“AGENSI PERSEKUTUAN DAN NEGERI PERLU BERSATU”-KETUA SETIAUSAHA NEGARA DI KONVENSYEN PENGURUSAN HAL EHWAL ISLAM 2022

SELANGOR, 2 November 2022 | YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama 15 orang pegawai JKSM menghadiri Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam 2022 bersempena Ijtimak Perdana Agensi Agama seluruh Malaysia yang diadakan di ILIM, Bangi.

Konvensyen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini menghimpunkan 25 agensi memfokuskan kepada aspek pemerkasaan pentadbiran terutamanya dalam mendepani kepesatan perkembangan teknologi dan kedinamikan masyarakat semasa dan mendatang.

Konvensyen ini dimulakan dengan penyampaian ucaptama daripada YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara yang memfokuskan kepada keperluan percambahan minda, kreativiti, inovasi dan inklusiviti dalam kalangan penggerak institusi agama agar perkhidmatan yang disampaikan bukan hanya terus kekal relevan, malah pro-aktif dalam menyelami keperluan masyarakat.

“Isu-isu dalam pentadbiran hal ehwal Islam sentiasa menjadi polemik di dalam masyarakat majmuk dan ia memberikan gambaran negatif berhubung kelemahan pelaksanaan Islam di negara ini,” tegas Ketua Setiausaha Negara tersebut.

“Antaranya ialah isu ketidakseragaman Undang-undang Syariah di antara negeri-negeri, proses pengadilan kes permohonan cerai, nafkah dan hadhanah memakan masa yang lama, kemampuan masjid dalam pembinaan masyarakat Islam yang unggul, isu tauliah dan pemantauan khutbah, ceramah dan kuliah agama di masjid/surau, perbalahan golongan asatizah/agamawan serta isu-isu integriti berkaitan dengan mereka.”

“Dengan tidak bertujuan untuk mencampuri bidang kuasa negeri, Kerajaan berhasrat agar polemik yang ada ini dapat diatasi secara berhikmah bagi mencapai kesempurnaan pelaksanaan Islam, dengan penghayatan dan penyempurnaan Maqasid Syariah,” tambah beliau lagi.

Konvensyen ini kemudiannya diteruskan dengan forum yang dikendalikan oleh YBhg. Datuk Hj Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menyaksikan curahan minda dan pandangan daripada tiga orang tokoh yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam iaitu YBhg Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim bin Seman, Pengerusi Suruhanjaya Perkhdimatan Awam, YBhg Dato’ Wan Mohamad bin Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi,3 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan YBhg Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir bin Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Di akhir Konvensyen, YBhg Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM membentangkan empat resolusi sebagaimana berikut:

1) Pemerkasaan syiar Islam di Malaysia perlu dilaksanakan melalui kolaboratif strategik iaitu amal jamaie dan kesepaduan serta tidak silo antara persekutuan dan negeri khususnya dalam mendepani cabaran masa hadapan;

2) Pembangunan dasar dan penyampaian perkhidmatan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia perlu berpacukan mekanisme data dan penyelidikan yang mantap serta sistematik dengan kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi IPTA,IPTS, kementerian dan agensi;

3) Perkhidmatan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia perlu melipatgandakan usaha-usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam semua peringkat; dan

4) Memperkukuhkan jaringan kerjasama sesama agensi agama di persekutuan dan negeri-negeri.

Untuk rekod, Konvensyen juga bersetuju untuk menjadikan Ijtimak Perdana Agensi Agama Islam Seluruh Malaysia (IJPAM) sebagai perhimpunan yang dianjurkan secara tahunan.

Last Updated on November 2, 2022

Kalendar JKSM

Events in June 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
May 27, 2024 May 28, 2024 May 29, 2024 May 30, 2024 May 31, 2024 June 1, 2024 June 2, 2024
June 3, 2024 June 4, 2024 June 5, 2024 June 6, 2024 June 7, 2024 June 8, 2024 June 9, 2024
June 10, 2024 June 11, 2024 June 12, 2024 June 13, 2024 June 14, 2024 June 15, 2024 June 16, 2024
June 17, 2024 June 18, 2024 June 19, 2024 June 20, 2024 June 21, 2024 June 22, 2024 June 23, 2024
June 24, 2024 June 25, 2024 June 26, 2024 June 27, 2024 June 28, 2024 June 29, 2024 June 30, 2024