MAJLIS SOFT LAUNCH SISTEM E-SYARIAH VERSI 3 (ESV3)JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

30 September 2022 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah melancarkan Projek Rintis Sistem E-Syariah Versi 3 bertempat di Dewan Utama, Aras 4, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Gimik pelancaran projek rintis tersebut telah disempurnakan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut disaksikan oleh Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Ybhg. Datuk Seri Dr. Yusof bin Ismail.

Majlis yang berlangsung jam 9.00 pagi ini terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh YAA Tuan Hj Mohd Asri bin Hj. Tahir,Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selaku tuan rumah.

YAA Dato’ Setia Dr. dalam ucapannya terlebih dahulu menzahirkan penghargaan kepada tetamu-tetamu kehormat yang hadir dan beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YAA KHS MSWP atas kesudian menyediakan tempat bagi majlis pelancaran hari ini.

Seterusnya YAA Dato’ Setia Dr. mengimbau sejarah pembangunan Sistem E-Syariah di mana Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober 1999 telah memutuskan untuk mewujudkan satu Sistem Elektronik bagi pengurusan kes Mahkamah Syariah.

Sistem E-Syariah ini merupakan projek Kerajaan Elektronik yang ketujuh di bawah Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bertujuan mewujudkan satu sistem pengurusan kes bersepadu yang mengintegrasikan semua proses yang terlibat dalam pengendalian kes-kes Mahkamah Syariah.

Tambah YAA Dato’ Setia Dr., Sistem E-Syariah Versi 1 telah dilancarkan pada 7 Februari 2003 oleh YAB Perdana Menteri pada ketika itu dan beroperasi sepenuhnya pada September 2005. Pada tahun 2011, Sistem E-Syariah Versi 1 telah dipertingkatkan kepada Sistem ESyariah Versi 2 di mana pembaharuan dilaksanakan dari segi rupa, ciri, fungsi dan infrastruktur server dan client baru.

Kini setelah hampir 11 tahun Sistem e-Syariah Versi 2 digunakan, pihak JKSM bersama Syarikat SAINS Sarawak selaku kontraktor yang dilantik telah membangunkan Projek Transformasi Sistem e-Syariah Versi 3 yang bermula pada Julai 2021.

Sistem ESV3 ini akan mula digunakan secara rintis di dua buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor melibatkan 7 modul antaranya Modul Pengurusan Kes, Kewangan, Pengurusan Dokumen, Statistik dan Keselamatan.

Baki modul-modul yang lain seperti Sistem Pengurusan Latihan, Helpdesk, Kpi, e-Filing dan e-Review akan dilaksanakan secara berperingkat di JKSN/MSN bermula pada penghujung bulan Oktober dan dijangka semua negeri akan mula menggunakan Sistem ESV3 pada penghujung bulan November 2022 nanti.

Seterusnya, YAA Dato’ Setia Dr. turut berkesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ybhg. Datuk Seri Dr. Yusof bin Ismail, Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) atas sumbangan dan sokongan sepanjang tempoh membangunkan Projek Transformasi Sistem E-Syariah Versi 3 ini.

Beliau turut berterima kasih atas usaha gigih dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuklah barisan Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu ESV3, Ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal ESV3, pegawai dan kakitangan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR) dan Pasukan Syarikat SAINS Sarawak.

Di akhir ucapan, YAA Dato’ Setia Dr. menzahirkan harapan agar semua pengguna sistem tersebut dapat menggunakan semua modul yang dibangunkan ini secara optimum bagi melancarkan tugasan seharian di mahkamah seterusnya dapat menaikkan martabat institusi kehakiman syariah di Malaysia.

Turut hadir ke majlis hari ini adalah Dr. Mohd Bakhari Bin Ismail, (Timbalan Ketua Pengarah (TPP) (MAMPU), YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain (Hakim MRyS JKSM), YAA Dato’ Abas bin Nordin (KHS Negeri Sembilan merangkap Ahli JK Pemandu ESV3), YAA Datuk Mohd Nazdri bin Abdul Rahman (KHS Melaka merangkap Ketua SME ESV3) dan YBrs. Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz (Ketua Pendaftar JKSM).

Sebelum bersurai, semua tetamu kehormat telah berkesempatan melawat ke kaunter pendaftaran kes mahkamah di aras 1 bagi melihat sendiri Sistem ESV3 yang mula digunakan hari ini. Setakat jam 10.30 pagi tadi, sebanyak 37 kes telah berjaya didaftarkan dan kes pertama yang berjaya didaftarkan adalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan.

Last Updated on September 30, 2022

Kalendar JKSM

Events in March 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
February 26, 2024(2 events) February 27, 2024(1 event) February 28, 2024 February 29, 2024 March 1, 2024 March 2, 2024 March 3, 2024
March 4, 2024 March 5, 2024 March 6, 2024 March 7, 2024 March 8, 2024 March 9, 2024 March 10, 2024
March 11, 2024 March 12, 2024 March 13, 2024 March 14, 2024(1 event) March 15, 2024(1 event) March 16, 2024 March 17, 2024
March 18, 2024(1 event) March 19, 2024 March 20, 2024(1 event) March 21, 2024 March 22, 2024(1 event) March 23, 2024 March 24, 2024
March 25, 2024(2 events) March 26, 2024(1 event) March 27, 2024(1 event) March 28, 2024 March 29, 2024 March 30, 2024 March 31, 2024