x) Hakim menangguhkan kes atas sebab-sebab pentadbiran.


Berapa lama proses panggilan untuk sebutan setelah kes didaftarkan?
Pada kelazimannya,  sebutan akan akan dibuat dalam masa 21 hari selepas pendaftaran disempurnakan.


Apakah syarat-syarat sesuatu kes boleh didaftarkan di Mahkamah Syariah?
Semua orang Islam yang berkahwin secara sah mengikut Hukum Syarak dan bermastautin di dalam sesuatu negeri boleh mendaftarkan permohonan atau tuntutan di mana-mana Mahkamah Syariah di tempat dia bermastautin.


Apakah Jenis Pendaftaran Kes MAL?
Terdapat 2 jenis pendaftaran kes MAL yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah iaitu:

a) Tuntutan
b) Permohonan

Tuntutan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan Saman beserta penyata tuntutan. Pernohonan ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes mal yang dimulakan dengan notis permohonan beserta afidavit sokongan.

Kalendar JKSM

Events in February 2024

  • There are no events scheduled during these dates.