MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA 2020

30 September 2020: YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini telah berkesempatan hadir ke Movenpick Convention International, KLIA bagi menyempurnakan Perasmian Penutup Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara bagi tahun 2020.

Majlis dimulakan tepat jam 11.00 pagi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Mohd Ihsan bin Mohamad Daud sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

Terlebih dahulu YAA Dato’ Dr. menzahirkan ucapan penghargaan kepada YB Senator atas kesudian hadir buat kali kedua bagi merasmikan penutupan persidangan kali ini dan ianya memberikan motivasi yang cukup tinggi kepada JKSM untuk meneruskan usaha-usaha bagi memartabatkan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia.

YAA Dato’ Dr. turut memaklumkan bahawa resolusi persidangan telah dibentangkan oleh Ketua Pendaftar JKSM yang menyentuh mengenai pengaplikasikan Maqasid Syariah secara berdisiplin dalam pembentukan undang-undang dan peraturan, penggunaan teknologi terkini dalam penyampaian perkhidmatan institusi kehakiman Syariah, perkongsian kepakaran dan kemahiran di antara negara-negara nusantara melalui siri-siri latihan industri dan usaha-usaha penyeragaman institusi kehakiman Syariah melalui kesatuan fikiran dan kesepaduan tindakan.

Selanjutnya YB senator telah memulakan ucapan perasmian penutup dengan mengulas tentang kepentingan pengaplikasian maqasid Syariah khususnya dalam bidang kehakiman dan perundangan syariah.

YB Senator seterusnya melahirkan harapan agar hakim-hakim syarie dan pengawai mahkamah sentiasa menjaga imej dan sahsiah walau di mana sahaja mereka berada selain sentiasa memperkemaskan ilmu khususnya dalam penguasaan kitab turath.

Pegawai syariah turur diingatkan agar sentiasa mengambil perhatian serius dalam menjaga integriti dan sentiasa menjauhkan diri daripada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan khususnya melibatkan isu rasuah.

YB senator turut memuji usaha JKSM dalam menyebarkan ilmu kepada masyarakat di luar sana melalui siri legal online dan beliau menyarankan agar ianya dikembangkan melalui medium media sosial lain seperti twitter dan sebagainya.

Akhir sekali, YB Senator mengharapkan agar persidangan kali ini dapat mengeratkan ukhuwah antara pegawai syariah dan negara-negara nusantara sekaligus mengangkat martabat sistem kehakiman syariah di dunia.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Datuk Haji Akbar bin Haji Samon, ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ketua-Ketua Hakim Syarie Brunei, Indonesia dan Singapura secara atas talian.

Last Updated on December 23, 2021

Kalendar JKSM

Events in March 2024

  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Putrajaya
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
    Sidang Mahkamah Rayuan Syariah WP Kuala Lumpur
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor
  • Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Selangor