PEMAHAMAN ARAHAN AMALAN MAHKAMAH SYARIAH TAHUN 2020 ZON UTARA DAN TENGAH

05 Julai 2021 – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN)/ Mahkamah Syariah Negeri (MSN) Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) dan Zon Tengah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Putrajaya dan Selangor) telah menganjurkan Muzakarah Pemahaman Arahan Amalan Mahkamah Syariah Tahun 2020 yang diadakan secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Muzakarah ini mendapat sambutan dengan kehadiran seramai 363 orang peserta bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari. Para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Syariah dan kakitangan sokongan JKSN/MSN, Jabatan Pendakwaan Syariah, Pejabat Penasihat Undang-undang dan Jabatan Bantuan Guaman bagi Zon Utara dan Zon Tengah.

Tujuan muzakarah ini diadakan ialah untuk memberi penerangan dan kefahaman berkaitan dengan arahan amalan yang dikeluarkan khususnya bagi tahun 2020. Muzakarah ini telah dibentangkan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod, JKSM dan Tuan Muhamad Yusro bin Borhan Nordin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod, JKSM.

YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah memberikan ucapan aluan pada program tersebut. Dalam ucapan aluan tersebut, YAA Dato’ Setia Dr. menyatakan pada tahun 2020, sebanyak 10 Arahan Amalan telah dikeluarkan. Untuk makluman, semenjak tahun 2000 sehingga tahun 2020 sebanyak 220 Arahan Amalan telah dikeluarkan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 39 Arahan Amalan telah dibatalkan. Ini bermakna sebanyak 181 Arahan Amalan yang sedang berkuatkuasa.

YAA Dato’ Setia Dr. turut mengakui bahawa pemakaian Arahan Amalan adalah penting demi menyeragamkan dan melicinkan urusan pentadbiran kehakiman dan perundangan Syariah di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Arahan Amalan yang telah lama diterima pakai di JKSN/MSN ini adalah suatu arahan pentadbiran berkaitan perundangan dan kehakiman yang bertujuan memastikan motto “Syariah Asas Keadilan” dapat direalisasikan. Justeru, pemahaman terhadap kesemua Arahan Amalan adalah sangat dituntut agar pemakaian arahan amalan tersebut dapat diguna pakai secara optimum.

Arahan Amalan juga dapat menyelesaikan dan mengatasi banyak isu-isu ketidakseragaman pemakaian undang-undang dan lakuna di dalam pentadbiran kehakiman dan perundangan di Mahkamah Syariah seterusnya menjamin keadilan kepada pihak-pihak.

YAA Dato’ Setia Dr. turut memaklumkan bahawa JKSM sedang berusaha untuk mencadangkan pindaan ke atas Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] untuk memasukkan peruntukkan berkenaan Arahan Ketua Hakim Syarie di mana di dalam pindaan tersebut menyatakan bahawa Ketua Hakim Syarie boleh dari semasa ke semasa memberi arahan berhubung dengan tatacara Mahkamah Syariah, sebagaimana yang difikirkannya perlu. Untuk makluman, peruntukan seumpama itu telah dimasukkan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2020 Negeri Pahang.

Keperluan kepada peruntukkan tersebut di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pahang dan Enakmen Mahkamah Syariah Perak serta usaha untuk meminda Akta 505 tersebut bertujuan memastikan arahan-arahan amalan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Induk Arahan Amalan, kemudiannya diendors oleh YAA Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri tidak dipertikai malah dihormati untuk diamalkan.

YAA Dato’ Setia Dr. menyeru dan mengharapkan agar Arahan Amalan yang telah diterima dapat dikuatkuasakan perlaksanaannya di seluruh negeri dan dapat diamalkan ketika berurusan di Mahkamah Syariah kerana pemakaiannya adalah penting demi menyeragamkan dan melicinkan urusan pentadbiran kehakiman dan perundangan Syariah di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Last Updated on December 22, 2021

Kalendar JKSM

Events in May 2022

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
April 25, 2022(1 event) April 26, 2022 April 27, 2022 April 28, 2022 April 29, 2022 April 30, 2022 May 1, 2022
May 2, 2022 May 3, 2022 May 4, 2022 May 5, 2022 May 6, 2022 May 7, 2022 May 8, 2022
May 9, 2022 May 10, 2022 May 11, 2022 May 12, 2022 May 13, 2022(2 events) May 14, 2022 May 15, 2022
May 16, 2022 May 17, 2022 May 18, 2022 May 19, 2022(1 event) May 20, 2022 May 21, 2022 May 22, 2022
May 23, 2022 May 24, 2022(1 event) May 25, 2022(1 event) May 26, 2022 May 27, 2022(1 event) May 28, 2022 May 29, 2022
May 30, 2022(1 event) May 31, 2022(1 event) June 1, 2022(1 event) June 2, 2022 June 3, 2022(1 event) June 4, 2022 June 5, 2022