SOP perlu bagi kes syariah babit unsur mistik

PESERTA yang hadir di Seminar Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Yang Melibatkan Gangguan Makhluk Halus di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah. – Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mahu mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) khas bagi kes syariah di negeri ini yang membabitkan gangguan makhluk halus.

Ia berikutan pemerhatian mendapati berlaku kes berunsur mistik seumpama itu di Mahkamah Syariah Selangor, antaranya berkaitan perceraian dan poligami.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain, berkata prosedur khas itu perlu dengan mengambil kira realiti kes dikendalikan di Mahkamah Syariah dan pengalaman Hakim Syarie yang pernah mengendalikan kes seumpamanya.

“Memang wujud kes berunsur mistik. Ia berkaitan dengan makhluk halus kerana ada yang membabitkan ilmu sihir dan ‘benda’ ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Apabila berlaku kes berunsur mistik, wujud keperluan untuk menghasilkan prosedur khusus. Jika kita menyamakan prosedur kes gangguan makhluk halus ini dengan prosedur kes biasa yang lain, ia dikhuatiri menyebabkan ketidakadilan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Membabitkan Gangguan Makhluk Halus di Dewan Muktamar JAKESS di sini, hari ini.

Turut hadir, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Zulfukri Yasoa; Ketua Pendaftar JAKESS, Noor Huda Roslan dan tiga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri iaitu Nenney Shuhaidah Shamsuddin, Salehan Yatim dan Abdul Shukor Abdul Hamid.

Seminar dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada hakim, pendaftar mahkamah, peguam syarie dan ahli akademik.

Hadir sama, barisan penceramah iaitu Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Zainal Abidin Kusmin; Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail; Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia, Dr Jahid Sidek; Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Zulfakar Ramlee dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Mohd Jim Hamzah.

Ia antara lain membabitkan sesi penerangan bertajuk `Gangguan Makhluk Halus dan Amalan Pendinding Diri’; `Sihir dan Kedudukannya Dalam Perundangan’; `Simptom Gangguan Berdasarkan Kaedah Perubatan Islam’ dan `Sihir Tafriq/Analisis Kes-kes Pembubaran Perkahwinan Membabitkan Sihir’.

Mohammad Adib berkata, objektif utama seminar itu bertujuan memberi penjelasan mengenai isu pengurusan kes gangguan makhluk halus, terutama di Mahkamah Syariah selain pendedahan umum dan kaedah alternatif perubatan Islam negara ini.

“Sebagai contoh dalam kes cerai, kita mahu mengenal pasti dakwaan sebelah pihak wujud ‘pihak’ ketiga iaitu makhluk halus yang menyebabkan berlaku perceraian. Ia termasuk kes pernikahan tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang apabila anak dara dipaksa bernikah dan kes poligami.

“Justeru, penganjuran seminar ini diharap memberi perubahan daripada aspek prosedur, antaranya bagaimana keterangan diambil dan bentuk yang diperlukan bagi membuktikan kes membabitkan gangguan makhluk halus.

“Selain itu, kita dapat mengetahui kaedah mendapatkan keterangan pakar dari segi pembuktian. Hakim Syarie yang membicarakan kes mungkin hanya boleh menetapkan kaedah umum namun bagaimana mahu membuktikannya turut memerlukan keterangan pakar,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan kini perlu diberikan kepada mereka yang berkemahiran mengenai makhluk halus dalam perundangan Syariah.

“Walaupun wujud pelbagai kaedah perubatan moden, kita masih dibekalkan dengan perkhidmatan lebih tradisi di hospital sebagai pilihan seperti rawatan akupuntur dan refleksologi.

“Aspek perundangan juga memerlukan pembaharuan dengan memberi pengiktirafan kepada mereka yang berkemahiran dalam alam ghaib,” katanya yang turut akan merujuk kepada pakar berkaitan dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mewujudkan SOP itu.

Sumber: BH Online

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in June 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
May 27, 2024 May 28, 2024 May 29, 2024 May 30, 2024 May 31, 2024 June 1, 2024 June 2, 2024
June 3, 2024 June 4, 2024 June 5, 2024(2 events) June 6, 2024(1 event) June 7, 2024 June 8, 2024 June 9, 2024
June 10, 2024 June 11, 2024(2 events) June 12, 2024 June 13, 2024(1 event) June 14, 2024(1 event) June 15, 2024 June 16, 2024
June 17, 2024 June 18, 2024 June 19, 2024 June 20, 2024 June 21, 2024(1 event) June 22, 2024 June 23, 2024
June 24, 2024 June 25, 2024 June 26, 2024 June 27, 2024 June 28, 2024 June 29, 2024 June 30, 2024